Ahmad Hamzah

Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) yang telah dimuktamadkan pada 5 Oktober tahun lalu kini dalam proses pembentangan dalam satu sidang khas di Parlimen minggu depan. Dalam sesi tersebut semua ahli Parlimen akan diberi peluang berbahas tentang baik dan buruknya pelaksanaan perjanjian itu sebelum keputusan mengenainya dibuat melalui undian.

Umum mengetahui Malaysia begitu komited dengan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan sehingga kini negara telah melaksanakan 13 FTA iaitu enam perjanjian melalui blok ASEAN serta tujuh perjanjian secara bilateral seiring dengan perubahan rejim pelaburan dan perdagangan dunia khususnya selepas tahun 2000.

Sehubungan itu, TPPA yang melibatkan 12 negara disifatkan oleh kerajaan sebagai satu bentuk FTA yang baharu dan mempunyai potensi untuk membawa Malaysia terus maju ke hadapan.
Dalam pada itu, pelbagai pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan termasuk menubuhkan Kaukus TPP membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang bagi memastikan pelaksanaan TPPA benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai TPPA, Pengerusi Kaukus TPPA, Datuk Ahmad Hamzah yang juga Ahli Parlimen Jasin dalam satu pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, Norliza Zakaria telah berkongsi pandangannya mengenai pelaksanaan perjanjian itu.

UTUSAN: Apa yang dapat Datuk bayangkan dan kongsikan kepada orang ramai tentang perubahan yang bakal berlaku dari segi industri perdagangan negara dan sistem ekonomi negara jika TPPA ditandatangani?

AHMAD: TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas di antara 12 negara anggota yang lebih menyeluruh berbanding dengan perjanjian FTA biasa yang disertai Malaysia sebelum ini. Perjanjian ini bukan sekadar akses pasaran, bahkan membuktikan komitmen untuk menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi berhubung dengan undang-undang, peraturan, prosedur dan syarat-syarat atau amalan berkaitan perdagangan.

Perubahan tidak akan berlaku secara drastik kerana kita mempunyai dua tahun ratifikasi dan akan hanya berkuatkuasa 2018. Dalam tempoh ini kita boleh menarik diri sekiranya mendapati perjanjian ini merugikan dengan memberi tempoh selama enam bulan.

Saya merasakan rakyat tidak seharusnya bimbang dengan persediaan negara untuk jangka pendek. Saya kira ada beberapa industri dan sektor yang akan menikmati perubahan jangka masa pendek kerana penghapusan duti import. Tetapi yang paling penting adalah untuk jangka masa panjang dengan perubahan struktur ekonomi negara yang lebih berasaskan persaingan yang sihat.

Bagaimana kesannya terhadap peniaga kecil dalam negara adakah akan turut menikmati limpahan daripada pelbagai kebaikan yang diperoleh daripada pelaksanaan TPPA dan dari segi apa yang paling ketara?

Jika kita lihat TPPA dapat meningkatkan pelaburan langsung luar negara (FDI) kerana komitmen Malaysia untuk meningkat standard tadbir urus perdagangan yang tinggi. FDI dapat mewujudkan pekerjaan yang banyak sekali gus meningkatkan bilangan pekerja yang memperoleh pendapatan untuk dibelanjakan dan dalam masa sama melibatkan aspek pemindahan teknologi.

Peniaga-peniaga kecil memerlukan pelanggan yang akan membeli produk dan perkhidmatan mereka untuk mereka terus berniaga dan memperoleh pendapatan yang cukup bagi menyara keluarga dan membesarkan perniagaan.

Yang menjadi kebimbangan kononnya, TPPA akan mengambil peluang peniaga-peniaga kecil ini. Saya rasa tidak adil sekiranya kita pukul rata kenyataan ini! Secara logiknya, saya tidak nampak ada pelabur dari Amerika Syarikat sebagai contoh ingin datang `menjajah’ perusahaan keropok lekor di Losong atau cencaluk di Melaka?

Pokok pangkalnya, peniaga-peniaga diberikan ruang dan peluang untuk meningkatkan diri mereka. Saya ada menyebut, kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit melalui pelbagai agensi seperti SME Bank, Agro Bank, Exim Bank, BSN, PUNB, TEKUN, untuk peniaga-peniaga kecil maju dan meningkatkan kapasiti mereka. Ambil peluang ini dan manfaatkannya.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai sejumlah 645,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kira-kira 18 peratus daripada jumlah ini telah pun mengeksport serta menyertai rantaian bekalan global antaranya dalam bidang elektrikal dan elektronik (termasuk LED), pemprosesan makanan dan minuman serta peralatan perubatan.

