Ini kerana perjanjian itu bukan sahaja akan mewujudkan blok ekonomi terbesar dunia dengan penguasaan sebanyak 40 peratus daripada ekonomi global, malah memberikan lebih akses pasaran ke Amerika Syarikat (AS) dengan pengurangan tarif.

Namun, TPPA kini menemui jalan buntu dan hampir pasti tidak akan diteruskan selepas Donald Trump menandatangani arahan eksekutif untuk AS menarik diri daripada perjanjian itu.
Malaysia sendiri berasa dukacita dengan keputusan AS itu kerana penyertaan dalam TPPA dijangka membawa peningkatan pelaburan sebanyak AS$10 bilion dan 100,000 peluang pekerjaan setahun.

Bagi mengetahui tentang status TPPA serta pelbagai isu berkaitan termasuk alternatif lain, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto FAISOL MUSTAFA mewancara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED di pejabat beliau di Menara Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Jumaat lalu.


MINGGUAN: Selepas banyak masa dan kos dihabiskan untuk merundingkan butir-butir TPPA, AS yang mengusahakan perjanjian itu tiba-tiba menarik diri. Bagaimanakah kedudukan perjanjian itu sekarang?
MUSTAPA:
Pada masa ini, ada empat kelompok negara dalam kalangan 11 negara yang terlibat dalam TPPA. Kelompok pertama ialah negara yang sudah selesai (mendapat sokongan Dewan Rakyat dan Dewan Negara) selepas Trump dipilih iaitu Jepun dan New Zealand. Negara tersebut masih berharap TPPA akan terlaksana. Kelompok negara ini berpendapat TPPA belum berkubur dan sedang giat bekerja supaya TPPA dapat diteruskan dalam bentuk baharu.
 Kelompok kedua ialah negara-negara di Amerika Utara dan Amerika Selatan seperti Mexico, Kanada, Peru dan Chile. Di sana tumpuan mereka ialah  Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) khususnya Mexico dengan Kanada. Ini kerana Trump hendak merundingkan semula NAFTA dan jadi bagi mereka, TPPA tidak sepenting NAFTA.
 Kelompok ketiga ialah negara seperti Malaysia, Vietnam, Brunei dan Singapura. Macam Malaysia, kita berpendapat beberapa perkara dalam TPPA itu baik untuk Malaysia dan kita akan teruskan dengan pindaan undang-undang walaupun TPPA tidak terlaksana. Sekarang ini, ada 19 undang-undang yang perlu dipinda dan kementerian-kementerian sedang membuat persiapan untuk meminda undang-undang berkaitan. Yang paling banyak ialah undang-undang berkaitan buruh untuk menerima pakai beberapa obligasi yang belum kita laksanakan di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
 Tujuan utama kita masuk TTPA adalah untuk mudah mendapatkan akses pasaran. Kita berasa sedih kerana kita berharap sangat menerusi pengurangan tarif, barangan Malaysia dapat menembusi pasaran negara-negara seperti AS, Kanada dan Mexico yang belum ada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia.
 Itu antara beberapa sebab kenapa kita berminat menyertai TPPA. Kita berdukacita kerana apa yang kita harapkan iaitu mendapat akses pasaran yang lebih baik kepada negara-negara tertentu tidak akan berjalan. Syarikat-syarikat yang bertapak di Malaysia sama ada milik rakyat Malaysia atau syarikat-syarikat asing begitu juga, kerana mereka berharap TPPA akan membantu memperluaskan pasaran barangan mereka.

Dengan pengunduran AS, apakah Malaysia dan negara-negara dalam TPPA mempunyai perancangan untuk meneruskan TPPA?
MUSTAPA:
Dalam konteks itu, ada beberapa buah negara yang berminat meneruskan TPPA tanpa AS. Yang kedua, ada cadangan supaya diadakan perjanjian FTA dua hala dalam kalangan 11 negara itu. Ada cadangan pula supaya kita tinggalkan terus TPPA.
 Pada Malaysia, oleh sebab TPPA yang kita rundingkan adalah perjanjian yang seimbang tetapi kalau AS tidak ada, itu akan merubah kelebihan-kelebihan yang dahulu kita rasa dapat. Kita rasa ia kurang menarik kerana tidak ada lagi akses pasaran ke AS. Oleh sebab kita dapat akses pasaran, kita sanggup untuk membuka pasaran dan kita berjaya melindungi kepentingan bumiputera. Kalau kita hendak teruskan TPPA dalam kalangan 11 negara itu, kita kena lihat semula peruntukan-peruntukan di bawah TPPA.
 Ada beberapa negara yang telah berbincang dengan kami untuk meneruskan TPPA tanpa AS. Jawapan kita ialah kita menyertai rundingan TPPA antaranya kerana AS merupakan pasaran terbesar di dunia dan menjanjikan lebih akses kepada barangan Malaysia. Kalau hendak teruskan TPPA tanpa AS, kita berpendapat kena rundingkan semula dan rundingan itu akan memakan masa yang lama iaitu lebih kurang lima tahun.
 Lagipun tanpa AS ia kurang menarik. Ini kerana AS merupakan ekonomi terbesar di dunia iaitu mewakili 20 peratus manakala dalam TPPA ia mewakili kira-kira 60 peratus. Itu tarikan untuk kita masuk TPPA.
 Perancangan kedua ialah untuk tandatangan perjanjian FTA dengan negara-negara yang belum ada perjanjian seperti Mexico dan Peru. Ini juga satu kemungkinan tetapi terlalu awal untuk kita buat demikian. Sekarang ini kita sedang berbincang sesama kita. Saya di Davos, Switzerland, dua minggu lepas berbincang dengan beberapa menteri (negara dalam TPPA) yang hadir Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ketua perunding kita, Datuk J. Jayasiri juga mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya. Ada cadangan supaya diadakan satu mesyuarat dalam kalangan 11 menteri negara ahli TPPA dan pertemuan antara ketua perunding daripada negara-negara berkenaan bagi bincang langkah seterusnya.
 Sebahagian kita akan terlibat dalam mesyuarat menteri-menteri ekonomi ASEAN pada Mac dan mungkin di situ kita ambil kesempatan bincang dengan rakan-rakan kita yang hadir. Pada masa sekarang itulah beberapa kemungkinan hala tuju yang kita sedang fikirkan. Bagi Malaysia, kita rasa tidak perlu terburu-buru.

