Izinkan saya berhujah mengapa keputusan kerajaan untuk menyer­tai TPPA ini adalah selari dengan ke­pentingan negara.

LATAR BELAKANG

Mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat dari 30 September hingga 5 Oktober 2015 telah memuktamadkan runding­an TPPA setelah lebih lima tahun berunding. Lanjutan itu, pada 5 November 2015, teks penuh TPPA yang mengandungi 30 bab dan 595 muka surat teks perjanjian, 5755 halaman lampiran bagi jadual akses pasaran bagi 12 negara TPPA, jadual syarikat milik kerajaan, peraturan tempasal; dan 20 surat sampingan yang dipersetujui secara dua hala mengenai isu spesifik telah dihebahkan kepada umum.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memuat naik soalan-soalan lazim (FAQ) di laman sesawangnya bagi memudahkan orang ramai memahami kandungan TPPA. Pada 3 Disember 2015, hasil kajian kos-faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai impak TPPA dimuat naik di laman sesawang MITI.

Di samping itu, ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah diberikan dokumen-dokumen berikut pada Disember:

i. Teks dan lampiran TPPA; setebal 16 jilid dan

ii. Hasil kajian kos-faedah oleh ISIS dan PwC.

Ringkasan TPPA dalam bahasa Melayu juga diedarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat pada Januari 2016. Ringkasan ini juga diedarkan sekali lagi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat pada pagi ini (semalam) sebagai rujukan.

Sebagai usaha kerajaan untuk memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di peringkat negeri, saya telah membuat lebih 300 sesi penerangan mengenai TPPA sejak 1 Ogos 2013 sehingga ke hari ini. Tujuannya mendedahkan kandungan TPPA serta mendapat input daripada pel­bagai pihak. Golongan yang di­temui termasuklah pelajar pusat pengajian tinggi, belia, golongan akar umbi, guru, penjawat awam, persatuan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli Parlimen dan pihak lain yang berkepentingan.

MITI juga menubuhkan Cleared Advisors, iaitu kumpulan pakar meliputi beberapa bidang yang memberi nasihat kepada kerajaan berkaitan hal-hal yang sedang dirundingkan di bawah TPPA. Mesyu­arat pertama kumpulan ini diadakan pada 4 Disember 2014. Cleared Advisors ini terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing dari sektor swasta, kumpulan profesional, ahli akademik dan badan bukan kerajaan.

Tindakan kerajaan membentangkan sebuah triti antarabangsa kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu yang unpredecented, iaitu tidak pernah berlaku dalam sejarah. Semasa sidang media di Sidang Kemuncak APEC di Bali, Perdana Menteri telah membuat keputusan supaya TPPA dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Dari sudut undang-undang, iaitu di bawah Perlembagaan Negara Bab 3 Perkara 39 mengenai Kuasa Eksekutif Persekutuan: “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.” Dalam kata lain, kerajaan berhak untuk menandatangani perjanjian antarabangsa, termasuk TPPA tanpa perlu dibawa kepada Parlimen.

Namun sebagai kerajaan yang meng­hormati demokrasi, TPPA dibentangkan ke Parlimen di Dewan Rakyat kerana ini adalah perjanjian bebas terbesar di dunia yang paling komprehensif berbanding mana-mana FTA yang ditandatangani oleh Malaysia di dunia pada hari ini. Ia meliputi banyak perkara selain hal berkaitan tarif dan mempunyai kesan yang besar kepada negara. Sebelum dibahaskan di Parlimen, perkara ini menjadi subjek dalam seminar forum dan menarik perhatian banyak pihak. Keputusan kerajaan untuk membawa TPPA ke Parlimen amat bertepatan sekali kerana langkah ini telah mendo­rong kerajaan untuk mengadakan majlis-majlis penerangan di seluruh negara.

Kedua, tindakan unprecedented atau bersejarah adalah keputusan untuk menubuhkan sebuah Kau­kus TPP yang melibatkan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang. Kaukus ini bermesyu­arat sebanyak 15 kali. Kali pertama mesyuarat diadakan pada 6 Ogos 2013 dan yang terakhir pada 30 November 2015. Kaukus itu yang diketuai oleh Yang Berhormat Jasin terdiri daripada 11 ahli Yang Berhormat lain termasuklah enam daripada BN dan lima ahli pembangkang. Mereka ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Putatan, Hulu Rajang, Kuala Se­langor, Simpang Renggam dan Kota Tinggi. Pembangkang pula diwakili oleh Lembah Pantai, Kota Bharu, Klang, Sungai Siput dan Kelana Jaya.

Ketiga, satu lagi tindakan bersejarah ialah sesi plenari dan bengkel yang diadakan pada Selasa 13 Januari 2016 yang menghimpunkan ahli-ahli Parlimen daripada BN dan pembangkang. Pada sidang plenari, ahli pembangkang telah mengemukakan lebih banyak soalan berbanding ahli-ahli BN.

