Populariti Aleah, 37, yang naik secara mendadak juga telah menimbulkan salah faham, sehingga ramai menyangkakan bahawa anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu adalah kakitangan Liverpool.

Dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, SUFIAN HADI SOJAK, Aleah berkongsi pengalamannya sebagai penuntut Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Liverpool John Moores dalam bidang fisiologi kardiovaskular, yang terlibat melakukan ujian saringan terhadap pemain Reds.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana boleh menyertai pasukan perubatan Liverpool?

ALEAH: Pada akhir 2015, saya yang juga penuntut PhD di Universiti Liverpool John Moores mula menjalankan kajian PhD berkaitan kardiovaskular untuk pasukan Liverpool Ladies. Kemudian, salah seorang penyelia saya, Profesor Dr. John Somauroo juga Pakar Perunding Kardiologi untuk Persatuan Bola Sepak (FA) England dan Liverpool menawarkan saya untuk sama-sama terlibat melakukan ujian saringan kardiovaskular di kelab tersebut. Sejak itu, saya mula bersama-sama melakukan ujian saringan untuk Liverpool.

Antara pasukan yang pernah puan kendalikan untuk menjalankan ujian?

ALEAH: Skuad utama Liverpool, Liverpool Ladies, Liverpool B-23 (Bawah 23 tahun), Akademi Liverpool, Manchester United B-23, Everton Ladies, Cardiff Ladies, Sky Pro Cycling Team, pasukan berbasikal Olimpik Britain, pasukan ragbi England (Liga Ragbi), Tranmere Rovers FC, Derby County FC, pengadil FA England dan skuad polo air England.

Pernah terfikir akan turut serta bersama kelab terbesar di dunia seperti Liverpool?

ALEAH: Tidak pernah terlintas men­ja­lankan ujian ke atas pasukan besar seperti Liverpool. Tawaran untuk sama-sama melakukan ujian saringan saya terima tanpa mengambil masa yang lama.

Sebelum menjalankan ujian ke atas kelab bola sepak, adakah pernah mengikuti perkembangan sukan ini?

ALEAH: Sebelum melanjutkan pelajaran, saya berkhidmat di Institut Sukan Negara (ISN) di Jabatan Perubatan Sukan dan sememangnya saya terlibat secara langsung dengan atlet-atlet sukan negara antaranya bola sepak yang mana tugas saya ketika itu adalah merang­ka program reha­bilitasi atlet. Antara pemain bola sepak tempatan yang pernah menjalani program rehabilitasi kendalian saya adalah Mohd. Fitri Syazwan, Izzaq Faris Ramlan, Mahali Jasuli, Wan Zack Haikal, Wan Zaharul Nizam, K. Gurusamy, Nazirul Naim dan ramai lagi.

Kehidupan di Liverpool bagaimana? Bila akan pulang ke tanah air? Apa peranca­ngan selepas tamat penga­jian? Mungkin ada peran­cangan bersama pasukan peruba­tan untuk sukan bola sepak kebang­saan atau pasukan tem­patan?

ALEAH: Kami seke­luarga suka tinggal di Liver­pool, sebuah bandar raya serba moden dan lengkap tanpa kesesakan jalan raya. Kos sara hidup juga tidak tinggi. Menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di sini juga tidak rumit kerana kemudahan seperti masjid, pusat pembelajaran Islam dan sumber makanan halal senang didapati.

Insya-Allah saya akan kembali ke tanah air seawal hujung tahun ini. Saya merancang untuk menabur bakti serta berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan agensi sukan di Malaysia, persatuan-persatuan sukan atau persatuan bola sepak supaya polisi perubatan diperkemas dan dipertingkatkan ke suatu tahap yang lebih baik.

Adakah sukar untuk menjalankan ujian ke atas pemain profesional Liverpool yang kebanyakannya bertaraf bintang?

ALEAH: Sepanjang menjalankan ujian ke atas pemain-pemain ini, saya lihat mereka sangat profesional, berdisiplin dan patuh dengan kehendak dan polisi kelab yang mewajibkan setiap pemain menjalani siri ujian yang ditetapkan. Saya tidak mengalami kesukaran berurusan dengan mereka. Malah, mereka begitu ramah dan ada sesetengah pemain boleh saya kategorikan sebagai lebih sopan terhadap wanita. Mungkin masing–masing berdebar menunggu hasil ujian kerana jika gagal, ini bermakna kerjaya mungkin berakhir.

Siapa pemain Liverpool paling diva?

ALEAH: Pada pemerhatian saya, boleh dikatakan tiada seorang pemain yang kelihatan berlagak diva. Cuma ada seorang dua pemain yang kelihatan agak serius dan tidak banyak bercakap namun sentiasa patuh dengan arahan daripada pegawai kelab.

Siapa pemain Liverpool yang paling disenangi?

ALEAH: Saya menyenangi sikap Alex Oxlade Chamberlain yang paling mudah memberikan kerjasama.

Bagaimana pula dengan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino? Ragam mereka sama ada pemalu, pendiam, mesra?

ALEAH: Salah agak pemalu pada mulanya namun gemar tersengih. Mane adalah seorang yang mesra, sangat berdisiplin dan tidak pernah lewat hadir menjalani ujian. Dia nampak pendiam tetapi sebenarnya peramah manakala Firmino tidak lokek dengan senyuman.

Boleh huraikan sedikit sikap Jurgen Klopp yang puan kenal?

ALEAH: Klopp sebagaimana yang dilihat dalam media, begitu mesra dengan semua orang di kelab di semua peringkat. Beliau akan terlebih dahulu menyapa. Namun, apa yang saya lihat jika menjelang perlawanan besar, beliau menjadi lebih serius dan kelihatan begitu komited.

Difahamkan, Liverpool adalah salah sebuah kelab yang mesra Muslim. Di Melwood (tempat latihan skuad Reds) pernah menyediakan ruang solat dan makanan halal untuk pemain Islam. Apa pengalaman berhubung situasi itu?

ALEAH: Saya setuju. Saya boleh simpulkan bahawa berdasarkan pengalaman saya, sememangnya Liverpool adalah sebuah kelab yang mesra Muslim. Saya berpeluang berinteraksi bersama cef di Pusat Latihan Melwood, yang mana menurutnya, makanan yang disediakan di Melwood dan di Akademi Liverpool serta Kirkby semuanya halal. Bukan sekadar halal malah sedap. Di Anfield (stadium) turut disediakan sebuah bilik solat untuk kegunaan penyokong. Malah sumber makanan yang disediakan untuk penyokong yang membeli pakej hospitaliti adalah didapati daripada pengedar yang halal.