Walau bagaimanapun, kita sedar tentang cabaran yang dihadapi oleh PKS. Oleh itu, pelbagai insentif dan bantuan diberikan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing PKS supaya dapat bersaing di pasaran global.

Bagaimana Datuk melihat TPPA dapat membantu mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan negara-negara ahli yang terlibat bukan hanya dari segi dagangan, misalnya hak negara dalam mempertahankan pelbagai dasar negara dari segi faktor halal dan sensitiviti agama?

Adalah menjadi matlamat TPPA untuk mengeratkan lagi hubungan pelbagai hala antara negara di dalam TPPA. Apabila kita bercakap mengenai soal sensitiviti agama dan keperluan produk halal, TPPA mengiktiraf Persijilan Halal tidak dikira sebagai halangan perdagangan.

Saya kira negara-negara lain juga sedar akan kebangkitan dan pertambahan umat Islam di seluruh dunia dan persijilan Halal atau ‘Patuh Syariah’ penting untuk perusahaan-perusahaan mereka untuk terus relevan dan meluaskan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran niche umat Islam.

Mereka sedar akan perubahan demografi dunia dan mereka tahu, Malaysia adalah antara pelopor persijilan Halal yang moden serta perkhidmatan-perkhidmatan ‘patuh syariah’ yang lain seperti kewangan Islam, pasaran modal Islam dan lain-lain.

Sebagai perkara baharu mungkin tidak ramai yang bersetuju dengan pelaksanaannya dan mengapa rakyat perlu memberi peluang kepada kerajaan dalam melaksanakan TPPA yang diyakini memberi pelbagai manfaat kepada negara pada masa akan datang?

TPPA adalah satu perubahan, ia akan menukar landskap ekonomi dan sistem tadbir urus perdagangan kita kepada lebih moden dan berdaya saing. Sememangnya perubahan akan menakutkan sesiapa, yang penting adalah kesediaan menerima perubahan dan persediaan untuk menghadapinya.

Saya kira rakyat perlu lebih memberi peluang kepada kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menerangkan apa itu TPPA. Sepanjang tempoh perundingan, MITI cuba melibatkan seramai boleh stakeholders, wakil rakyat, pakar-pakar, pimpinan masyarakat dan belia, termasuklah rakyat jelata melalui sesi-sesi townhall di MITI dan lokasi-lokasi seluruh negara.

Berilah peluang kepada MITI untuk memberi penerangan dan mempersembahkan hujahan mereka mengenai TPPA. Di dalam apa-apa perkara, ada dua pandangan seperti duit syiling mempunyai dua permukaan. Jangan terus menolak tanpa mengkaji dan memahami apa itu TPPA.

Apa harapan Datuk terhadap rakyat mengenai TPPA ini?

Saya amat berharap rakyat berminda terbuka di dalam menganalisis teks perjanjian TPPA dan impak kepada mereka. Saya berharap agar mereka lebih adil dengan mendengar hujah yang realistik berasaskan fakta bukan sentimen dan momokan dari kedua belah pihak yang menyokong dan menentang.

MUKADIMAH Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) yang telah dimuktamadkan pada 5 Oktober tahun lalu kini dalam proses pembentangan dalam satu sidang khas di Parlimen minggu depan. Dalam sesi tersebut semua ahli Parlimen akan diberi peluang berbahas tentang baik dan buruknya pelaksanaan perjanjian itu sebelum keputusan mengenainya dibuat melalui undian.

Umum mengetahui Malaysia begitu komited dengan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan sehingga kini negara telah melaksanakan 13 FTA iaitu enam perjanjian melalui blok ASEAN serta tujuh perjanjian secara bilateral seiring dengan perubahan rejim pelaburan dan perdagangan dunia khususnya selepas tahun 2000.

Sehubungan itu, TPPA yang melibatkan 12 negara disifatkan oleh kerajaan sebagai satu bentuk FTA yang baharu dan mempunyai potensi untuk membawa Malaysia terus maju ke hadapan.

Dalam pada itu, pelbagai pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan termasuk menubuhkan Kaukus TPP membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang bagi memastikan pelaksanaan TPPA benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai TPPA, Pengerusi Kaukus TPPA, Datuk Ahmad Hamzah yang juga Ahli Parlimen Jasin dalam satu pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, Norliza Zakaria telah berkongsi pandangannya mengenai pelaksanaan perjanjian itu.