Pada sebelah petangnya pada hari sama, bengkel mengenai isu-isu utama TPPA seperti akses pasaran, ISDS dan pelaburan, perolehan kerajaan, Bumiputera dan syarikat milik kerajaan serta hakcipta harta intelek dan ubat-ubat telah diadakan. Saya gembira kerana ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan dan pembangkang telah berbincang isu-isu yang mendalam dalam suasana yang cukup tertib dan berhemah.

Saya ingin memaklumkan bahawa dalam kalangan 12 negara TPPA, cuma Malaysia yang membawa perkara ini ke Parlimen untuk kelulusan sebelum menandatangani perjanjian tersebut. Kesemua negara lain telah membuat keputusan untuk pergi ke Auckland, New Zealand pada 4 Februari 2016 bagi menandatangani perjanjian ini kerana ia tidak memerlukan kelulusan badan legislatif negara-negara berkenaan. Bagi Malaysia, kita akan membuat keputusan sama ada untuk menandata­ngani TPPA atau tidak hanya selepas dibahaskan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini satu langkah yang menunjukkan kerajaan menghormati pandangan ahli-ahli Yang Berhormat.

Sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat setuju agar kerajaan menandatangani TPPA, ia belum boleh dilaksana­kan lagi. Tempoh kira-kira dua tahun diperlukan untuk kita membuat beberapa pindaan kepada undang-undang berkaitan dan peraturan terten­tu sebelum dapat diratifikasikan. Se­banyak 26 pindaan perlu dibuat ke atas 17 undang-undang bagi mengambil kira beberapa persetujuan dicapai oleh negara-negara dalam TPP.

Pindaan undang-undang yang substantif merangkumi bab-bab berikut:

i. Empat pindaan, yang melibatkan bidang penguatkuasaan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Zon Bebas 1990 dan Perintah Kastam No.27 dalam Bab Barangan (Bab 2);

ii. Dua pindaan yang melibatkan bidang penguatkuasaan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Zon Bebas 1990dalam Bab Tempasal (Bab 3);

iii. Sembilan pindaan yang melibatkan bidang paten, hakcipta, cap dagangan, petunjuk geografi dan penguatkuasaan dibawah Akta Tanda Niaga 1976, Peraturan-peraturan Tanda Niaga 1997, Akta Paten 1983, Peraturan-peraturan Paten 1986, Akta Hakcipta 1987, Akta Indikasi Geografikal 2000, Akta Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001, Akta Perlindung­an Varieti Baru Tumbuhan Baru 2004, Peraturan-peraturan Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2008 390/2008 dan 389/2008, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Directive No. 2/2011 (berkaitan dataexclusivity) dan Akta Pencegahan Perubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dalam Bab Harta Intelek (Bab 18);

iv. 10 pindaan yang melibatkan bidang penguatkuasaan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1958, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kerja 1955, Akta Pasport 1966, Akta Standard-standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, Ordinan Buruh Sabah Cap 67 dan Ordinan Buruh Sarawak Cap 76 dalam Bab Buruh (Bab 19);

v. Satu pindaan yang berkaitan dengan antirasuah dan melibatkan bidang penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia 2009 dalam Bab Ke­te­lusan (Bab 26).

Pindaan yang prosidural me­rang­kumi bab-bab berikut:

vi. Semakan semula akan di­buat ke atas peraturan perolehan kerajaan sedia ada yang akan melibatkan pindaan untuk memastikan keseragaman peraturan berkaitan pelaksanaan di bawah Arahan Perbendaharaan (T1) dan satu Pekeli­ling Perbendaharaan yang berkaitan dengan Treasury Instructions (1PP) di bawah Bab Perolehan (Bab 15).

Saya ingin menekankan pindaan ke atas 17 undang-undang Malaysia adalah untuk memastikan bahawa 26 pindaan ke atas undang-undang kita dikemas kini berdasarkan perkara yang telah dipersetujui da­lam rundingan dan tidak melibatkan pindaan Perlembagaan. Perlu ditekankan bahawa pindaan ini tidak menjejaskan dasar-dasar utama negara seperti agenda Bumiputera. Sebaliknya, pindaan ini secara amnya adalah bertujuan mengguna pakai amalan-amalan terbaik dalam hal berkenaan buruh, alam sekitar serta hakcipta harta intelek.

GLOBALISASI DAN 
PER­DAGANGAN

Berkurun-kurun lamanya Malaysia adalah sebuah negara yang amat bergantung pada perdagang­an antarabangsa. Sejak Zaman Ke­sultanan Melayu Melaka lagi, tanah air kita adalah sebuah pusat perdagangan yang ulung kerana lokasi yang strategik dalam menemukan saudagar-saudagar dari seluruh dunia. Ini telah membawa kemakmur­an kepada Melaka.

