Dalam peristiwa tersebut, lebih 251 rakyat awam terkorban, ribuan cedera akibat ditembak dan bertarung dengan kereta kebal dan tentera bersenjata. Bangunan parlimen, balai polis, kawasan istana presiden menjadi sasaran bom. Pusat media TRT dan lapangan terbang dirampas. Nyawa presiden juga nyaris melayang. Hulusi Akar, jeneral angkatan tentera sendiri telah diculik. Malam itu, suasana persis peperangan yang menyaksikan bedilan jet F-16 menyasarkan rakyat awam dan bangunan rasmi kerajaan.

Melalui aplikasi Facetime, Erdogan menyeru rakyat Turki turun ke jalan raya dan melawan pengkhianatan tersebut. Rakyat keluar beramai-ramai ke jalanan dengan bersenjatakan tubuh badan mereka. Ada yang berbaring di hadapan kereta kebal dan berjaya melumpuhkan kawalan tentera. Sebahagiannya berjaya ‘menumpaskan’ psikologi tentera pengkhianat agar menyerah diri. Azan berkumandang dari masjid ke masjid di bumi Istanbul dan Ankara. Suasana yang amat mendebarkan. Namun, malam itu darah rakyat mengalir di jalan raya. Ramai yang gugur syahid mempertahankan negara.

PERTEMUAN eksklusif penulis dengan Merve Kavakcı di Kuala Lumpur barubaru ini.
PERTEMUAN eksklusif penulis dengan Merve Kavakcı di Kuala Lumpur barubaru ini.

Pengkhianatan ini merupakan dosa besar terhadap negara. Jenayah menjatuhkan negara secara paksa dengan membunuh manusia yang tidak bersalah tidak dapat dikompromi dan wajib diadili dengan hukuman yang setimpal kerana ribuan nyawa rakyat telah diperjudikan.

Peristiwa ini sebenarnya satu peringatan dan pengajaran besar kepada semua agar sentiasa berusaha mempertahankan kedaulatan negara dan sistem demokrasi yang menjamin kepentingan rakyat.

TURKI PASCA AKP

Dalam persaingan kuasa antara kumpulan politik di Turki, tahun 2002 tiba giliran AKP memerintah dengan kejayaan majoriti besar di luar jangkaan. Parti AKP yang sinonim dengan pendekatan mesra-Islam, progresif dan profesional telah banyak merubah wajah Turki.

Dalam tempoh 10 tahun, Turki berjaya mengubah imej lebih moden, bersih dan berkebajikan. Ekonomi Turki pesat membangun khususnya tahun 2010-2011 yang mencatatkan prestasi paling memberangsangkan. Peranan Turki juga amat berpengaruh di Asia Barat dan Afrika khususnya melalui usaha bantuan pembangunan sosial dan ekonomi di rantau tersebut.

Sepanjang zaman AKP juga Turki turut dilanda ujian besar terutamanya ancaman terorisme daripada kumpulan teroris Kurdistan PKK, isu pelarian Syria, kelembapan ekonomi dan cubaan kudeta.

Dalam tempoh 17 tahun tersebut juga, politik dalaman Turki menempuhi banyak fasa yang amat kritikal khususnya perubahan sistem presidensial yang dilihat sebagai percubaan mengukuhkan kuasa Erdoğan.

Ramai menyifatkan langkah Erdoğan tersebut satu risiko yang terlalu besar. Rakyat Turki sendiri telah bersuara melalui beberapa siri pilihan raya yang menampakkan sokongan kepada kerajaan kini semakin menyusut. Ini dapat dilihat dalam pilihan raya datuk bandar bulan Jun yang lalu apabila bandar besar seperti Istanbul dan Ankara jatuh ke tangan CHP.

Pertarungan kuasa di Turki juga semakin rancak. Kesan dalaman juga mempengaruhi sokongan dikalangan kumpulan-kumpulan dalam AKP. Kocakan dalaman akibat kritikan terbuka Ahmet Davutoglu serta khabar angin Ali Babacan dan Abdullah Gul yang dijangka menubuhkan gerakan politik baru juga bertiup kencang.

