Boleh percaya ke? Mestilah. Dia perempuan. Motovlogger ramai lelaki. Motovlogger wanita yang ada pun dua, tiga orang sahaja.

Itu yang diberitahu oleh pemilik akaun Youtube, Rider Helmet Pink, Nur Atikah Azwar, 24. Dia menceburi aktiviti motovlog kerana minat. Ganjaran baginya adalah perkara nombor dua atau tiga. Tipulah kalau kata, dia akan tolak ganjaran jika ditawarkan. Siapa tidak mahu duit kalau ada

TANGKAP layar laman motovlogger Rider Helmet Pink.
TANGKAP layar laman motovlogger Rider Helmet Pink. 

yang sudi beri? Lebih-lebih lagi motovlogger yang popular, kalau kena caranya memang boleh buat duit. Saya pun dengar ada yang sanggup berhenti kerja. Kalau dulu secara sambilan, sekarang sudah jadi motovlogger sepenuh masa.

Apa itu motovlogger? Motovlogger ialah mereka yang merakamkan video ketika menunggang motosikal. Biasanya semasa menunggang uji atau melakukan aktiviti melibatkan motosikal.

Dikenali sebagai Pink dalam Youtube, Nur Atikah memang terlalu minat dengan jentera dua roda, tidak kiralah yang berkuasa tinggi atau kapcai. Motovlog baginya adalah kaedah untuk menimba ilmu dalam dunia permotoran secara santai. Walau bagaimanapun, ada sesetengah topik yang dihujahkan atau diceritakan oleh motovlogger lelaki dirasakannya tidak sesuai dengan penunggang wanita. Justeru, dia bertekad membuat motovlog khusus untuk berkongsi apa-apa sahaja berkaitan motosikal dengan kaum Hawa. Dia berkongsi pengalaman dan ilmu dengan wanita lain untuk menunggang dengan betul dan selamat, bagaimana nak servis seperti tukar minyak hitam, mengembara jarak jauh dan banyak lagi.

Pada masa sama, Nur Atikah mahu belajar lebih mendalam lagi tentang motosikal. Komen-komen daripada penonton video amat membantunya, ditambah dengan banyak tip berguna daripada mereka.

“Pada asalnya saya selalu ride sorang, tiada orang nak ajak saya. Lagipun, kebanyakan motovlogger adalah lelaki.

“Pandangan lelaki dan wanita lain. Kemampuan lelaki dan wanita juga berbeza. Dari situ saya nak buktikan yang perempuan pun boleh buat,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Apa yang mengagum­kan, meski­pun baru menjadi motov­logger tidak sampai tiga bulan, akaun Rider Helmet Pink kini sudah ada lebih 10,000 pelanggan (subscriber) manakala setiap video yang siar akan ditonton oleh kira-kira 30,000 orang.

Apa rahsia yang membuatkan ramai yang minat mengikuti Rider Helmet Pink? Bagi Nur Atikah, mungkin sebab dirinya seorang wanita tetapi mampu membuktikan apa yang dilakukan oleh lelaki khususnya berkaitan dengan motosikal juga boleh dibuatnya.

Respons menggalakkan itu membuatkan anak kelahiran Mentakab, Pahang ini mahu meningkatkan jumlah pelanggan akaun Youtube miliknya.

“Saya sebenarnya sasar untuk capai 100,000 subscriber dalam masa 12 bulan. Jadi, kalau dapat, alhamdulillah.

“Dalam hidup kita memang sepatutnya ada sasaran. Jadi kita boleh usaha selagi yang mampu. Selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT,” ujarnya.

MARTABAK

Mula-mula memang mencabar, rasa susah nak hasilkan video. Video pertamanya dalam Youtube adalah pada April lalu bertajuk Ride Melaka Hawau iaitu kisahnya menunggang motosikal ke Melaka bersama dua rakan.

Video keduanya bertajuk How to (camne eh) ER6F/Ninja 650 Engine Oil & Filter Service tentang dia menukar minyak enjin dan penapis motosikal miliknya.

Dan video yang menerima reaksi dan komen paling tinggi adalah Penang Solo Ride mengenai pengalaman menunggang bersendirian balik hari ke Pulau Pinang. Dia bertolak dari Kampung Melayu Subang, Selangor pukul 8.30 pagi dan sampai di Pulau Pinang dalam masa tidak sampai tiga jam selepas tolak waktu rehat dan berhenti untuk mengisi minyak. Namun semasa pulang, dia terpaksa menempuh hujan lebat. Bertolak pukul 4 petang dan tiba di rumah 10 malam.

Nur Atikah juga pernah menunggang secara solo ke Johor Bahru pada bulan Ramadan baru-baru ini semata-mata mahu membeli martabak untuk ibunya berbuka puasa!

200 KM/J

Oleh kerana minat dengan motosikal, pekerja swasta ini juga membuat tunggang uji dan ulasan pelbagai model motosikal. Setakat ini dia sudah menguji Honda CB250R (249 cc), Kawasaki ER6F (649 cc), Honda X-ADV (745 cc), Yamaha Tracer 900 GT (847 cc), Yamaha R1 (998 cc) dan Aprilia RSV4 (999 cc). Dia berazam mahu menunggang uji model-model lain sebanyak boleh.

Kalau sudah biasa berdamping dengan motosikal berkuasa tinggi, kelajuan ekstrem adalah perkara biasa. Begitu juga Nur Atikah. Paling laju dia pernah bawa, 200 kilometer/sejam (km/j)!

Walau bagaimanapun, itu tidak menghairankan. Nur Atikah memang sudah biasa tunggang motosikal sejak tingkatan satu lagi. Tapi masa itu curi-curi bawa motosikal milik bapanya keliling rumah. Semasa berumur 16 tahun, dia lulus lesen menunggang lalu bapanya menghadiahkan sebuah kapcai, Honda EX5 kepadanya. Kemudian dia upgrade kepada Yamaha FZ150i diikuti sekarang, Kawasaki ER6F.

KELILING DUNIA

Dia ada impian ‘hebat’ iaitu mahu mengembara dengan motosikal mengelilingi dunia. Dia bercita-cita melawat 44 negara dalam masa 370 hari. Untuk menjayakannya, dia kini mula menabung.

Bagi wanita yang mahu menjadi motovlogger, dia menasihatkan mereka agar sentiasa yakin, jadi diri sendiri dan selalu positif.

“Apa orang lain cakap terutama yang negatif, ambil saja sebagai benda positif. Mana (kecaman) yang kita betul-betul tidak boleh terima, abaikan saja,” nasihatnya.