Namun berbeza bagi Zulkifli Haron yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam bidang reka cipta. Bagi dia, ada sedikit kelakarnya. Dia yang pernah mendapat jolokan McGyver Malaysia kerana kejayaan menghasilkan ribuan reka cipta dan inovasi berkata, kereta terbang bukanlah benda baharu. Ia sudah pun berjaya dibuat oleh beberapa negara Barat, China dan India. Namun sampai sekarang masih belum dijual, tiada lagi dalam pasaran.

Kenapa jadi begitu? Sebab hakikat dan faktanya, belum ada lagi bateri yang mampu menerbangkan kereta bagi tempoh lama. Maksimum bateri paling canggih iaitu yang digunakan oleh kereta elektrik Tesla pun setakat boleh pergi sejauh 200 kilometer. Itu pun bateri tersebut sama berat dengan kereta. Lagi pula kereta elektrik bergerak di darat, bukan terbang di udara. Jadi tiada masalah untuk kereta elektrik nak bawa beban bateri yang sangat berat itu.

Tapi kalau nak angkut sebuah kereta ke udara, sukar buat Zulkifli untuk bayangkan berapa banyak tenaga perlu dibazirkan begitu sahaja. Kereta terbang perlu seringan yang boleh. Kalau ada kipas, sangkut pada badan manusia sudah memadai, tidak perlu kerangka. Lagi ringan lagi bagus.

Andaikata nak guna dron untuk bawa orang naik ke udara, yang paling canggih untuk kegunaan komersial pun tempoh maksimum terbang baharu 40 minit. Pesawat tanpa pemandu (UAV) yang digunakan oleh tentera pun dibantu oleh sistem-sistem lain seperti solar dan mikronuklear.

Justeru menjadi persoalan Zulkifli sekarang, bagaimana kereta terbang buatan tempatan nanti nak pergi dari satu tempat ke tempat lain dengan membawa beban sedemikian? Sudah tentu memerlukan banyak stesen mengecas bateri supaya dapat terbang lama. Kalau nak bawa banyak bateri pula, pastinya terlalu berat untuk terbang dalam jangka masa lama. Nak terbang menggunakan bateri pun berisiko tingi, tidak berapa selamat seperti kereta elektrik.

,adi, bagaimana? Nak guna banyak bateri atau kurang bateri?

“Jadi jawapannya sama ada telur dahulu atau ayam dahulu? Kalau banyak bateri, jadi berat, tak tahan lama nak terbang. Kalau kurang bilangan bateri, boleh terbang lama, tapi nak kena ada banyak stesen mengecas.

“Di sini saya lihat impian nak bina kereta terbang sekadar bercerita sajalah. Bercita-cita boleh tapi nak dijadikan realiti, saya rasa belum sampai masa,” katanya.

JANGAN KUTUK

Namun Zulkifli bangga dengan keazaman Menteri Pembangunan Usahawan itu untuk menghasilkan kereta terbang pertama ciptaan anak tempatan. Dia yang juga Pengarah Urusan Zull Design Autotronic berkata, kalau ramai lagi rakyat Malaysia bercita-cita tinggi seperti Mohd. Redzuan, barulah negara lebih berjaya dan membangun. Sekurang-kurangnya ada usaha untuk memulakannya. Zulkifli mengakui dia pastinya bangga jika kereta terbang buatan tempatan berjaya dihasilkan. Walau bagaimanapun, kosnya pasti amat tinggi.

“Jangan kita terus kutuk. Asal nak buat benda baharu saja, terus tular kata tak bagus.

“Kita sepatutnya beri sokongan. Buat satu (kereta terbang) sebagai percubaan, buatan kita sendiri. Tapi kalau nak dikomersialkan, tidak sesuai (kos tinggi),” ujarnya.

Apa yang membuatkan kos operasi kereta terbang mahal? Zulkifli menjelaskan, kuasa apungan dan terjahan sangat berbeza dan rumit kerana perlu melawan daya graviti. Bukan senang nak mengawal dan mengimbangkan kereta terbang di udara. Itu sebab untuk menggerakkan kereta elektrik tidak banyak isu sebab sifar graviti tetapi nak terbang, memerlukan kuasa yang tinggi.

Jumlah bahan api yang nak digunakan untuk take-off sahaja pastinya berlipat ganda berbanding jumlah bahan api bagi satu-satu perjalanan. Bayangkan pembaziran di situ!

Zulkifli juga memberikan contoh pembaziran lain, seperti dron. Untuk mencipta dron yang boleh mengangkut barangan seberat 100 kilogram, dia mampu membuatnya dengan kos kira-kira RM250,000 tetapi kalau kerajaan yang buat, mungkin RM25 juta.

‘Baju terbang’ yang pernah dihasilkan Zulkifli kira-kira lima tahun lalu melibatkan kos tidak sampai RM100,000 tetapi di Amerika Syarikat (AS), jetpcak menelan belanja hingga berjuta-juta dolar. Tapi tiada beza sangat pun ‘baju terbang’ buatan Zulkifli dengan jetpack dihasilkan oleh AS. Kedua-duanya boleh naik ke udara dan sampai sekarang masih tidak dijual di pasaran, sama sahaja!

Selain itu, peraturan baharu perlu diperkenalkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Contohnya, dron kalau nak naik ke udara melebihi 200 meter perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Kata Zulkifli, tidak salah Mohd. Redzuan memberikan pandangan tentang kereta terbang tetapi nak membuatnya, seeloknya diserahkan sahaja kepada yang arif.

“Kita ada banyak universiti, ramai anak muda yang suka mencipta, syarikat-syarikat elektronik yang berdaya saing.

“Tapi itu hak masing-masing. Tak salah nak bercerita, nak berkata,” jelasnya.

Walau apapun, kita tunggu dan lihat sajalah...

‘Tak salah berangan’

KATA Zulkifli, tidak salah jika kerajaan mahu membuat inovasi, sebaliknya ia bagus. Tetapi biarlah cipta sesuatu yang praktikal, yang benar-benar boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

Sebenarnya, banyak lagi perkara penting yang perlu kerajaan fikirkan. Ramai lagi rakyat marhaen yang masih ketinggalan. Nak pula pada masa kini dengan harga barangan yang semakin mahal, nilai duit kita yang semakin susut, eksport kita yang merudum.

“Bukan tak boleh berangan itu, berangan ini. Tapi buatlah (utamakan) yang asas (penting) dahulu.

“Kalau nak berbelanja (reka sesuatu), ukurlah baju di badan sendiri,” katanya.

Ini tidak, ujarnya, sekarang seolah-olah wujud dua kelas masyarakat. Satu, rakyat yang terus ketinggalan dan lagi satu, mereka yang makin maju ke depan. Ada dua jurang, golongan elit dan bukan elit.

Menurutnya, apabila ada perbezaan status rakyat sedemikian, dikhuatiri akan timbul banyak kemusnahan. Rakyat akan marah, memberontak, mencuri berikutan mereka seperti dibahagi-bahagikan taraf kedudukan masing-masing, umpama kasta. Akibatnya, ekonomi menjadi tidak stabil, politik juga tidak stabil. Akhirnya dibimbangi negara menjadi huru-hara.