Mungkin TPPA boleh diteruskan dengan menambah bilangan negara ahli menjadikan pasaran lebih luas?
MUSTAPA:
Ini rumit. Walaupun pakej itu boleh diperluaskan kepada lebih banyak negara, tetapi mereka juga ingin lihat pakej itu dan tidak semestinya mereka bersetuju. Pada saya yang penting, 11 negara dahulu bincang sebelum kita pergi lebih jauh. Dalam sebulan ini, ada dua menteri dari negara  luar akan datang ke Malaysia untuk berbincang.

Bagaimana dengan cadangan memasukkan China dan Rusia bagi menggantikan tempat AS dalam TPPA?
MUSTAPA:
TPPA ini lebih daripada pengurangan cukai. FTA biasa melibatkan pengurangan atau penghapusan cukai tetapi TPPA termasuk standard buruh dan alam sekitar dan tadbir urus bagi memastikan kecekapan termasuk pencegahan rasuah. Antara perkara utama dalam TPPA adalah untuk meletakkan satu standard yang dipatuhi semua negara.
  Umpamanya di bawah TPPA tidak dibenarkan penggunaan buruh kanak-kanak. Jadi tidak semudah itu untuk TPPA diperluaskan ke negara-negara lain. Macam kedudukan dasar bumiputera sudah diterima dalam TPPA, kalau masuk China dan Rusia atau negara-negara lain, belum tentu mereka akan terima.

Sebelum ini Malaysia dijanjikan pelaburan asing dan peluang pekerjaan yang banyak jika menyertai TPPA. Jadi, bagaimana dengan kedudukan Malaysia sekarang?
MUSTAPA:
Kalau ikutkan kajian PricewatewaterhouseCoopers (PwC) memanglah. Apabila pasaran bertambah besar, maka peluang bertambah besar. Apabila TPPA tidak diteruskan, maka sudah pasti akan ada kesan. Kalau kita sudah tahu TPPA menemui jalan buntu, maka kita kena cari strategi lain.
 Kesan itu akan berlaku sekiranya kita duduk diam. Oleh sebab kita tahu TPPA tidak akan berlaku, kita akan mencari kaedah-kaedah lain untuk merancakkan perdagangan seperti mempelbagaikan perdagangan di peringkat ASEAN, Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
 Dahulu kajian mengatakan peluang pekerjaan 100,000 meningkat setahun dan pelaburan dijangka bertambah AS$10 bilion setahun. Kalau tidak ada TPPA, bukan bermakna hilang itu semua kerana kita akan adakan strategi baharu untuk menangani TPPA yang tidak jadi.

Jika akses ke pasaran AS merupakan tarikan terbesar untuk Malaysia menyertai TPPA, kenapa tidak kita adakan perjanjian FTA dua hala dengan AS sahaja?
MUSTAPA:
Kita sudah menjalani kerjasama yang rapat dan meluas dengan AS termasuk dalam segi keselamatan, pertahanan dan pendidikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita harap dalam bidang ekonomi pun akan teruskan kerjasama tersebut. Cuma dari sudut perdagangan, kalau kita hendak adakan perjanjian FTA dua hala dengan AS agak sukarlah.
 Sebab perjanjian TPPA yang kita buat ini sudah diterima oleh 12 negara selepas berkompromi. Ini adalah perjanjian yang seimbang dan terbaik. Ada yang kita rugi dan ada yang kita untung tetapi secara keseluruhannya kita untung.

