Kedudukan tersebut meletakkan universiti berkenaan berada di tempat kedua terbaik negara di belakang Universiti Malaya (UM) yang menduduki tangga ke-70.

“Apabila kita sudah berada di ranking ini, orang mahu lihat kita meningkat lagi. Itu satu cabaran kerana nak naikkan ranking ini bukan senang.

“Tetapi tidak bermakna kita nak potong UM. Tetapi kita sama-sama naik ikut kemampuan masing-masing.

“Dan alhamdulillah sejak enam tahun ini, ranking UPM meningkat,” kata Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Aini Ideris dalam wawancara bersama Wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan MAISARAH SHEIKH RAHIM serta jurugambar FAUZI BAHARUDDIN di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

NAK 'CARAS'

Tidak terlintas pun untuk UPM bersaing dengan mana-mana universiti di negara ini semata-mata mahu menduduki ranking teratas.

Sebaliknya UPM mahu bersama universiti-universiti awam lain meningkatkan ranking masing-masing supaya hab pendidikan negara turut sama cemerlang sekali gus dikenali dunia.

Kita tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk memotong UM tetapi mahu sama-sama naik mengikut kemampuan masing-masing. Kalau UM mampu mencapai ranking lebih baik, UPM akan sokong.

Kalau dahulu ramai yang tidak tahu Malaysia mempunyai universiti cemerlang, namun dengan ranking ini bukan sahaja dapat meningkatkan universiti itu sendiri tetapi juga sektor pendidikan di Malaysia.

Kita tidak terfikir pun nak pintas UM atau nak bersaing. Itu tidak ada. Yang penting bekerjasama dan menaikkan universiti bersama-sama.

Sekarang kami (UPM) berada dalam ranking di tempat kedua antara universiti di negara ini. Nak kekalkan tahap ini dan mencapai sasaran berada dalam kelompok 150 teratas dunia, kita kena sentiasa ada penambahbaikan berterusan setiap tahun.

UPM akan melihat balik strategi, kekurangan atau kekuatan yang boleh ditambah baik. Apabila sudah berada di ranking ini, selepas ini pastinya banyak pihak mahu melihat kedudukan UPM meningkat lagi.

Itu satu cabaran buat UPM kerana nak menaikkan ranking bukan senang, namun alhamdulillah sejak enam tahun lalu, ranking UPM meningkat.

Walau bagaimanapun, kita tidak merasakannya sebagai satu tekanan kerana ranking sebagai penanda aras untuk penambahbaikan bagi menjadikannya sebagai universiti pilihan ramai selain motivasi kepada kita untuk berusaha supaya dapat meningkatkan lagi keupayaan.

Bagaimana untuk menjayakannya? Perlu ada fundamental dan kurikulum serta penyelidikan yang bagus. Kita lihat dari segi asas penubuhan universiti.

Universiti adalah satu tempat untuk membawa kecemerlangan dalam pendidikan. Dengan adanya asas pendidikan ini, impaknya akan meningkatkan ranking sebagai penanda aras.

Mengikut QS World University Rankings, ada enam kriteria yang ditetapkan iaitu citation. Mereka melihat apakah penyelidik lain menggunakan penerbitan kita untuk membuat rujukan.

Kalau ramai guna penerbitan kita sebagai rujukan bermakna penerbitan kita berkualiti. Jadi kita kena pastikan penyelidikan yang kita buat berimpak tinggi yang orang lain boleh buat rujukan.

Selain itu kriteria employer reputation berkait rapat dengan pilihan majikan baik di sektor industri yang mengambil graduan kita bekerja. Mereka berpuas hati dan beri pengiktirafan serta komen baik kepada graduan.

Dalam hal ini, UPM banyak sekali meningkat dari segi kriteria ini iaitu majikan industri mengiktiraf graduan UPM sebagai berpotensi cemerlang. Ini menunjukkan kerjasama kita dengan industri memberi kesan baik.

