Tapi apabila kerajaan umumkan cadangan pemansuhan tol di empat lebuh raya baru-baru ini, sebaliknya pula reaksi orang ramai. Ramai yang melenting. Tengok komen-komen warganet dalam media sosial, ‘berbakul’ cemuhan dan sindiran diluahkan mereka. Mana tidak marah, tempoh percuma yang dicadangkan itu adalah antara pukul 11 malam hingga 5 pagi. Bagi mereka, itu tempoh waktu kebanyakan orang sedang tidur. Sudah tentu mereka tidak berada di atas jalan raya.

Memang betullah, biasanya yang menggunakan lebuh raya dalam tempoh sedemikian ialah pemandu kenderaan berat seperti treler dan lori tangki. Malah, ada warganet yang secara sinis menyatakan paling untung adalah mat rempit dan kaki disko. Yang buat lawak pun ada. Komen mereka, hantu-hantu yang banyak keluar waktu itu. Lagi ‘pedih’ mende­ngarnya!

Tambah buat mereka ‘angin’, lebuh raya terbabit iaitu Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Tero­wong Smart terletak di Lembah Klang, justeru tidak semua orang yang akan mendapat manfaatnya.

Rahman, 49, menyifatkan cadangan itu amat tidak relevan. Mana tidaknya, tiada faedah yang dia peroleh daripada cadangan itu jika diluluskan.

“Siapa yang nak lalu waktu tu? Sesuai untuk mat rempit saja!” jelasnya.

Baginya, orang ramai boleh terima sekiranya pemansuhan tol dibuat pada waktu puncak.

Benar cakap Rahman. Waktu puncaklah ramai pemandu di atas jalan raya, pergi dan pulang kerja. Jika dilaksanakan sebegini, baharulah rakyat boleh hargai usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan beban kehidupan mereka.

Pada pandangan Hazroy, 30, pula, kalau cadangan tersebut juga bertujuan mengurangkan kesesakan lalulintas, wajarlah tol percuma diberikan ketika orang ramai berpusu-pusu mahu pergi dan pulang kerja. Ini kerana palang di plaza tol boleh dinaikkan sekali gus pemandu tidak perlu memperlahankan kenderaan masing-masing. Baharulah perjalanan menjadi lancar.

Sekiranya nak tiru Singapura yang ada sistem canggih mengutip tol secara elektronik mungkin sukar. Keluasan Singapura kecil berbanding Malaysia, lagipun kita mempu­nyai banyak lebuh raya. Sukar nak memantau dan mengawal ribuan kenderaan.

Berbeza pandangan Sharul, 30, yang melihat cadangan kerajaan itu sebagai positif.

“Walau tidak besar mana pun kesannya, sekurang-kurangnya pekerja syif malam dapat manfaat,” ujarnya.

Menurutnya, terpulang kepada orang ramai untuk memahami cadangan ini. Memanglah ia tidak seratus peratus dapat membantu mengatasi kos sara hidup rakyat yang kian me­ningkat tetapi ada jugalah sesuatu yang boleh dimanfaatkan daripada tiada langsung. Lebih elok buat secara skala kecil dahulu dan dari situ boleh dinilai untuk diteruskan ke semua lebuh raya pada masa akan datang secara berperingkat.

“Kalau boleh memanglah lebih baik dilaksanakan di semua lebuh raya.

“Buat permulaan, empat lebuh raya ini pun sudah okey. Kerajaan pastinya nak buat yang terbaik (untuk rakyat),” katanya.

Bagi saya sendiri, nak bantah tidak, nak sokong pun tidak cadangan ini. Ini kerana saya tidak menggunakan keempat-empat lebuh raya berkenaan sama ada ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Tapi andaikata pada masa akan datang dilaksanakan di semua lebuh raya, syukur, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kalau kena syif malam, dapatlah duit tol yang tidak digunakan masuk tabung!