Siapa menduga tahap keyakinan rakyat yang tinggi terhadap kebolehan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada batu aras 100 hari telah menjunam ke tahap membimbangkan menjelang ulang tahun pertama beberapa hari lagi.

Malah perselisihan pendapat secara terbuka di antara dua institusi kritikal negara iaitu kerajaan dan monarki tercetus bermula dari isu konvensyen hak asasi iaitu ICERD, disusuli dengan kontroversi Statut Rom sehinggalah kepada kes penentuan jawatan kritikal peringkat persekutuan dan negeri diperhati oleh rakyat dengan penuh debaran.

Menjadi lebih menarik apabila berita media sosial Instagram Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang belum pasti akan kesahihannya, antara lain memberi gambaran bahawa Tunku Idris Iskandar berhasrat untuk bertanding dalam PRU-15 akan datang. Penyata Instagram ‘I am running #PRU-15’ adalah begitu jelas maksudnya.

Bukan satu perkara luar biasa di Malaysia apabila kerabat diraja menceburi politik kerana status terkait dengan institusi monarki bukan menjadi batu penghalang.

Malah apabila kerabat diraja memilih politik sebagai bidang kerjaya, status diraja tidak pula dianggap sebagai pemudah cara atau keistimewaan kerana layanan politik yang sama diberikan oleh rakyat Malaysia ketika membuat pilihan di peti undi umpamanya.

Hasrat Tunku Temenggong Johor itu dianggap begitu signifikan dan membawa maksud tertentu walaupun PRU-15 masih jauh lagi. Jika seorang ahli politik atau pun artis terkenal umpamanya mengisytihar akan bertanding dalam PRU akan datang, ia dianggap satu tindakan janggal.

Mengapa dihujahkan hasrat Tunku Idris Iskandar berkemungkinan mempunyai isyarat tersirat tertentu kerana institusi monarki Johor ketika ini begitu menonjol dalam senario politik tempatan dan juga penyataan Instagram Tunku mempunyai lokasi bertanding spesifik iaitu antara Parlimen Muar atau Mersing.

Jika dibandingkan penglibatan kerabat diraja dalam politik di antara negara jiran Thailand umpamanya, Malaysia sudah jauh kehadapan dari segi kematangan berpolitik. Pada Februari lepas Puteri Ubolratana Rajakanya iaitu kakak kepada Raja Thailand Maha Vajiralongkorn telah ditegah untuk bertanding dalam PRU Thailand yang telah dilaksana pada 24 Mac lepas.

Amat difahami mengapa penglibatan kerabat diraja dalam politik Thailand dianggap begitu sensitif kerana negara itu mempunyai perundangan yang agak ketat demi melindungi kepentingan institusi diraja.

Perundangan yang dikenali sebagai Lese Majeste ini memberi peruntukan untuk menghukum mereka yang mengkritik apa jua yang berkait dengan kerabat diraja Thailand. Sebab itu dikhuatiri penglibatan Puteri Ubolratana akan berlawanan dengan kehendak perundangan itu.

Tetapi di Malaysia penglibatan kerabat diraja dalam arena politik sudah dianggap suatu fenomena yang begitu lumrah dan status istimewa tersebut tidak menjadi halangan seperti yang berlaku di Thailand.

Kerabat diraja Kelantan Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Mohd Hamzah yang lebih mesra di kenali sebagai Ku Li adalah contoh terbaik.

Beliau adalah Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Dewan Rakyat dan ini adalah manifestasi bagaimana status kerabat diraja tidak menghalang Ku Li menceburi bidang politik.

Begitu jua dengan Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kerabat diraja Terengganu, Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang lebih dikenali sebagai Ku Yah dari kerabat diraja Selangor dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan adalah antara kerabat diraja yang sinonim dengan politik Malaysia.

Fenomena penglibatan kerabat diraja dalam politik adalah manifestasi keunikan sistem monarki Malaysia dan juga keterbukaan rakyat yang menerima kehadiran kerabat diraja dalam sistem politik.

Walaupun Malaysia juga mempunyai beberapa peruntukan perundangan yang melindungi kepentingan berkait institusi diraja, ahli politik kerabat diraja Malaysia tahu menyesuaikan keadaan kerana dalam arena politik semua dilayan sama rata.

Sebab itu hasrat Tunku Idris Iskandar itu sepatutnya diraikan kerana ia adalah manifestasi kematangan kita berpolitik.