Bagaimana pula dengan perjanjian FTA dengan Kesatuan Eropah (EU)?
MUSTAPA:
Masih dalam perbincangan. Kita hendak jaga kepentingan kita, dasar bumiputera umpamanya. Yang kita hendak jelas iaitu akses pasaran mereka tetapi hendak dapat itu tidak mudah. Takkan mereka hendak bagi sahaja tetapi sudah tentu ada rundingan dan akan mengambil masa yang panjang.
 Macam kita hendak masuk EU, mereka boleh beri tetapi kena buat seperti standard alam sekitar yang lebih tegas dan membenarkan syarikat asing masuk kontrak kerajaan. Sebab itu perlu ada rundingan.

Bila TPPA tidak dapat diteruskan, sudah tentu pihak-pihak yang membantah TPPA sebelum ini berasa seronok. Komen Datuk Seri?
MUSTAPA:
Itu sudah tentu. Kita kena tengok dari dua sudut. Yang pertama, mereka seronok. Yang kedua kita tengok Trump tidak mahukan TPPA sebab merugikan AS. Maknanya, negara-negara lain untung.
Jadi dari satu sudut, betullah yang kita kata, Malaysia untung, AS untung dan semua untung. Tapi Trump kata, AS rugi dan yang untungnya adalah negara-negara lain. Pembangkang memanglah mereka tidak suka TPPA, mereka seronok.

Trump pernah mengatakan mahu memanggil balik semua syarikat-syarikat AS yang berada di luar negara. Jika itu berlaku, apakah implikasinya kepada Malaysia?
MUSTAPA: AS
merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia. Kalau benar syarikat-syarikat AS balik, akan berlaku banyak kehilangan pekerjaan. Kita jangkakan kira-kira 200,000 orang bekerja dengan syarikat AS. Itu kesan yang secara langsung dan belum termasuk pekerja di syarikat-syarikat yang membekalkan barangan, logistik, kantin dan sebagainya dengan syarikat AS. Orang AS pun kurang di sini. Sekolah AS, rumah dan hotel-hotel pun tidak laku. Implikasinya cukup serius. Bukan hanya kita, tetapi seluruh dunia akan menerima kesan sebab kita saling bergantung.
 Itu senario paling teruklah jika ia berlaku tetapi saya harapkan ia tidak berlaku. Macam Mexico sekarang berasa panik kerana sebanyak 70 peratus perdagangan negara itu adalah dengan AS. Kita dengan AS sembilan peratus sahaja dan dengan China yang terbesar, cuma 16 peratus sahaja. Mexico mempunyai populasi 140 juta dan negara itu banyak mendapat manfaat daripada AS.
 NAFTA misalnya, ramai orang anti-TPPA kata, NAFTA menguntungkan AS dan Mexico rugi banyak. Sebenarnya NAFTA menguntungkan Mexico. Trump kata NAFTA tidak adil dan beliau mahu merundingkan semula perjanjian itu. Orang Malaysia kata AS telan Mexico dalam NAFTA dan AS telan Malaysia dalam TPPA tetapi sebaliknya yang berlaku sehingga Trump hendak buat perubahan besar-besaran.

 

Bina kekuatan sendiri

Pas baru-baru ini dilaporkan akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Sejauh manakah ia akan memberikan kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang?
MUSTAPA:
Politik ini ada tiga peringkat iaitu isu lokal, isu negeri dan isu nasional yang mempengaruhi sokongan rakyat. Macam saya, kena menunjukkan prestasi yang baik sebagai wakil rakyat dalam membantu rakyat. Yang kedua, isu negeri seperti bagaimana kami memperjuangkan rakyat Kelantan, isu balak dan banjir.
Banyak Kerajaan Pusat bantu dari segi kemajuan dan sebagainya. Itu realitinya. Kerajaan dapat bantu kerana Kerajan Pusat banyak bantu. Yang ketiga isu nasional yang macam-macam. Isu nasional banyak mempengaruhi pengundi luar dan Kelantan mempunyai ramai pengundi luar. Pengundi luar ini ramai anak-anak muda. Jadi kita kena mesra dengan orang muda dan rapat dengan pengundi luar.
 Isu nasional ini di luar kawalan kita tetapi kita beri penerangan. Keadaan terkini memang mencabar dan kita kena kerja kuat. Landskap bagi kami yang lama dalam politik, telah memang berubah. Media sosial  banyak memberikan kesan.

Dengan perpecahan pembangkang dan Pas juga berpecah, apakah ini memberikan kelebihan kepada BN di Kelantan?
MUSTAPA:
Kita tidak boleh harap kepada kelemahan orang lain. Kita kena bina kekuatan kita sendiri dan lihat kepada kerja dan perpaduan kita. Kalau parti kita mengharapkan kelemahan pembangkang, mungkin hari ini lemah, esok kuat. Politik ini selalu berubah-ubah. Kalau kita tidak ada ketahanan diri dalaman dan terlalu bergantung kepada kelemahan pembangkang, kalau mereka kuat nanti, habislah kita.
 Satu lagi, kita perlu bina kepimpinan yang hebat. Macam di Kelantan, kita perlu sediakan pelapis-pelapis yang berwibawa dan boleh mendapat keyakinan rakyat. Itu pun satu cabaran. Kalau tengok muka lama, orang pun bosan.