Melalui pendekatan tersebut ekonomi negara ini terus berkembang dari semasa ke semasa sekali gus telah menjadikan Malaysia salah sebuah negara perdagangan utama dunia.

Hasil pendekatan itu juga Malaysia berada dalam senarai 25 negara perdagangan utama dunia dan kedudukan itu menjadi bukti kekuatan negara dalam bidang perdagangan walaupun Malaysia hanyalah sebuah negara yang kecil.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara bersaiz kecil, kerajaan sentiasa mencari jalan supaya pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang sekali gus manfaatnya akan dirasai oleh rakyat melalui pelbagai program yang telah dilaksanakan.

Hakikatnya, pasaran di Malaysia adalah kecil, oleh itu negara perlu memperbanyakkan eksport dan menarik lebih banyak pelaburan asing agar pertumbuhan ekonomi negara positif, antaranya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta mengembangkan lagi potensi industri tempatan.

Dalam pada itu, mungkin ramai tidak menyedari bahawa nilai pelaburan Malaysia di luar negara pada masa ini mengatasi jumlah pelaburan asing di negara ini.

Jumlah pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di luar negara pada suku tahun ketiga 2015 adalah sebanyak RM601.6 bilion manakala nilai pelaburan asing di negara ini dalam tempoh sama adalah sebanyak RM500.2 bilion.

Antara syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dengan pelaburan di luar negara adalah Petronas, UEM Group Berhad, Axiata Group Berhad dan CIMB Bank Bhd. serta beberapa syarikat besar yang lain.

Berhubung penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) pula, sebanyak 13 FTA dilaksanakan sehingga Disember tahun lalu melibatkan enam FTA menerusi ASEAN dan tujuh FTA secara bilateral.

Enam FTA melalui ASEAN itu adalah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (1992); ASEAN-China (2004); ASEAN – Korea Selatan (2006); ASEAN-Jepun (2008); ASEAN-Australia-New Zealand (2009) dan ASEAN-India (2009).

Tujuh FTA secara bilateral pula melibatkan Malaysia-Jepun (2005); Malaysia-Pakistan (2007); Malaysia-New Zealand (2009); Malaysia-Chile (2010); Malaysia-India (2011): Malaysia-Australia (2012) dan Malaysia-Turki (2014).

Langkah Malaysia menjalinkan 13 FTA itu sejajar dengan perubahan rejim pelaburan dan perdagangan dunia selepas tahun 2000 sama ada dalam bentuk berkelompok atau bilateral.

Hari ini, kerajaan melihat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah satu bentuk FTA yang baharu dan mempunyai potensi untuk membawa negara melangkah ke masa depan.

Apa itu TPPA?

TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas dan terbuka kepada semua 21 negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

TPPA membabitkan 12 buah negara dengan jumlah gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$27.5 trilion (RM118.26 trilion).

TPPA berbeza dengan FTA biasa kerana perjanjian itu lebih menyeluruh dengan skop-skop yang tidak terkandung dalam FTA yang disertai oleh Malaysia sebelum ini.

FTA biasa yang ditandatangani oleh Malaysia sebelum ini membabitkan skop seperti akses pasaran, pelaburan, perkhidmatan, kerjasama ekonomi, kerjasama kastam dan Peraturan Tempasal & Teknikal Perdagangan.

Sementara itu, dalam TPPA skopnya lebih luas dengan melibatkan perolehan kerajaan, buruh, alam sekitar, syarikat milik kerajaan dan harta intelek.

Lima skop ini telah menjadikan TPPA kontroversi namun di sebalik cabaran serta beberapa tanggapan, Malaysia melihat perjanjian perdagangan itu berfaedah dalam meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Selain itu, TPPA bukan sekadar akses pasaran semata-mata tetapi turut melibatkan piawaian yang tinggi bertujuan memastikan suasana pelaburan yang kondusif, persaingan sihat serta kesejahteraan penduduk dan alam sekitar terpelihara.

Terdapat lima elemen dipersetujui di bawah perkara tersebut iaitu ketelusan dan anti korupsi, hak asasi manusia, buruh, alam sekitar serta kerjasama.

Rundingan tentang TPPA telah dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015 tetapi masih belum ditandatangani.

TPPA kini sedang melalui proses domestik dan keputusan sama ada Malaysia akan menyertai blok perjanjian itu atau tidak hanya akan ditentukan menerusi undian di Parlimen selepas dibentang dan dibahaskan.

Di sini terdapat empat proses melibatkan TPPA selepas dimuktamadkan pada 5 Oktober tahun lalu iaitu;

-5 November 2015-Teks didedahkan kepada umum

-Penghujung Januari 2016-Teks dibentang, dibahas dan diundi di Parlimen

-Februari 2016-Perjanjian ditandatangani (jika dipersetujui)

-2018-ratifikasi dan kuatkuasa

Apa pun paling penting di sini, pasukan perunding negara yang terdiri daripada wakil pelbagai kementerian serta agensi kerajaan berjaya mempertahankan kepentingan serta isu-isu sensitif negara ketika rundingan TPPA dijalankan.

Terutama berkaitan dengan pe­r­un­­tukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perkara berkaitan keistimewaan Bumiputera. Selain itu, pasukan perunding turut memperoleh konsesi-konsesi yang menguntungkan negara.