Itu antara reaksi orang ramai khususnya golongan muda yang semakin tidak lekang dengan gajet.

Saya bertanyakan mereka tentang fenomena troll yang sejak kebelakangan ini cukup ‘meriah’ dalam media sosial. Troll ialah sindiran sinis yang berkisar tentang isu-isu semasa.

Bagi Qis, 20, troll cukup menghiburkan kerana banyak unsur jenaka. Oleh sebab itu, dia mudah tertarik dengan troll. Ia sedikit sebanyak menceriakan rutin kehidupannya sebagai seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang kadang-kala terbeban dengan tugasan bertimbun diberikan pensyarah dan waktu kuliah cukup padat.

Namun ada seperkara lagi yang disukainya tentang troll iaitu ia sering mengupas tentang isu-isu semasa. Bagi orang muda sepertinya, kadang-kadang lebih mudah nak faham tentang dasar atau polisi yang diperkenalkan kerajaan menerusi troll daripada mendengar daripada mulut orang politik.

Ada kalanya dia rasa dirinya blur apabila kerajaan mengumumkan sesuatu yang baharu. Tapi dengan troll dia lebih cepat ‘menangkap’ sesuatu isu. Namun Qis tidak menganggap semua troll sebegitu, ada juga yang tak boleh ‘pakai’!

“Ya, troll banyak beri penjelasan dan penerangan tentang isu-isu semasa. Sebab troll dibuat berdasarkan keadaan di sekeliling yang sedang berlaku.

“Sebab itu ia dijadikan troll. Ia nak menunjukkan apa yang terjadi sekarang,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Puteri, 23. yang berpendapat troll sesuai sebagai asas maklumat kepada sesuatu isu. Menurutnya, banyak kesangsian dalam kalangan rakyat tentang perkembangan semasa sebenarnya mampu dirungkai menerusi troll.

Namun Puteri tidak terima bulat-bulat kesemuanya. Ia hanya melibatkan troll yang positif. Yang negatif dia tidak ‘ambil pot’ berikutan kesannya yang mampu menjejaskan kredibiliti seseorang terutama pemimpin dan selebriti terkenal.

“Nasihat saya, teruskanlah troll yang elok-elok. Troll yang elok pastinya membuatkan seseorang itu nampak hebat.

“Yang tak elok, kurang-kurangkanlah sebab nanti ada pihak lain terkesan. Nanti orang lain pandang buruk. Takut jadi bahan ejekan pula,” ujarnya.

Negatif

Walau bagaimanapun Firdaus dan Afiq melihat troll lebih kepada membawa keburukan. Kata Fridaus, 20, troll dilihatnya hanya dijadikan sebagai bahan lawak jenaka, untuk bergurau semata-mata. Justeru sesiapa yang menjadi mangsa, pasti sakit hati.

Jelas Afiq, 20, pula, dia boleh lihat sendiri dalam Instagram, Twitter dan Facebook, ramai tokoh telah ‘jatuh’ gara-gara troll.

Trend

Pada pandangan Aizat, 33, troll seolah-olah sudah menjadi budaya kepada rakyat di negara ini. Dia memberikan contoh frasa ‘Malu Apa Bossku’ yang diungkap Datuk Seri Najib Tun Razak begitu cepat menjadi trending dalam media sosial.

Menurutnya, dari segi kesan positif yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri itu, ia sewajarnya diterima baik oleh orang ramai. Ini kerana ia menjadi panduan semak dan imbang oleh pembangkang terhadap beberapa keputusan kerajaan.

Namun kalau berunsur negatif dalam troll hingga mengaibkan seseorang maka nasihatnya, tidak usahlah disebarkan.

“Kalau troll positif, gunalah sebaik-baiknya. Kalau troll negatif, kita simpan sajalah,” katanya.

Hakikatnya, suka atau benci, troll sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Kita tidak boleh lari daripada troll. Kita tidak boleh konon-kononnya mahu ambil sikap ‘ada aku kisah!’

Meskipun sekadar guna media sosial untuk berhubung dengan kawan-kawan dan keluarga, setiap hari kita pasti disogokkan dengan troll. Malah grup WhatsApp tempat kerja pun kadang-kala terselit juga. Justeru, teruskanlah ber-troll, apa nak malu!