PENCAPAIAN ANTARABANGSA

Dalam pada itu, nama Turki semakin disegani melalui dasar diplomasi kemanusiaan dan kerjasama pembangunan. Usaha menerajui isu kemanusiaan dan keamanan sejagat khususnya penyelesaian isu Syria melalui kerjasama Iran-Rusia-Turki dan perjanjian pengurusan pelarian Turki-EU, bantuan kemanusiaan untuk 2.5 juta pelarian Syria di Turki dan pembangunan ke negara-negara miskin telah meletakkan Turki sebagai negara contoh.

Dalam satu pertemuan eksklusif penulis dengan Dr. Merve Kavakcı (Duta Besar Turki ke Malaysia), beliau menegaskan keyakinannya kepada Soft Power Turki. Menurutnya, dasar luar Turki telah melalui satu anjakan paradigma, daripada hanya bersikap reactor dan hanya mengikut (tag along) kepada sikap yang lebih proaktif dan memimpin dalam menyebarkan nilai kemanusiaan khususnya negara yang ditimpa bencana dan kemunduran. “...Turkey is becoming an influencer, leader, initiater and agenda-setter...in international politics,” ulas beliau.

Dr. Merve yang merupakan bekas profesor sains politik di Georgetown University mengulas bahawa sejak tahun 2002 kita mula menjana pendekatan baru tentang cara kita melihat kemiskinan, kedaifan dan kemaslahatan dunia.

Menurut beliau lagi, diplomasi kemanusiaan Turki melalui agensi pembangunannya, Agensi Kerjasama dan Koordinasi Antarabangsa (TIKA) telah mengangkat satu standard dalam hubungan antarabangsa.

Turki berusaha untuk memberi nilai semula kepada konsep (reconceptualize) dan meletakkan konteks baharu (recontextualize) kepimpinan nenek moyang mereka pada zaman Uthmaniyah. Ia bukan New Ottomanisme seperti yang dituduh oleh ramai pihak kerana Turki tidak berniat untuk menjajah ala ala Neo-Kolonisme dan imperialis. “All our counterparts comprehend that our help is no string attached. We don’t do that..,” tegasnya.

Beliau mengatakan bantuan dan pengaruh yang dijana tersebut bertujuan menyebarkan nilai universal yang diajarkan oleh Islam. Ini telah ditunjukkan oleh nenek moyang mereka seperti Sultan Bayezid II yang menawarkan perlindungan kepada umat Islam, Yahudi dan Kristian yang dihalau keluar dan dizalimi oleh Ferdinand Magellan dan Ratu Isabella dari bumi Andalusia, selepas Reconquista tahun 1492.

SOFT POWER

Kesimpulannya, Turki telah melalui beberapa fasa kritikal dan persimpangan dalam mempertahankan demokrasi, kedaulatan negara, ancaman keselamatan dan serangan ekonomi. Ujian kepimpinan juga terus menerus menjadi satu ‘permainan’ dan ‘makanan’ harian kerana banyak faktor, kepentingan dan dorongan.

Malaysia sebagai sebuah negara membangun wajar memperkemaskan pembangunan dalam semua sektor dan berusaha menghayati nilai universal seperti rahmah, kemanusiaan dan keamanan sejagat melalui dasar-dasar yang berkesan dan pendekatan “penyelesaian terbaik”. Penulis yakin kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan rakyat wajar menebarkan Soft Power mengikut acuan Malaysia.

Penulis ingin menzahirkan penghargaan kepada Duta Turki kerana sudi menerima kunjungan penulis. Susuk wanita besi inilah yang pernah dihalau daripada Parlimen pada tahun 1999 kerana berhijab. Ketika usianya 30 tahun beliau telah bangkit menyatakan keyakinannya mempertahankan kebebasan beragama, mengamalkan Islam dan budaya dalam sebuah negara yang moden dan demokratik. Beliau satu anugerah istimewa kepada dunia.

PENULIS ialah pelajar sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pengasas Euromates.