Legasi perdagangan ini diwarisi sehingga sekarang dan Malaysia te­rus unggul dalam perdagangan antarabangsa. Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah 1.5 kali ganda lebih besar daripada KDNK. Pada masa ini, Malaysia berada di tangga ke-23 negara pengeksport dan ke-25 negara pengimport tertinggi di dunia. Jumlah dagangan pada tahun ini dijangka RM1.4 tri­lion.

Untuk makluman, Malaysia ber­dagang dengan lebih 200 negara di seluruh dunia. Dasar kita adalah untuk berkawan dan berdagang dengan semua negara. Oleh itu, kita telah menandatangani 13 FTA sehingga hari ini, yang terkini dengan Turki dan Malaysia juga sedang merundingkan beberapa FTA yang lain termasuklah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan China serta FTA dengan Kesatuan Eropah. Jumlah perdagangan dengan Turki telah melonjak lebih 70% sejak Ogos tahun lepas.

Penglibatan dalam TPPA bukanlah bermakna kita meminggirkan China, ASEAN ataupun negara-negara Islam. Malaysia perlu mempelbagaikan hubungan dagangan kita, dan jika ada peluang sudah pasti kita ingin menjual barangan kita ke seluruh dunia. Dalam dasar luar negara Malaysia, ASEAN adalah keuta­maan kita. Pada masa sa­ma China dan negara-negara sahabat lain juga penting untuk kita. Penglibatan dalam TPPA tidak bermakna kita memilih Amerika dan mengetepikan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain. Ini adalah tanggapan yang tidak tepat.

Di samping itu, penglibatan Malaysia dalam TPPA tidak bermakna kita mengabaikan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Malaysia masih lagi berkeyakinan WTO adalah platform terpenting untuk me­ningkatkan hubungan perdagangan antara negara-negara dunia. WTO mempunyai 162 negara ahli dan inisiatif WTO seperti Doha Deve­lopment Agenda yang bermula pada 2001 sehingga ke hari ini masih belum menampakkan hasil. Kita tidak boleh menunggu Doha Development Agenda ini ditamatkan sebelum kita terlibat dalam mana-mana FTA. Ini satu tindakan yang tidak cerdik. Sekiranya kita menunggu sehingga tamat, kita tidak akan dapat menandatangan satu FTA baru pun. Oleh itu, pihak-pihak yang berkata kita tidak patut menandatangani TPPA dan terus terlibat dalam WTO tidak faham tentang perdagangan antarabangsa.

Sejarah membuktikan negara yang mengamalkan dasar terbuka lebih berjaya daripada negara yang tertutup. Negara yang mengamalkan dasar tertutup seperti Korea Uta­ra, Cuba dan suatu ketika dahulu Myanmar tidak mencatatkan pres­tasi ekonomi yang memberangsangkan. Sebab itulah negara berlumba-lumba untuk menandata­ngani FTA. 619 FTA telah dilaporkan kepada WTO dan 413 daripadanya telah pun berkuat kuasa. Kita boleh memilih untuk menutup pintu kepada perdagangan dan pelaburan asing. Kita juga boleh memilih untuk membuka pintu kita seluas-luasnya tanpa had. Namun bagi Malaysia, kita mengamalkan sistem pasaran terbuka tetapi akur kepada Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan budaya tempatan.

Malah, agensi seperti MIDA, InvestKL, Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), Koridor Utara dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur telah diperkenalkan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara kita. Itulah sebabnya juga ada InvestPenang di Pulau Pinang, InvestSelangor di Selangor, InvestPerak di Perak dan InvestJohor di Johor. Semua negeri berlumba-lumba untuk mendapatkan pelaburan asing.

Malah keadaan sama di peringkat antarabangsa di mana negara-negara dunia turut berlumba untuk menarik pelaburan asing. Kalau ada ahli-ahli Yang Berhormat beranggapan bahawa pelaburan asing mencuri peluang pelabur tempatan seper­ti dihujahkan di Padang Merbok oleh beberapa penceramah pada Sabtu lalu, maka Yang Berhormat Bagan perlu tutup InvestPe­nang dan Yang Berhormat Gombak pula harus tutup InvestSelangor. Selaku Menteri MITI saya juga perlu tutup MIDA dan MITI.

Dasar kerajaan adalah untuk menggalakkan pelaburan asing ke­rana ia mendatangkan banyak manfaat kepada negara. Di Kelantan ada syarikat Jepun bernama Rohm-Wako Electronics yang sudah 30 tahun beroperasi. Rohm-Wako Electro­nics tidak mencuri peluang orang Kelantan sebaliknya ia membawa pelaburan bernilai RM924 juta, 1,700 peluang pekerjaan dan eksport produk LED syarikat tersebut yang tidak boleh dihasilkan oleh Kelantan dihantar 100% ke seluruh dunia. Adakah Rohm-Wako Electronics mencuri peluang orang Kelantan? Jawapannya tidak sama sekali.

