Visa? Ya, bagi kebanyakan orang, visa adalah dokumen yang diperlukan jika mahu ke luar negara tapi untuk bikers, ia mempunyai maksud tersendiri. ‘Visa’ umpama lesen yang diberikan oleh pasangan (biasanya isteri) untuk keluar dengan rakan-rakan, tidak kiralah jauh ataupun dekat jarak perjalanannya. Tanyalah mana-mana bikers yang ditemui semasa berkonvoi, kebanyakan mereka pasti akan memberikan jawapan sama - sudah dapat ‘visa’. Kalau tidak pun, tersipu-sipu malu nak beri jawapan.

Jiwa kacau

Penting sangatkah ‘visa’? Tidak juga. Tiada ‘visa’ bukan bermakna tidak boleh keluar rumah. Kalau sudah namanya bikers, hujan lebat ke, panas lit-lit (terik) ke, ride tetap ride! Cuma mungkin ‘rantai tak panjang’ (jarak dekat sahaja).

‘Visa’ ini bolehlah disifatkan sebagai restu daripada pasangan masing-masing supaya perjalanan ‘selamat’ tanpa sebarang masalah. Meskipun bukan wajib, tidak bererti mereka boleh keluar begitu sahaja tanpa perlu maklumkan kepada isteri ke mana nak dituju. Ini kerana tanpa ‘visa’ boleh bikin hati tidak tenteram, jiwa kacau kata orang sekarang, seolah-olah sudah melakukan kesalahan besar. Itulah sebabnya perlu dapat ‘visa’ terlebih dahulu, supaya rasa seronok, tiada gangguan dalam fikiran sepanjang masa bersama rakan-rakan.

Ini bukan cerita rekaan kerana penulis sendiri biasa bergaul dengan bikers. Berikut adalah kisah yang penulis alami sendiri, bagaimana perkara ini mampu mempengaruhi keputusan mereka setiap kali mahu berkonvoi dengan rakan-rakan:


Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN

Kisah 1

(Telefon bimbit berdering). Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Jarang penulis terima panggilan pada waktu begini. Sebaik sahaja menjawab, terdengar suara dalam nada berbisik: “Tunggu aku bro, aku tengah bersiap. Baru dapat ‘visa’.”

Semasa berjumpa di RV (lokasi pertemuan ditetapkan), rakan tadi memberitahu, dia mengejutkan isterinya yang sedang nyenyak tidur untuk minta izin keluar. Katanya, sengaja dia tunggu waktu demikian. Dalam keadaan mamai, si isteri mendengus sambil mengangguk kepala, mungkin malas nak layan kerana mengantuk. Maka dapatlah rakan tadi keluar dengan hati tenang. Patutlah dalam grup WhatsApp malam sebelumnya, dia tidak beri maklum balas sama ada nak ikut berkonvoi atau tidak. Rupa-rupanya belum dapat ‘visa’.

Kisah 2

Rakan penulis ini pula sudah dapat ‘visa’. Tapi masalahnya, ‘visa’ dia dari Kuala Lumpur sampai Bentong, Pahang sahaja. Tapi geng dia tiba-tiba ubah pelan, mahu pergi lebih jauh sedikit, ke Temerloh pula. Mana boleh batal program, justeru sanggup dia mematikan telefon bimbit. Kononnya si isteri tidak dapatlah kesan dia nanti! Sampai begitu sekali sanggup dibuat padahal si isteri tidak tanya apa pun semasa dia pulang.

Queen control?

Bukan. Jauh sekali ahli GTB (geng takut bini). Pada cuti hujung minggulah waktu sesuai untuk isteri meminta bantuan daripada suaminya. Mungkin isteri nak ajak suami menemaninya ke pasar untuk membeli barangan dapur, atau minta tolong hantar anak ke kelas tuisyen, atau tolong kemas rumah. Tapi apabila tiba hari tidak bekerja, suami pula tiada sebab keluar dengan rakan-rakan, mana isteri tidak membebel.

Setiakawan

Bagi penulis, pentingnya ‘visa’ kepada bikers adalah kerana sifat semula jadi yang ada dalam diri mereka. Memang penampilan bikers nampak rugged dengan jaket, but, sarung tangan, topi keledar penuh muka tapi jiwa mereka sebenarnya ‘lembut’. Seperti ungkapan yang sering kita dengar, ‘dalam hati ada taman’. Bikers walau dari ceruk mana sekalipun di dunia mempunyai satu sifat yang sama iaitu semangat brotherhood (setiakawan).

Contohnya, jika semasa berkonvoi ada salah sebuah motosikal rosak, maka semua ahli dalam kumpulan akan sama-sama membantu. Begitu juga semasa menuju ke destinasi dirancang. Yang kaki pecut pasti akan tunggu di depan mana-mana yang perlahan. Janji semua sampai ke destinasi bersama-sama. Maka sikap tersebut terbawa-bawa dalam kehidupan harian mereka. Nak keluar dengan geng pun nak minta izin isteri terlebih dahulu. Bertuah isteri mereka!

Sebenarnya si isteri tidak kisah pun kalau suami nak berkonvoi dengan rakan-rakan kerana faham benar dengan minat pasangan masing-masing. Cuma si isteri nak tahu ke mana suaminya pergi, dengan siapa, balik pukul berapa? Kerana kalau apa-apa berlaku, si isteri tahu apa yang perlu dilakukan.

Jadi, lepas ini kalau terjumpa mana-mana geng motosikal, cubalah tanya mereka. Sudah dapat ‘visa’ ke?

Kalau nak tengok gelagat mereka tentang ‘visa’, boleh tonton video yang penulis sediakan di www.utusan.com.my.

Okeylah, bro gerak dulu, apa-apa roger...