Ya, jangan terkejut kalau masuk minggu kedua bulan Syawal, seluar raya tidak lagi boleh dikancing, baju kurung mula sendat. Semuanya gara-gara tidak kawal makan semasa mengunjungi sanak saudara dan rumah terbuka rakan-rakan.

Malah ada yang naik berat badan dua hingga empat kilogram selepas masuk minggu kedua hari raya.

Macam mana boleh berlaku sedemikian? Memang tidak mustahil. Bayangkan dalam tempoh seminggu cuti raya, setiap hari pulun habis berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat taulan.

Masuk minggu kedua dan seterusnya, setiap minggu sibuk pula memenuhi jemputan rumah terbuka. Malah selepas 30 Syawal pun ada juga yang terlajak buat jamuan. Justeru, jika tidak dikawal pengambilan makanan, tidak mustahil naik mendadak berat badan.

Sepanjang sebulan Ramadan, memang ramai yang ambil kesempatan untuk turunkan berat badan dengan mengawal pemakanan. Masa itu badan terasa ringan, pinggang pun ramping.

Mulalah pasang impian nak ganti semua pakaian dalam almari kepada saiz lebih kecil. Namun disebabkan nafsu dan beraya sakan, usaha keras selama sebulan itu jadi sia-sia.

Kalau tidak percaya, tanyalah sendiri pakar diet dari Hospital Pusrawi, Muhammad Azif Azizi Md. Noh yang melalui sendiri keadaan itu menerusi beberapa pesakit yang pernah dirawatnya.

MUHAMMAD AZIF AZIZI (kiri) memberi penerangan kepada pesakitnya
MUHAMMAD AZIF AZIZI (kiri) memberi penerangan kepada pesakitnya mengenai cara pemakanan yang sihat. 

“Ada pesakit beritahu saya yang berat badan dia turun empat kilogram dalam sebulan (puasa). Selepas 15 hari beraya, berat badan naik semula satu, dua kilogram,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tapi hari raya setahun sekali, tidak meriahlah kalau kena kawal makan. Itukan nikmat hidup?

Memanglah hari raya dan makanan yang sedap-sedap tidak boleh dipisahkan. Ketupat, rendang dan lemang misalnya, memang tinggi kandungan kalori. Bukan tidak boleh makan tapi kenalah kawal sikit, jangan berlebihan.

Ya, memang betul kata Muhammad Azif Azizi, namun janganlah pada hari raya pertama sampai terlupa yang hari-hari seterusnya selama sebulan masih lagi dalam bulan Syawal.

“Boleh makan tapi kawallah. Ambil hidangan ini sikit, itu sikit.

“Makanlah dalam kuantiti yang sikit atau sederhana,” ujarnya.

Jelasnya, antara hidangan-hidangan wajib pada hari raya yang perlu dihadkan pengambilannya selain lemang, ketupat dan rendang adalah dodol, biskut raya, kerepek, air manis serta air berkarbonat.

Bagi mereka yang mahu mengadakan jamuan rumah terbuka pula, dia menasihatkan supaya menyediakan hidangan yang dapat membantu tetamu mengawal pengambilannya (rujuk panduan disediakan).

Menurutnya, akibat tidak menjaga pemakanan, kebanyakan pesakit yang merujuk kepadanya selepas hari raya adalah disebabkan penyakit kencing manis. Mereka berumur antara 40 dan 70 tahun.

Ingat ya, kalau nak nampak slim dalam Instagram dan Facebook masa hari raya nanti, jangan makan banyak-banyak tau!