Sekiranya kemasukan syarikat-syarikat asing dikatakan mencuri peluang rakyat tempatan, maka wajarlah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar syarikat seperti Dell dan Intel berpindah keluar dari negeri tersebut. Saya yakin Yang Berhormat Bagan tidak bercadang berbuat demikian. Justeru, berhati-hatilah ketika bercakap kerana sebenarnya Malaysia bergantung kepada perdagangan luar dan pelaburan asing yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa masuk modal serta menjadi pemangkin kepada kemajuan setempat seperti yang berlaku di Kulim dan Selangor.

Pelaburan asing juga membawa pembangunan kepada kawasan setempat. Kulim Hi-Tech Park yang mempunyai lebih 20 pelabur a­sing bertaraf global umpamanya te­lah menyediakan 25,000 peluang pekerjaan. Tidak ada pelaburan asing di Kulim Hi-Tech Park, maka pembangunan Kulim terbantut. Tanpa perdagangan luar, tidak adalah Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

China dahulunya miskin. 50 tahun dahulu rakyat China kebuluran. Waris-waris mereka di Malaysia menghantar wang kepada sanak saudara di China untuk membolehkan mereka makan. Hari ini, negara China pesat berkembang. Kenapa? Kerana Deng Xiaoping pada tahun 1989 telah memperkenalkan reformasi yang radikal dan membuka ekonominya. Pada tahun 2001, China menjadi ahli WTO setelah 15 tahun berunding. Kenapa China mahu menjadi sebahagian dari dunia? Kerana Deng Xiaoping dan China nampak faedah keterbukaan. Pada saat dan ketika ini, banyak kawasan di negara China lebih maju dari Malaysia. Hari ini mungkin orang China menghantar wang kepada keluarga mereka di Malaysia.

55 tahun dahulu, Singapura sama miskin dengan Malaya. Hari ini, pendapatan perkapita Singa­pura lima kali lebih besar dari pendapatan per kapita Malaysia. Kenapa? Kerana dasar keterbukaan Singapura. Singapura tidak mengeluarkan setitik pun minyak petroleum tetapi adalah salah sebuah negara pengeluar refined petroleum terbesar di dunia. Singapura tidak ada kelapa sawit, getah atau padi. Mereka tidak ada sumber, mereka cuma ada modal insan atau pun human capital. Kita harus akui bahawa Singapura lebih berjaya dari Malaysia pada hari ini kerana dasar keterbukaannya.

Negara kita boleh memilih sama ada untuk tutup atau buka. Kerajaan BN berpendapat untuk menjadi sebuah negara maju, untuk mencatatkan pertumbuhan tinggi, untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah Sarawak dan luar bandar, kita harus menjadi sebahagian dari sistem perdagang­an dan pelaburan antarabangsa. Syarikat kita harus bersaing agar mereka dapat menjadi sebahagian dari global value chain.

Dalam menghadapi TPPA ini, Malaysia perlu ada keberanian. Kerajaan harus berani melaksanakan langkah yang mungkin tidak popular dalam jangka pendek. Pada 1974, Allahyarham Tun Abdul Razak, mantan Perdana Menteri telah mengiktiraf China. Ramai yang tidak bersetuju pada ketika itu kerana China adalah sebuah negara komunis yang membantu Parti Komunis Malaya. Namun jelas tindakan berani yang diambil oleh Allahyarham Tun Abdul Razak itu membawa manfaat. Hari ini, hubungan perdagangan di antara Malaysia dan China amat baik.

TPPA memberi akses kepada pasaran lebih luas. Benar kita sudah ada komuniti ekonomi ASEAN, benar kita sudah ada 12 FTA lain. Tetapi pada pandangan saya adalah salah untuk mengatakan bahawa 13 FTA sudah cukup buat Malaysia. Apabila kita tandatangan TPPA, pasaran kita akan berkembang khususnya di empat negara yang Malaysia masih belum mempunyai FTA iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Analoginya cukup mudah, kalau saya orang Kelantan hendak berniaga tomyam di Kelantan insya-Allah rezeki ada saya masih boleh hidup. Tetapi sekiranya saya memilih datang ke Lembah Klang maka pasaran saya lebih luas dan rugilah sekiranya saya melepaskan peluang ini. Samalah juga halnya dengan TPPA, sekiranya kita diberi peluang untuk menambah perniagaan di pasaran terbesar di dunia maka kita tidak sewajarnya menolak peluang untuk perniagaan tersebut.

Dalam dunia hari ini kita perlu bersaing. 115 tahun dahulu, Argentina adalah antara negara terkaya di dunia. Pada satu masa dahulu United Kingdom adalah satu kuasa ekonomi dan militari terkemuka dunia. Malah, sewaktu dulu Jepun dikatakan bakal me­ngancam ke­dudukan Amerika Syarikat. Tetapi dunia sudah berubah. Hari ini China merupakan negara ekonomi kedua terbesar di belakang Amerika Syarikat. Pada 30 tahun dahulu, Malaysia, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan berada di tahap pembangunan yang sama. Ketiga-tiga negara tersebut sudah menjadi ne­gara maju dan Malaysia masih terperangkap dalam middle income trap.