Sebagai contoh sekarang ini kita bawa Farm Fresh ke dalam kampus. Mereka bangunkan ladang lembu tenusu di dalam kampus, sama seperti ladang mereka di luar untuk tujuan komersial.

Selain itu kerjasama dengan AirAsia. Syarikat penerbangan ini membenarkan pelajar-pelajar UPM membuat latihan di semua tempat AirAsia termasuk di luar negara.

Mereka turut memberi peluang dan kepercayaan kepada staf Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM untuk membuat reka bentuk dan landskap serta design pada badan kapal terbang tanpa bayaran sebagai satu sumbangan kepada universiti angkat mereka.

Dengan kolaborasi aktif majikan industri ini, ia meningkatkan lagi tahap kepuasan industri. Sebab itu dalam kriteria ini sahaja kita meningkat 81 anak tangga.

Dari segi pelajar antarabangsa pula, kita berada pada tangga ke-135 dunia sebagai universiti pilihan pelajar antarabangsa. Pada masa ini, kita mempunyai 4,000 pelajar antarabangsa yang merupakan antara jumlah tertinggi di Malaysia.

UPM juga memastikan penerbitan kita memberi manfaat kepada komuniti, universiti untuk masyarakat.

UPM membantu dari segi pemindahan ilmu atau pemindahan teknologi termasuk kerjasama dengan pelajar sekolah melalui University Community Transformation Centre (UCTC). Kita tak syok sendiri.

UPM sentiasa melihat adakah pembelajaran universiti melalui kurikulum berkualiti dan masih bersesuaian dengan peredaran masa dan terkini.

Apakah bidang yang relevan dan pelajar senang mengadaptasi dengan keadaan semasa?

Method penyampaian pengajian juga berubah dengan banyak menggunakan teknologi selain membuat pertukaran pelajar dan staf di peringkat antarabangsa.

UPM juga ada melaksanakan program dual degree dan join degree dengan University of Sheffield, United Kingdom. Cara ini akan meningkatkan pandangan luar secara global apabila ada kolaborasi penerbitan bersama dan pengiktirafan lebih tinggi.

Kita juga sedang berbincang tentang Pelan Transformasi Universiti Awam supaya lebih terkenal bukan sebab nama tetapi kerana kualiti.

Penuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

APA yang kita lakukan (kerjasama dengan syarikat-syarikat dalam pelbagai industri) sememangnya ke arah itu (IR 4.0).

Sebelum ini orang melihat pertanian berkaitan dengan cangkul sahaja tetapi sekarang kita membangunkan pertanian moden.

Kalau hanya melaksanakan pertanian konvensional sahaja, ia tidak akan berkembang berbanding pertanian moden yang mana produktiviti adalah tinggi menggunakan teknologi tinggi.

Bidang utama UPM sendiri masih pertanian. Kita banyak menghasilkan penyelidikan iaitu lebih 180 penyelidikan dikomersialkan dan 80 % daripadanya adalah bidang pertanian.

Walaupun ada bidang kejuruteraan tetapi kejuruteraan itu berkaitan teknologi pertanian seperti memotong buah kelapa sawit secara lebih pantas.

UPM ‘terbang’ tinggi

KITA sudah pun melebarkan ‘sayap’ ke negara-negara Asia apabila brand UPM terpahat pada kapal terbang Airbus 320 AirAsia dengan kerjasama syarikat penerbangan itu.

Kerjasama sebegini memberi peranan lebih penting untuk melihat apa keperluan industri yang boleh membantu graduan termasuk dalam kerja penyelidikan.

Pokok ikonik masih hidup?

POKOK telinga gajah atau nama saintifiknya, Enterolobium Cyclocarpum yang tumbang pada 6 Januari lalu akibat penyakit selepas berdiri gagah di Ladang 16 sejak 40 tahun lalu sudah ada penggantinya.

Kita dapati ada anak pokok itu dan sekarang kita ‘belai’ supaya tahan penyakit. Pastinya pohon yang juga digelar Tree of Life UPM ini akan terus menjadi pokok ikonik UPM.