Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pemimpin tertinggi kedua-dua parti dijangka menandatangani draf akhir piagam serta dokumen perjanjian persefahaman mengenai kerjasama itu bulan depan.

Perjanjian itu akan mencatatkan sejarah kerana ia merealisasikan impian dua parti induk orang Melayu tersebut bersatu, bekerjasama dan berjuang demi kepentingan kaum serta agama Islam.

Dalam pertemuan penulis dengan beberapa individu daripada kedua-dua parti terbukti mereka begitu mengharapkan supaya kerjasama tersebut menjadi kenyataan.

“Penggabungan atau kerjasama ini bukan kerana kuasa politik tetapi demi masa depan orang Melayu dan saya percaya ia akan memberi kesan amat besar kepada perjuangan bangsa kita,” kata seorang pemimpin UMNO kepada penulis.

Di pihak Pas pula, nada dan harapan yang sama turut disandarkan. Ta’awun siyasi yang dilihat mampu mengubah landskap politik negara akan diteruskan tanpa sebarang gangguan sama ada dari dalam atau luar parti.

“Saya tahu ramai di luar parti sudah tidak boleh duduk diam dan semakin resah, bila mereka melihat pemimpin UMNO dan Pas terus bersemangat dan bertekad untuk memastikan ta’awun siyasi menjadi kenyataan.

“Oleh itu mereka cuba sedaya upaya untuk menggugat dengan misi utama ialah mewujudkan prasangka pemimpin dan ahli antara kedua-dua parti,” kata seorang pemimpin Pas Kedah ketika dihubungi.

Tetapi kata pemimpin di peringkat kawasan tersebut, usaha itu tidak akan berjaya kerana UMNO dan Pas sudah berazam untuk memastikan kerjasama bersejarah tersebut tercapai.

“Depa (mereka) buat la apa depa nak buat, depa kata la apa depa nak kata, yang pasti ta’awun siyasi itu insya-Allah akan berjalan seperti mana kita rancang,” katanya.

Dalam soal mewujudkan prasangka ini, penulis turut mendapat maklumat daripada pelbagai sumber yang mengesahkan, gerakan itu sedang giat dilakukan.

Difahamkan tindakan yang dianggap strategi politik itu bertujuan untuk memastikan perjanjian persefahaman antara UMNO dan Pas tidak berjaya

“Langkah terbaik ialah mewujudkan prasangka dalam kalangan pemimpin dan ahli kedua-dua parti dengan membuat kenyataan, cabaran atau tindakan politik bagi mencetuskan perasaan curiga antara satu sama lain.

“Apabila situasi ini berlaku sudah tentulah akan ada desakan supaya kerjasama tersebut dikaji dengan mendalam sebelum perjanjian ditandatangani.

“Bagaimanapun puak-puak yang membuat gerakan tersebut termasuklah pemimpin kanan dalam Pakatan Harapan (PH) lupa bahawa mereka sendiri  sedang bergelut dengan masalah,” kata satu sumber.
 Sumber tersebut juga memberitahu, berdasarkan maklumat diperoleh dalam kalangan ahli-ahli parti tertentu dalam PH, mereka turut menyokong kerjasama UMNO dan Pas itu atas dasar semangat orang Melayu dan Islam.

“Sudah ada riak-riak mereka tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka yang dilihat tidak berupaya untuk lantang memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam demi menjaga hati DAP.
 “Sekarang bila ada kerjasama UMNO-Pas, mereka beri sokongan secara senyap, apatah lagi dalam parti mereka pun macam ‘kelam kabut’,” kata sumber berkenaan.

Sememangnya tidak dapat dinafikan harapan orang Melayu terhadap kerjasama UMNO-Pas amat tinggi, malah dalam kalangan orang Melayu yang tidak menyertai mana-mana parti pun, mereka menyokong penuh penyatuan tersebut.

“Dah sampai masanya. Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah hikmah dan pengajaran terbesar untuk orang Melayu. Di peringkat akar umbi kesedaran cukup tinggi betapa pentingnya mereka bersatu,” kata seorang kawan ketika kami menikmati hidangan durian di Shah Alam, kelmarin.

Penulis sebenarnya tidak terkejut dengan kesedaran seumpama itu kerana sekarang mereka sudah lihat apa terjadi kepada orang Melayu dan negara. Orang Melayu biarpun dilihat berkuasa tetapi sebenar tidak ada kuasa

Bagaimanapun masih ada dalam kalangan orang Melayu yang tidak sedar diri dan belum lagi mahu insaf dengan terus mengharapkan agar kerjasama UMNO dan Pas tidak berjaya.
 Mereka tahu kesepakatan itu pasti akan menggugat kedudukan politik parti mereka yang kini sedang berhadapan dengan konflik dalaman secara senyap.

“Kumpulan ini tidak fikir soal Melayu. Apa yang fikir ialah kuasa politik berada dalam tangan, tetapi soalnya adakah kuasa itu boleh digunakan secara maksimum atau kena dapat restu dulu baru boleh buat apa-apa terutama berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam?” tanya seorang lagi kawan penulis.

Tidak kiralah apapun tafsiran atau taktik politik yang mahu digunakan apa yang pasti, ta’awun siyasi UMNO dan Pas harus dipastikan berjaya dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
 Hanya melalui kerjasama itu orang Melayu akan kembali bersatu dan paling penting ialah memperkukuhkan kuasa politik mereka yang tercicir akibat pergelutan dalam PRU-14.

Penulis berharap, pemimpin dan ahli UMNO serta Pas tidak akan tergugat dengan apa juga tindakan politik yang bertujuan menggagalkan misi suci mereka menyatukan ummah.