Itu reaksi yang saya terima tidak kiralah rakyat tempatan mahupun warga asing yang sering menggunakan KLIA untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Saya tanya mereka tentang keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini meluluskan cadangan penjenamaan semula nama KLIA kepada SIA.

“KLIA dah famous, orang dah tahu.”- Atie, 30.

“Kalau tukar nama, dah jadi lain. Orang nanti tak tahu.”- Suci, 29.

“Tak setuju sebab nama tu dah famous.”- Liya, 38.

“Kita dah biasa dengan KLIA.”- Adam, 21.

PROFESOR DR. ZAID AHMAD
PROFESOR DR. ZAID AHMAD 

Betullah kata mereka biarpun mudah dan ringkas jawapannya, tapi ada logiknya. Sudah elok dinamakan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), nak ditukarkan pula SIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang). Sudah ‘cantik’ dikenali di seluruh dunia, takut lama-lama terus ‘tenggelam’.

Alasan kerajaan negeri, langkah itu mahu dibuat agar mencerminkan lokaliti lapangan terbang tersebut yang terletak dalam Sepang.

Keperluan itu dilihat seiring dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara menggunakan lokaliti sebagai nama rasminya.

Itu sahajakah sebabnya? Kalau begitu, saya rasa lebih banyak menyusahkan berbanding manfaat yang mungkin diperoleh.

Yalah, papan tanda gerenti kena ganti, logo nak diubah, promosi perlu buat, ish...banyak lagilah nak kena fikir semata-mata mahu tukar nama.

Bagi Profesor Dr. Zaid Ahmad dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), apabila keterlaluan mahu menukar sesuatu, kita kadang-kadang terlupa sebab utama kenapa perlu berbuat demikian.

Pada pandangannya, bukan tidak boleh tukar nama KLIA tapi biarlah tindakan itu atas alasan amat perlu dilaksanakan.

Kalau nak tukar, perlu ada asas kukuh. Di penghujungnya berimpak besar. Bertukar bukan hanya untuk bertukar. Ataupun tukar sesuatu hanya semata-mata menukar tanpa ada satu sebab jelas, katanya.

“Benda yang dinamik, sampai waktunya akan berubah. Tapi kena ingat, setiap kali nak lakukan perubahan, harus ada alasan kukuh.

“Kalau tidak hanya berubah untuk berubah, tiada bawa apa-apa faedah baharu. Tidak beri satu impak. Change for the seek of change!

“Tak mahu pakai nama itu tapi nak pakai nama baharu, tak cukup alasan nak ubah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, kelmarin.

Menurutnya, apa yang lebih penting untuk dilakukan sekarang adalah mengembalikan jati diri kita.

Apa yang perlu ditukar adalah nama-nama tidak kiralah bangunan, taman perumahan atau tempat yang tidak melambangkan identiti kebangsaan.

Ya, memang benar kata Zaid. Kalau memandu dari KLIA menuju Lembah Klang, kita faham apa yang beliau maksudkan. Cybersouth City, Symphony Hills, Laguna Square, Century Square, Park Residence dan banyak lagi nama aneh.

Semua nama ini tidak mempunyai jati diri pun, tiada unsur kebangsaan di dalamnya, tidak melambangkan identiti nasional. Kenapa perlu agungkan nama-nama asing ini? Malukah nak guna nama Melayu?

Zaid menjelaskan, perkara itu penting. Apabila disebut pasal nama, ia lambang atau simbol diri kita. Bukan sekadar letakkan apa sahaja nama yang kononnya sedap didengar, ada kelas, nampak elit. Padahal tiada signifikan langsung.

“Itu sebab bila kita nak namakan sesuatu, kita harus fikirkan simbol yang hendak kita tunjukkan.

“Kalau nak lihat identiti nasional diangkat, nama-nama seperti itulah yang perlu kepada perubahan,” ujarnya.

KLIA masih terselamat dari melalui proses penjenamaan semula nama. Bagaimanapun banyak program yang dicetuskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah pun ditukar namanya.

Antaranya Klinik 1Malaysia ditukar kepada Klinik Komuniti, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) - Bantuan Sara Hidup (BSH), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) - Pusat Komuniti Desa (PKD), Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) - Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS). Terbaharu, Program Permata Negara (Permata) dijenamakan semula sebagai Genius.

Namun akan datang, siapa tahu nasib KLIA bagaimana?