Sebab itu, kita laksanakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) untuk pastikan cita-cita Malaysia menjadi negara maju tercapai. Kita tidak mahu negara kita dipintas oleh Vietnam atau negara jiran yang lain. Kita mahu jadi negara maju tetapi saya bimbang sekiranya kita mengambil pendekatan yang terlalu jumud, tertutup, antipelaburan asing, antiperdagangan, saya takut Malaysia akan tercicir dan kita akan berputih mata. Vietnam kini mengamalkan dasar terbuka dan semakin agresif dalam menarik pelaburan asing. Saya bimbang Malaysia akan menyesal sekiranya kita tidak menyertai TPPA kerana para pelabur akan melihat negara-negara se­perti Vietnam sebagai satu destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Terbuka tidak bermakna kita abaikan segala-gala tanpa ada kawalan atau sekatan. Dasar keter­bukaan yang kita amalkan adalah bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan, melindungi hak Bumiputera, merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, serta merapatkan jurang antara negeri maju dan mundur. Dalam TPPA, ada yang berkata ia akan mengakibatkan kemasukan bahan lucah tanpa kawalan. Ini adalah satu fitnah kerana Malaysia masih lagi boleh mengawal selia bahan-bahan ini di bawah TPPA.

Penyertaan dalam TPPA tidak menjejaskan hak kerajaan untuk menapis kandungan asing terma­suk filem dan majalah-majalah dari negara-negara ahli TPPA. Ini telah dimasukkan dalam senarai penge­cualian di bawah Bab Pelaburan dan Bab Perdagangan Rentas Sempadan (Cross-Border Trade). Kemasukan buku-buku, majalah-majalah atau surat khabar, karya-karya seni serta filem-filem yang diimport dan akan diedarkan ke dalam pasaran Malaysia adalah tertakluk kepada perundangan Malaysia.

TPPA melibatkan 12 buah negara. Benar, Amerika Syarikat menyumbang 20% kepada pengeluaran du­nia dan adalah negara terbesar dalam TPPA. Namun yang demikian, prinsip yang digunakan di sepanjang rundingan TPPA ialah Nothing is agreed until everything is agreed. Ini bermakna kita membuat keputusan berdasarkan konsensus. Kita memasuki TPPA atas kerelaan kita, tanpa dipaksa, dan bab 30 perkara 6 memperuntukkan bahawa kita boleh keluar dari TPPA sekiranya ia membawa kemudarat­an kepada negara. Keluar TPPA tidak bermakna kita akan disaman atau menjadi sebuah negara muflis.

TPPA adalah lebih demokratik daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), International Monetary Fund dan World Bank. Beberapa negara dalam PBB diberikan kuasa veto manakala dalam TPPA keputusan dibuat secara bersama atau konsensus. Di bawah perjanjian perdagangan ini, TPPA Commission bakal ditubuhkan di mana tidak ada satu negara pun memiliki kuasa veto. IMF dan World Bank pula memberikan lebih kuasa kepada negara besar berbanding negara kecil. Justeru, TPPA adalah satu perjanjian yang lebih adil dan demokratik berbanding PBB, IMF dan World Bank.

Segelintir individu cuba menakutkan rakyat dengan tuduhan tidak berasas. Contohnya, ada yang mengatakan bahawa negeri-negeri tertentu tidak boleh mengisytiharkan cuti pada Jumaat. Ada juga beranggapan bahawa TPPA akan memaksa kedai-kedai dibuka pada pukul 12-3 petang Jumaat dan mungkin disaman sekiranya mereka tutup pada waktu itu. Sesungguhnya, ini adalah fitnah daripada individu-individu yang langsung tidak memahami TPPA. TPPA melibatkan 12 negara termasuklah negara Islam seperti Brunei. Harus diingat bahawa Brunei adalah sebuah negara Islam. Malaysia juga diberi kebenaran untuk terus menggunapakai sistem pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim.

Ahli-ahli Yang Berhormat juga perlu sedar bahawa Malaysia adalah negara yang hebat. Ratusan ribu rakyat Malaysia kini bekerja sebagai profesional di luar negara sebagai doktor, peniaga dan profesional. Malah, syarikat milik kerajaan se­perti Khazanah Nasional dan Petronas adalah dihormati. UEM dan SP Setia beroperasi di Australia, Rimbunan Hijau beraksi di New Zealand.

