Berapa sebenarnya jumlah hantaran yang perlu disediakan oleh pihak lelaki? RM10,000, RM15,000 atau RM20,000?

Bagi pakar psikologi dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Datin. Dr. Mariani Md. Nor, kalau nak bercakap pasal isu tersebut, kita kena faham apa tujuannya hantaran itu. Adakah mahu meniru budaya masyarakat India? Namun berbeza budaya kaum itu dengan kita. Pada mereka, perempuan kena bagi hantaran kepada lelaki. Kita pula lelaki beri kepada perempuan. Lagipun kita sudah ada mas kahwin yang berbeza jumlahnya mengikut negeri-negeri, kenapa perlu dijadikan isu nilai hantaran ini?

Apa sebenarnya tujuan hantaran? Menurut Mariani, duit hantaran dapat mempermudahkan perbelanjaan pihak pengantin perempuan. Duit tersebut boleh digunakan untuk menjemput orang ramai datang ke majlis perkahwinan kedua-dua mempelai. Supaya tetamu dapat meraikan pengantin, sama-sama berdoa agar kedua-duanya kekal bahagia hingga ke jannah, bukan setakat harmoni sampai anak cucu. Kena betul-betul faham konsep itu.

Jumlah hantaran bukan diukur pada kelayakan seseorang. Misalnya jika ada ijazah, maka kena bayar lebih. Kalau begitu, kalau bakal isteri setakat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), adakah hantaran tidak boleh lebih RM10,000?

“Justeru, saya nasihatkan kepada pasangan kekasih, kalau tak boleh tolak ansur, eloklah yang perempuan beritahu lelaki awal-awal begini: I ada degree, make sure you boleh bagi RM20,000. Kalau you tak boleh bagi RM20,000, kita tak payah kawanlah, senang.” kata Mariani ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mariani sendiri pernah berdepan situasi yang mana siswazah baru tamat pengajian terpaksa bekerja siang dan malam, tidur tidak cukup semata-mata nak kumpulkan belasan ribu ringgit kerana itu adalah syarat pihak perempuan untuk dia masuk meminang.

AKAD NIKAH

Jelas Mariani, apa yang wajib adalah akad nikah bukannya hantaran. Seeloknya jumlah hantaran biarlah keluarga kedua-dua pihak sama-sama tetapkan ikut kemampuan. Yang penting, pihak lelaki kena faham keperluan sebelah perempuan. Begitu juga sebaliknya, pihak perempuan perlu faham status dan kedudukan keluarga lelaki. Janganlah masing-masing nak tunjuk ego.

Tujuan pasangan kekasih itu bercinta dang mengenali satu sama lain adalah untuk mendirikan masjid sekali gus mengelak perbuatan-perbuatan dilarang seperti zina selain dapat menambah zuriat. Adakah jika hantaran bawah RM5,000, boleh hancur rumahtangga mereka?

Lebih elok kalau keluarga perempuan serahkan kepada lelaki untuk menetapkan hantaran mengikut kemam­puan dan jumlahnya nanti dipersetujui kedua-dua pihak.

Walau bagaimanapun, pihak lelaki usahlah ambil kesempatan dengan memberi alasan tidak mampu. Kena rasional juga. Janganlah pula beri RM1,000 sahaja. Dalam zaman sekarang terutama di bandar besar, busuk-busuk satu kepala syarikat katering caj pun RM12 sekepala. Nak jemput 1,000 orang sudah RM12,00. Itu belum kos-kos lain seperti khemah, kerusi meja, jurugambar, mak andam.

Itu sebabnya melalui kursus perkahwinan, kesemua perkara tersebut perlu diperjelaskan dengan tepat. Apa itu duit hantaran, apa itu mas kahwin, apa itu dulang hantaran.

BERMEGAH

Mariani menambah, kena juga ingat, nilai hantaran bukan untuk bermegah-megah. Ada yang mahu jumlah hantaran ikut tarikh lahir. Misalnya tarikh lahir 17 Mac 1995, maka hantarannya mesti RM17,395.

Bayangkan kalau tarikh lahirnya 9 September 1999, pihak lelaki kena sediakan RM99,999!

Bagi Mariani, itu semua tidak lain bertujuan mahukan publisiti, nak menunjuk-nunjuk.

Kita sebagai orang luar pula janganlah ‘menyibuk’ hingga mempengaruhi keputusan mereka. Kalau keluarga lelaki hanya mampu sediakan hantaran RM5,000, usahlah jadi batu api dengan mengatakan jumlah itu terlalu sedikit. Nak bandingkan dengan ahli keluarga lain atau jiran yang mungkin jumlah hantarannya lebih lagi.

ANDARTU

Kata Mariani, hantaran jangan dibuat sebagai perkara wajib kerana ia boleh menyebabkan pengantin dan keluarga sebelah lelaki stres. Usah takut-takutkan kaum Adam nak masuk meminang. Nanti tidak laku, ramai pula yang jadi andartu.

Boleh juga tonton video yang saya sediakan di Youtube Utusan Online.

TANGKAP layar video yang tular dalam Youtube mengenai pandangan
TANGKAP layar video yang tular dalam Youtube mengenai pandangan beberapa gadis tentang jumlah wang hantaran sepatutnya mereka terima, baru-baru ini.

Ijazah tak jamin ke syurga

Mariani menasihatkan semua pihak agar tidak berbangga sangat dengan jumlah wang hantaran. Katanya, jangan tetapkan nilanya dengan tahap pendidikan. Ijazah tidak menjamin sesebuah perkahwinan kekal ke jannah. Apa yang mustahak adalah persefahaman suami-isteri, tahu agama, hormati orang tua dan paling penting, sikap berterus terang.

Kalau lelaki tidak mampu sediakan jumlah hantaran diminta, andai kata pihak perempuan nak berpisah, reda sahajalah.

Tidak perlulah meratap menangis hingga keluar air mata darah sebab itu kehendak keluarga perempuan.