WAJAH BAHARU DI DEWAN

DI Dewan Rakyat, bukanlah kali pertama seseorang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri akan berubah tempat selepas `kehilangan’ jawatan. Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim pernah mengalaminya. Kini Muhyiddin Yassin terpaksa meninggalkan tempat duduk di sebelah kanan Perdana Menteri. Tempat Muhyiddin diisi oleh Zahid Hamidi. Begitu juga dengan menteri-menteri Kabinet yang tidak dilantik semula dalam rombakan pada 28 Julai lalu. Hari ini, turut berpindah tempat ialah Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal dan anggota Majlis Tertinggi, Hasan Malek. Bagi komponen Barisan Nasional (BN) pula, bekas Presiden MIC, G.Palanivel tidak lagi berada di barisan hadapan di blok A bersama Perdana Menteri selepas penyingkirannya daripada jawatan No.1. Kini Menteri Kesihatan, S.Subramaniam yang juga Presiden MIC mengambil alih kedudukan di sebelah Presiden MCA, Liow Tiong Lai. Muhyiddin akan berada di blok E bersama Presiden PBS, Pairin Kitingan dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah. Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Ewon Ebin juga berada di blok E. Di sebelah pembangkang turut menyaksikan perubahan besar apabila Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas disisihkan daripada barisan utama pemimpin pembangkang. Beliau dipindahkan dari Blok I ke Blok G. Ini berikutan Pas tidak lagi bersama pakatan yang dulunya dikenali Pakatan Rakyat (gandingan DAP-PKR-Pas). Hadi yang pernah menjadi ketua pembangkang berpindah tempat untuk memberi ruang kepada `anak-anak didik Pas’ yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah) yang bergandingan dengan PKR-DAP dalam Pakatan Harapan. Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa duduk sebaris dengan Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Ketua Pembangkang). Orang No.1 Amanah, Mohamad Sabu @ Mat Sabu bukan anggota Parlimen. Begitu juga orang No.2 Salahuddin Ayub. Mujahid diapit oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng. Pas kini mempunyai 14 anggota Parlimen berbanding 21 sebelum ini selepas enam `melompat’ ke Amanah dan seorang ke PKR. Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw turut dipindahkan ke Blok F. Selain melibatkan kenaikan pangkat sebagai menteri dan timbalan menteri, Dewan Rakyat turut menyaksikan muka-muka baharu yang dilantik sebagai Senator untuk menganggotai Kabinet.

KETEGASAN PRESIDEN PAS

KETIKA Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR masih mengharapkan sokongan Pas, Abdul Hadi dilihat bertegas dengan pendirian untuk tidak bersama DAP dan Amanah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Pas menolak cadangan pembahagian kerusi oleh bekas rakan sekutunya, DAP. Presiden Pas menegaskan parti itu akan bertanding di seluruh negara, tidak terhad di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis seperti disarankan DAP. Siapa DAP yang mahu mengemukakan cadangan kepada Pas setelah memutuskan hubungan dengan parti Islam itu? Pas juga akan menambah kerusi untuk ditandingi. Abdul Hadi dan Pas masih yakin dapat meneruskan perjuangan secara bersendirian. Adakah pada PRU14 ini, pertandingan tiga penjuru - BN-Pas-PH tidak dapat dielakkan? Isu ini disentuh dalam Selak minggu lepas di bawah tajuk Langkah redakan jerebu politik menjelang PRU14. Ketegasan Abdul Hadi (jika kekal sehingga hari penamaan calon) akan menyaksikan Pas bersedia mempertahankan kerusi yang ditandinginya pada PRU lalu termasuk tujuh yang dimenanginya tetapi kini di tangan Amanah dan PKR. Pastinya Pas mahu berpegang kepada amanah anggota parti untuk bertanding di kerusi tradisi mereka termasuk Kuala Krai, Kuala Terengganu, Parit Buntar, Shah Alam, Kota Raja, Sepang dan Tumpat. Pas tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan, tidak memberi laluan mudah kepada Amanah untuk bertanding di kerusi tradisi parti.

Jika tujuh bekas anggota parti itu mahu bertanding di kerusi yang dipegang sekarang, Pas tidak ada masalah. Jika mereka boleh `melompat’ kepada parti lain, mereka juga boleh `melompat’ kawasan. Lebih berani lagi jika Pas tidak segan silu untuk mengambil semula kerusi yang pernah ditandingi sebelum mencapai kompromi dengan sekutunya sama ada PKR atau DAP. Banyak kerusi yang diserahkan kepada PKR. Contohnya di Pulau Pinang, mungkin Pas boleh mengambil semula kerusi Parlimen Permatang Pauh serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah menjadi kubu kuat parti itu. Menyelak kembali prestasi Pas, Permatang Pauh pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum ditawan oleh UMNO melalui calon BN, Anwar Ibrahim. Pas mempunyai kekuatan tersendiri di Permatang Pauh. Begitu juga kerusi lain yang terlepas kepada PKR. Tidak dapat dinafikan, sesetengah kerusi PKR yang dimenangi parti itu juga bergantung harapan kepada sokongan pengundi-pengundi setia Pas. Bagi Pas, kehadiran Amanah pada ketika ini bukan satu cabaran besar kepada parti itu.

HARAPAN BAJET RAKYAT

BAGAIMANA Bajet 2016 boleh membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi? Satu kajian menunjukkan 79 peratus mencadangkan pengurangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diikuti 68 peratus tumpuan kepada kawalan harga lebih ketat dan 51 peratus mahu lebih banyak subsidi. Turut mendapat perhatian ialah 41 peratus mencadangkan penurunan kadar tol; 31 peratus meningkatkan gaji minimum; 23 peratus perbanyakkan bantuan untuk golongan kurang berkemampuan dan 6 peratus lebih banyak pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Apakah langkah yang bakal diumumkan oleh Najib dalam pembentangan bajet Jumaat ini? Setakat ini cadangan untuk menurunkan kadar tol tidak menjadi kenyataan selepas 12 lebuh raya di Lembah Klang mengenakan kadar baharu mulai Khamis lalu. Beberapa lebuh raya di Pulau Pinang dan Johor turut mengambil tindakan yang sama. Jika kadar baharu itu ditarik balik, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.

Pampasan itu juga datang daripada wang rakyat yang tidak semuanya pengguna lebuh raya bertol. Wang pampasan itu sepatutnya diagihkan kepada keperluan lain termasuklah BR1M. Berkaitan subsidi, rasionalisasi subsidi telah dilaksanakan dengan pengurangan subsidi bahan api dan gula. Kita harus bersedia untuk menerima pengurangan subsidi ini kecuali dalam hal berkaitan pendidikan dan kesihatan. Program subsidi menjadi tidak efektif dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukannya atau yang kurang bernasib baik. Subsidi akhirnya turut dinikmati golongan kaya, warga asing dan perniagaan besar. Di samping membantu golongan kurang berkemampuan, bajet kali ini diharap dapat memberi perhatian terhadap usaha mengurangkang kos sara hidup rakyat. Kawalan harga barang dan perkhidmatan perlu dilakukan dengan lebih baik. Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam juga perlu dipertingkatkan jika mahu membantu rakyat mengurangkan kos harian mereka. Diharapkan Bajet 2016 melegakan rakyat di setiap peringkat.