Mengikut perangkaan BNM sehingga September 2015, pelaburan Malaysia di luar negara berjumlah RM600 bilion berbanding pelaburan syarikat asing di Malaysia RM500 bilion. Bagi negara-negara tertentu, umpamanya Australia bagi setiap RM1 yang dilaburkan syarikat Australia di sini, syarikat kita ada RM5 di sana. Adakah pelaburan Malaysia di negara asing bermakna kita menjajah negara tersebut? Jawapannya tidak. Perniagaan adalah menang-menang. Kita untung, dia untung. Kita harus sedar bahawa TPPA bukan sahaja memberi peluang untuk syarikat asing memasuki pasaran Malaysia tetapi juga buat syarikat Malaysia untuk melangkah masuk ke pasaran antarabangsa.

TPPA menjadi kontroversi kerana ia tidak hanya bertumpu kepada tarif dan pengurangan cukai. TPPA adalah satu perjanjian alaf baru dan komprehensif. Perjanjian TPPA ini meliputi enam perkara yang pen­ting bagi Malaysia iaitu:

l Cukai yang lebih rendah bagi barang-barang tertentu khususnya barang elektronik dan elektrikal;

l Layanan lebih baik di empat buah negara yang kita belum ada perjanjian iaitu AS, Kanada, Mexico dan Peru;

l Liberalisasi dan perlindungan pelaburan Malaysia di luar negara;

l Meningkatkan kerjasama; da­lam bidang kastam, pembangunan PKS;

l Penguatkuasaan peraturan alam sekitar, buruh dan harta intelek; dan

l Ketelusan serta dasar anti-rasuah.

Malaysia memasuki TPPA di atas terma-terma sendiri. Sejak awal lagi Perdana Menteri telah menegaskan kepada Presiden Obama dan pe­mimpin dunia lain bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan dasar Bumiputera semata-mata mahu memastikan tempatnya di dalam TPPA. Pada 8 Oktober 2013, sewaktu me­syuarat ketua-ketua kerajaan di Bali sempena Sidang Kemuncak APEC, Perdana Menteri dengan lantang mengatakan bahawa dasar Bumiputera adalah dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dasar ini tidak boleh digugat.

Saya tahu kebanyakan Yang Berhormat faham dan membaca TPPA. Bagi pihak BN, saya berani beri jaminan mereka faham kerana mereka telah mengadakan beberapa bengkel yang saya sendiri turut serta. Bagi pembangkang saya kurang pasti. Oleh yang demikian, saya tidak akan senaraikan secara terperinci kandungan bab dalam TPPA. Seperti sedia maklum TPPA mempunyai 30 bab jadi saya akan highlight beberapa bab yang difikir penting untuk diberikan penerangan.

Yang pertama, Malaysia membuat keputusan untuk menyertai TPPA kerana kita masih belum mempunyai FTA dengan empat negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Amerika Syarikat adalah kuasa ekonomi terbesar di dunia dan peluang untuk menembusi pasaran negara ini akan memberi pulangan kepada syarikat-syarikat Malaysia. Pada pagi ini, saya cuma ingin menjelaskan tentang faedah yang dinikmati oleh syarikat Malaysia dalam tiga bidang utama iaitu elektrikal & elektronik, tekstil dan komponen automotif.

Cukai import bagi barangan elektrikal dan elektronik Malaysia untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat buat masa ini adalah secara purata 5%. Dengan terlaksa­nanya TPPA, duti ke atas 99.8% dari produk elektrikal dan elektronik akan dimansuhkan serta-merta. Ini akan memberi faedah kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan pelaburan dan menerusi pelaburan tambahan ini kita menjangkakan peluang pekerjaan serta eksport juga akan bertambah.

Dalam bidang tekstil, baju-baju ini tarifnya sekarang ialah di antara 0.5 hingga 32% di Amerika Syarikat. Melalui TPPA, cukai import yang dikenakan ke atas produk-produk ini akan dikurangkan sebanyak 70% pada tahun pertama. Syarikat-syarikat pengeluar tekstil dan pakaian tempatan menjangkakan bahawa pelaksanaan TPPA akan membantu meningkatkan hasil eks­port sebanyak 30%.

KEBIMBANGAN 
TER­HADAP TPPA

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penjelasan kepada beberapa kebimbangan yang diutarakan terhadap TPPA, sama ada melalui media sosial atau semasa sesi penerangan TPPA.

Harga Ubat

Terdapat pelbagai dakwaan bahawa harga ubat akan naik oleh kerana TPPA. Kita harus sedar bahawa terdapat pelbagai faktor yang menentukan harga ubat, seperti kadar pertukaran matawang, kos penyelidikan dan tempoh masa pengujian clinical trials. Hasil rundingan TPPA mengekalkan dasar paten sedia ada seperti berikut:

a. Undang-undang Malaysia mem­­­peruntukkan perlindungan pa­ten selama 20 tahun dan ini kekal di bawah Perjanjian TPP, konsisten dengan terma di bawah WTO.

b. Tempoh perlindungan paten hanya akan dilanjutkan sekiranya berlaku kelewatan tanpa sebab-sebab munasabah. Amalan sedia ada bagi kelulusan pemasaran adalah efisien dan mengambil masa kurang daripada 245 hari. Memandangkan tempoh 245 hari tidak dianggap kelewatan tidak munasabah untuk kelulusan pemasaran, maka tempoh paten kekal 20 tahun.

c. Bagi ubat-ubatan biologik (bukan kimia):

Syarikat farmaseutikal boleh mendaftarkan data ujian ubatan untuk mendapat perlindungan selama lima tahun menerusi proses perlin­dungan data farmaseutikal yang telah berkuat kuasa semenjak tahun 2011. Kerajaan bersetuju untuk memberi tempoh perlindungan yang sama bagi produk ubatan biologik.

