Eh, bukan saya yang cakap tapi mereka, rakyat republik itu yang tinggal di negara ini. Saya temui mereka di luar Kedutaan Besar Republik Indonesia di ibu negara, Selasa lalu. Ketika itu waktu rehat, mereka sedang tunggu pejabat kedutaan dibuka semula untuk sambung urusan rasmi masing-masing. Saya dapatkan pandangan mereka menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia, 17 April nanti. Mereka yang merupakan sebahagian daripada 1.5 juta pengundi berdaftar warga Indonesia di negara ini akan menunaikan tanggungjawab untuk mengundi awal pada 14 April ini. Pilpres bakal menyaksikan penyandang jawatan itu, Joko Widodo (Jokowi) ditentang Prabowo Subianto.

Mungkin terpengaruh dengan senario politik di Malaysia, pandangan mereka terhadap Pilpres pun banyak berkisar tentang sikap segelintir wakil rakyat tempatan. Lebih-lebih lagi berlangsung beberapa pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini. Mereka dapat melihat sendiri perubahan ketara karakter beberapa calon parti politik semasa berkempen dan selepas menang pilihan raya. Semasa berkempen, pelbagai janji ditabur kepada pengundi tetapi selepas menang, gagal ditunaikan. Seperti kata orang sekarang, hampeh! Keadaan sedemikian ternyata sedikit membimbangkan. Pastinya mereka pun tidak mahu menerima nasib yang sama.

Bagi Arifin, 39, yang berasal dari Pulau Jawa, kalau pemimpin sendiri pun tidak bertanggungjawab, tidak hairan jika rakyat pun menjadi tidak amanah dalam menjalani kehidupan harian. Justeru, kalau sudah berjanji, pastikanlah ia ditunaikan.

Dia memberikan contoh kata orang tua-tua dahulu. Seperti ular, kesempurnaan fizikal dan pergerakan haiwan itu adalah mengikut kepalanya. Kalau kepala sudah tidak betul (rosak) maka keseluruhan badannya di bawah akan turut jadi tidak sempurna.

Jangan omong kosong, kata Arifin dalam nada kesal. Sebelum menang, janji macam-macam. Bila sudah menang, buat-buat macam tidak tahu. Macam tidak pernah cakap (janji). Ada ditunaikan juga tapi tidak seratus peratus seperti dijanjikan sebelum itu.

Justeru, dia menasihatkan mereka yang bakal mengundi agar membuat pilihan yang bijak.

Saya tanya mereka, bagaimana nak buat pilihan kalau semua calon menjanjikan yang baik-baik dan manis-manis belaka? Macam mana nak elak daripada termakan janji-janji palsu kalau bulan dan bintang pun dipertaruhkan? Contohnya, seperti kita lihat dalam Youtube ucapan seorang pemimpin politik semasa berkempen dahulu: “Hari ini kalau ditakdirkan kita tawan Putrajaya, esok harga minyak turun!” Tapi sampai sekarang walaupun sudah bertukar kerajaan, harga minyak masih tidak turun-turun. Kalau turun pun adalah sekali, dua, itu pun ‘ciput’. Sekarang naik semula.

Menurut Adi, 28, dari Lombok, memang sukar dalam situasi sedemikian. Tidak tahu mana satu yang benar-benar ikhlas.

Justeru, pengalaman lampau calon itu sendiri mungkin boleh dijadikan panduan. Sebagai contoh, jelas Adi, kalau mahu dibandingkan rekod prestasi Jokowi lebih senang dinilai kerana beliau adalah penyandang. Tapi kalau Prabowo yang merupakan seorang usahawan dan bekas pegawai tinggi tentera, mungkin sedikit sukar. Tapi itu bukan masalah besar, kalau sudah benar-benar yakin, buat sahajalah pilihan mana-mana calon yang dianggap terbaik.

Pilihan ini adalah daripada rakyat dan hasilnya nanti akan dipulangkan semula kepada rakyat, tegas Adi.

Saya tanya mereka lagi, apa kesan kepada rakyat dan negara andaikata tersalah pilih calon? Nak tunggu Pilpres akan datang, makan masa juga, lima tahun lagi.

Jawab Eli, 53, yang berasal dari Pulau Jawa, pastinya kecewa. Menyusahkan hidup rakyat.

Seperti kita juga, pengundi Indonesia pastinya mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar mampu membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyatnya. Mahu mencuba-cuba memberi peluang kepada kerajaan baharu untuk mentadbir negara mungkin satu risiko besar, sama ada nasib lebih baik atau sebaliknya.

Kepada rakyat Indonesia, selamat mengundi untuk memilih presiden bagi penggal baharu. Indonesia Maju (slogan Jokowi) atau Indonesia Adil Makmur (slogan Prabowo), masa depan Indonesia terletak di tangan anda.

Boleh tonton video yang saya sediakan di www.utusan.com.my.