cover insipirasi wan bynun

Bak kata orang, kecil-kecil cili padi. Pemilik nama Wan Noor Bainun Wan Zaizodin, 29, yang merupakan seorang usahawan butik berjaya memukau pelanggan, bukan sahaja dari dalam negara, malah antarabangsa seperti London, Paris, New York, Taiwan, Jepun dan beberapa negara lain melalui rekaan busana tradisional yang diberi nafas baharu.

Sebagai seorang yang menyintai seni dalam pembuatan kain, Wan Noor Bainun atau mesra dengan panggilan Wan Bynun mula membawa kelainan dalam dunia fesyen apabila menyedari kurangnya rekaan moden dan kasual di Sarawak menggunakan fabrik etnik.

Dari situ, gadis kecil molek ini menghasilkan rekaan busana kontemporari yang boleh digayakan pada bila-bila masa.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia percaya rekaan menggunakan kain tradisi tenun Sarawak mudah mendapat tempat di hati penggemar fesyen, lebih-lebih lagi dengan sentuhan yang segar dan selari dengan perkembangan dunia fesyen.

“Anak muda hari ini sudah boleh menerima rekaan tradisi dan semakin berbangga dengan identiti tradisional yang dimodenkan,” katanya kepada Mega Rona memulakan bicara.

Memulakan perniagaan pada awal 2016 selepas yakin dengan penerimaan orang ramai terhadap rekaannya, selain mengenali sasaran pasaran, Wan Bynun terus mengorak langkah dan tidak lagi berpaling ke belakang untuk berjaya setanding dengan nama-nama hebat dunia fesyen.

“Sebaik sahaja habis belajar, saya mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada 2014 dengan menjual pakaian melalui Instagram dan Facebook. Selepas beberapa lama, saya mula menghantar koleksi rekaan ke butik vendor.

“Pada mulanya, kurang mendapat sambutan. Mungkin disebabkan pada masa itu, saya tidak menguasai aspek pemasaran. Setelah berpindah ke butik vendor yang terletak di salah sebuah pusat beli-belah, barulah saya menerima maklum balas yang positif.

“Di sana, saya mula mempelajari, mengenali sasaran pasaran dan mendapat keyakinan untuk membuka sebuah butik,” katanya mengimbau kenangan lampau.

Berbekalkan modal sebanyak RM6,000 hasil simpanan dan tabungan semasa bekerja di bahagian khidmat pelanggan dan berniaga secara atas talian, Wan Bynun memberanikan diri membuka sebuah butik yang diberi nama Wan Bynun Boutique di Kuching, Sarawak.

Tambahnya, selain sebagai pemilik butik, anak kelima daripada tujuh beradik itu juga merupakan pereka untuk label pakaian Wan Bynun. Hasil rekaannya bermula daripada merangka idea, pembuatan pola, menjahit sehingga ke produk akhir.

“Saya bukan hanya menggunakan kain tenun tangan, tetapi juga tenun cetak yang harganya lebih berpatutan. Ini bagi membolehkan setiap rekaan dijual berdasarkan material fabrik yang digunakan.

“Saya merasa sangat gembira dan satu kepuasan apabila setiap rekaan mendapat sambutan dan berjaya dijual,” ujarnya.