Selain Malaysia, negara TPPA se­perti New Zealand dan Australia juga mengeluarkan kenyataan bahawa TPPA tidak akan menyebabkan kenaikan harga ubat kerana seperti Malaysia, negara-negara tersebut mengekalkan dasar paten sedia ada.

ISDS

ISDS, atau mekanisme penyelesaian pertikaian di antara pelabur dengan kerajaan bukan sesuatu yang baru kepada Malaysia. Sehingga kini, negara telah menandatangani 74 perjanjian pelaburan dua hala dan lapan FTA yang mengan­dungi mekanisme ISDS.

Perlu ditegaskan bahawa ISDS tidak menyekat hak kerajaan untuk mengawal selia bagi perkara-perkara berkaitan kesihatan awam, keselamatan dan alam sekitar. ISDS juga bertujuan melindungi pelabur-pelabur kita di negara-negara yang mempunyai perjanjian pelaburan dengan Malaysia.

Memandangkan ada kegusaran dan kelemahan dalam mekanisme ISDS sedia ada beberapa penambahbaikan bagi proses ISDS dirun­dingkan dalam TPPA. Penambahbaikan ini termasuk mewajibkan proses konsultasi dan rundingan sebelum dibincangkan di tribunal antarabangsa.

Interpretasi peruntukan-peruntu­kan TPPA ditentukan oleh negara ahli TPPA, melalui Suruhanjaya TPPA, dan Tribunal wajib mengikut interpretasi ini. Di samping itu semua tuntutan tidak munasabah atau fri­volous claim tidak akan dibenarkan. Tempoh masa untuk pelabur membawa kes terhadap kerajaan terhad kepada tiga tahun enam bulan.

Kebanjiran Pekerja Asing

Terdapat kebimbangan bahawa TPPA akan mengakibatkan kebanjiran pekerja asing. Ingin diperjelaskan di sini bahawa obligasi di bawah Bab Buruh bertujuan mempertingkatkan standard perburuhan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, seperti memberi kebebasan menubuhkan kesatuan pekerja, rundingan secara kolektif, penghapusan buruh paksa, buruh di bawah umur & diskriminasi di tempat kerja, penetapan gaji minimum, waktu bekerja serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TPPA tidak akan mengubah dasar mengenai kemasukan pekerja asing. Pekerja asing mahupun pekerja mahir masih tertakluk kepada syarat-syarat domestik sekiranya mereka ingin bekerja di Malaysia.

Perusahaan Kecil 
dan Sederhana (PKS)

Ramai pihak bimbang industri PKS tidak dapat bersaing di bawah TPPA. Hakikatnya di bawah FTA sedia ada, pasaran kita sudah pun terbuka, dengan duti import ke atas lebih 90% produk yang masuk ke Malaysia telah pun dimansuhkan. PKS diutamakan di dalam TPPA. Satu Bab Khusus diwujudkan iaitu usaha bersama kesemua ahli TPPA akan diadakan untuk membina upaya PKS.

Di samping itu kerajaan telah pun mempunyai pelbagai program bina upaya untuk membantu PKS mengambil peluang yang wujud di bawah TPPA. PKS di Malaysia telah pun terlibat dalam pasaran eksport iaitu 18%. 51% PKS adalah dalam sektor perkhidmatan dan 48% sektor pembuatan. TPPA akan membuka peluang yang lebih besar kepada PKS.

PKS juga dapat meraih faedah di bawah TPPA:

a. Meningkat eksport melalui akses pasaran baru yang luas dalam kalangan ahli TPPA, terutama pa­saran ahli baharu, iaitu Mexico, Kanada, Peru dan Amerika Syarikat.

b. Mengurangkan kos operasi memandangkan kos import bahan mentah adalah lebih rendah akibat pengurangan duti import.

c. Dari aspek Perolehan Kerajaan:

l Keutamaan syarikat Bumiputera dan PKS dikekalkan.

l Pembekal PKS Malaysia juga berpeluang memasuki pasaran perolehan kerajaan luar negeri – produk makanan, produk minyak masak, pakaian, sarung tangan getah, komponen automotif.

