Itu reaksi kebanyakan perokok yang saya temui selepas hampir sebulan pelaksanaan larangan merokok di premis makanan di seluruh negara. Aktiviti melepak mereka kini sudah jadi tidak ‘meriah’. Kata mereka, duduk lama-lama di restoran tanpa rokok terasa cukup resah. Kalau dahulu boleh lepak dua, tiga jam, sekarang tak sampai setengah jam pun buntut sudah ‘panas’. Itulah sebab agaknya ada restoran mamak dikatakan mula berkurangan pelanggan sejak undang-undang itu dikuatkuasakan.

Kasihan pula saya dengar keluhan mereka. Yalah, sejak 1 Januari lalu, rasanya tidak banyak pihak yang ambil kisah dengan mereka, seolah-olah dipinggirkan terus, tiada yang simpati. Namun untuk mendapatkan reaksi golongan perokok tegar tentang kehidupan sosial mereka sejak tarikh pelaksanaan peraturan itu bukan mudah. Ramai yang mengelak sambil menjeling dengan penuh sangsi apabila saya memperkenalkan diri sebagai wartawan dan tujuan temuramah. ‘Sentap’ barangkali!

Tapi perokok wanita lebih sporting seperti Miera, 30. Memang pada mulanya dia agak kekok nak patuh dengan peraturan baharu berkenaan. Paling tidak disukainya, kalau nak hisap rokok juga, kena tinggalkan kerusi dan meja, sekurang-kurangnya tiga meter dari restoran. Kalau restoran dekat tepi jalan, maka di atas jalan jugalah kena lepaskan ‘ketagihan’.

“Memang potong ‘stim’ sikit, dah tak syok lepak. Tapi nak buat macam mana, kita hidup ada peraturan. Nak tak nak kena ikut.

“Nak cakap banyak pun, kerajaan sudah buat. Apatah lagi banyak maklum balas positif diterima daripada golongan bukan perokok,” katanya.

Keadaan Gin, 23, mungkin agak ‘parah’. Dia seolah-olah merasakan banyak mata memerhatikan pergerakannya setiap kali berada dalam restoran.

“Itu sebab saya rasa tergesa-gesa, nak cepat saja beredar. Macam semua orang sedang perhatikan kalau-kalau saya keluarkan rokok dan hisap,” katanya sambil ketawa.

Walau bagaimanapun, Miera dan Gin tetap bersikap positif. Mereka rela ‘berkorban’ demi kebaikan semua pihak terutama dari aspek kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

Jelas Miera, kalau tiada undang-undang baharu itu pun, dia tetap menghormati orang di sekelilingnya. Dahulu setiap kali masuk restoran, dia akan pastikan tempat duduknya jauh daripada kanak-kanak, ibu mengandung dan orang tua. Kalau tiada meja lain, dia akan cuba sedaya upaya hembus asap rokok jauh-jauh ke arah lain.

Sama juga dengan Gin, peraturan baharu sedemikian baginya baik demi menjaga alam sekitar daripada pencemaran udara. Dia pun tiada masalah nak mematuhinya, ikut sahaja peredaran semasa.

Namun, perubahan besar yang paling ketara adalah kedua-dua mereka kini sudah ‘insaf’, kurang merokok. Mereka menggantikannya dengan rokok elektronik atau vape.

“Elok juga peraturan ini. Sekarang saya sudah berhenti rokok, tukar kepada vape. Mana tahu bulan ini boleh berhenti terus,” jelas Miera.

“Saya sudah pun berhenti (merokok) sejak tiga, empat hari lalu. Saya sekarang beralih kepada rokok elektronik. Saya sasar dalam tahun ini berhenti semua,” ujar Gin.

Walau bagaimanapun, bagi yang tidak merokok seperti Bella, 34, ‘kesengsaraan’ golongan perokok tegar itu dilihat agak melucukan. Sanggup beralih ke tempat lain semata-mata nak ‘berasap’.

“Tengok gelagat mereka kelakar juga, kasihan pun ada tapi bagus. Sekarang selesa sikit nak bawa anak-anak makan di restoran. Kadang-kadang asap rokok ni mengganggu. Pedih mata, pedih hidung,” jelasnya.

Bagi saya, perkenalkan macam mana peraturan sekalipun kepada perokok tegar ini, tidak mahunya mereka berhenti hisap. Macam harga rokok, naik banyak mana pun tetap hisap juga. Bisnes rokok tetap laris. Namun hak golongan yang tidak merokok juga perlu diambil kira. Kalau nak hisap rokok juga, pergi lagi jauh lagi bagus. Atau lebih bagus lagi, sudah boleh pelan-pelan belajar berhenti merokok!