Penjajahan Semula

Adalah tidak benar, bahawa TPPA akan mengakibatkan penjajahan semula di Malaysia. Pelaburan Malaysia di luar negara yang berjumlah kira-kira RM600 bilion, melebihi pelaburan asing di negara kita sebanyak RM500 bilion. Kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara tidak bermakna kita menjajah negara-negara tersebut. Di samping itu, pelabur dari Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura sudah lama berada di Malaysia. Pelaburan asing adalah penting untuk Malaysia, terutama pelaburan yang berintensifkan mo­dal serta berteknologi tinggi dan dapat mewujudkan peluang-pe­luang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Hakcipta dan Buku Rujukan Ke­gunaan Pelajar Universiti

Terdapat kebimbangan di pihak pelajar universiti bahawa tempoh hakcipta (copyright) akan dipanjangkan di bawah TPPA dari 50 tahun kepada 70 tahun, dan ini akan mengakibatkan peningkatan dalam kos kepada pelajar universiti. Namun begitu, terdapat beberapa pengecualian daripada komitmen tersebut bagi tujuan:

i. Pengajaran,

ii. Penyelidikan,

iii. Akses maklumat oleh indi
vidu yang ada kesukaran penglihatan, ataupun

iv. tujuan lain yang seumpama.

Kerajaan sedar penyertaan dalam TPPA ada kosnya. TPPA akan memberi kelonggaran untuk penubuhan Kesatuan Sekerja. TPPA akan memudahkan prosedur sekiranya kesatuan itu ingin mengadakan mogok. TPPA juga membolehkan orang asing memimpin kesatuan sekerja dengan syarat-syarat ter­tentu. Ini mungkin akan mengenakan tekanan kepada majikan tetapi baik untuk pekerja kerana mereka mendapat hak yang lebih. Di bawah TPPA juga, kita dikehendaki menambah baik kebajikan pekerja termasuklah membanteras perda­ga­ngan manusia, menghapuskan buruh kanak-kanak. Ini adalah satu langkah yang baik untuk pekerja.

TPPA juga membolehkan beberapa PKS dalam sektor pembuatan meningkatkan daya saingnya bagi menembusi pasaran luar negara. Benar, bukan senang walaupun beberapa PKS sudah pun berjaya. Kerajaan mengakui bahawa kita memerlukan satu pelan tindakan yang mantap bagi memastikan PKS tempatan mampu menembusi pasaran global. MITI dan agensi-agensinya seperti SME Corp akan menjalankan dan memperkasakan program bina upaya dan peningkatan pencapaian piawaian antarabangsa. MATRADE akan memainkan peranan lebih aktif dalam mencari pasaran dan memastikan agar syarikat kita mampu bersaing di luar negara.

Kajian PwC mengatakan bahawa imbangan dagangan akan ber­kurang­an kerana meskipun jum­lah eksport meningkat, namun jumlah import akan meningkat pada kadar lebih tinggi. Imbangan daga­ngan akan menurun sebanyak 4.3-5.2% dalam masa 10 tahun selepas TPPA dilaksanakan. Apa yang lebih penting Malaysia akan terus mendapat lebihan dagangan setelah TPPA dilaksanakan. Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan jumlah eksport negara khususnya melalui inisiatif yang dirangka oleh Majlis Eksport Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Dalam apa jua keputusan ada buruk dan baiknya. Kerajaan buat keputusan berdasarkan buruk baik. Kerajaan berpendapat Malaysia dapat meraih kebaikan dan kita akan ke­tinggalan sekiranya tidak me­nyertai pakatan perdagangan terbesar ini. Ramai mungkin tidak nampak faedahnya hari ini, tetapi saya bimbang ekonomi negara-negara jiran lain yang menyertai TPPA akan menjadi lebih mantap sekiranya kita memilih untuk tidak menyertai TPPA.

Kalau kita pilih untuk menunggu dan masuk kemudian, kita mungkin tidak akan dapat pengecualian yang sama dalam isu seperti Bumiputera, pensijilan halal dan lain-lain kelonggaran yang telah dirun­dingkan. Ini dipanggil first mover’s advantage. Kalau Malaysia menyer­tai TPPA kemudian perkara yang telah berjaya dirundingkan mungkin ti­dak akan terpakai lagi.

PENUTUP

Saya ingin menyatakan penghargaan kepada perunding kita yang diiktiraf negara TPPA lain sebagai berpengalaman dan tegas mempertahankan kedudukan kita dan berjaya merundingkan TPPA atas terma Malaysia. Tahniah kepada pegawai kita, terima kasih kepada Kaukus TPP dan terima kasih rakyat Malaysia. Saya harap semua pihak dapat menilai TPPA secara objektif serta mengambil kira manfaat jangka masa panjang serta peluang yang mungkin terlepas sekiranya kita tidak menyertai perjanjian ini. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, kerajaan merasakan bahawa pe­nyertaan Malaysia ke dalam TPPA adalah selari dengan kepentingan negara.