Perjanjian sebegini besar tidak boleh disorok sama sekali kerana kesannya bukanlah setakat sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang. Maka, ketelusan amatlah dituntut agar tiada sesiapa yang berasakan bahawa ada maksud tersembunyi di sebalik TPPA.

Kaedah sebegini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana apa pun tindakan yang dilakukan melibatkan rakyat Malaysia memerlukan konsensus semua pihak. Baharulah, keputusan terbaik akan dapat dicapai. Kepentingan rakyat perlu diutamakan melebihi sebarang kepentingan lain.

Selain Malaysia, wakil 11 negara lain iaitu Chile, Singapura, Brunei, Kanada, Mexico, Australia, Jepun, Vietnam, Amerika Syarikat (AS), Peru, tuan rumah sendiri, New Zealand telah menandatangani perjanjian tersebut.

Selepas melalui 19 pusingan rundingan yang penuh mencabar dengan pelbagai isu dikemukakan bagi setiap negara, TPPA yang dikatakan sebagai perjanjian perdagangan pelbagai negara bakal membuka lembaran baharu ekonomi 12 negara tersebut.

Ini merupakan satu lagi detik bersejarah ekonomi negara yang pada awal kemerdekaan banyak bergantung kepada hasil pertanian, tetapi kini telah beralih kepada sektor perkhidmatan yang menjanjikan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mapan.

Bagi pihak yang menyokong TPPA, hujah paling utama digunakan untuk merasionalkan keperluan Malaysia untuk menyertai TPPA, sudah tentulah pasaran lebih besar untuk pemain-pemain industri perniagaan tempatan. Dikatakan bahawa pasaran ekonomi negara-negara TPPA adalah sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan ekonomi global dan dengan ini banyak negara mula memberi perhatian kepada masa depan TPPA.

Tidak mustahil negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Thailand dan Filipina juga akan menyertai TPPA pada masa akan datang. Bahkan, jumlah negara yang akan menyertai TPPA di kawasan Pasifik lain juga berkemungkinan bertambah, sekali gus akan merealisasikan lebih banyak lagi perdagangan antara negara-negara TPPA dalam era pasaran bebas dan terbuka.

Apa yang menarik, anggota asal TPPA dahulu dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-PasifIk (TPSEP) yang hanya berjumlah empat buah negara iaitu, New Zealand, Brunei, Singapura dan Chile. Dengan kata lain, dua daripada empat negara TPSEP, iaitu Brunei dan Singapura merupakan negara Asia Tenggara yang juga kebetulan adalah negara jiran Malaysia.

Jadi, dalam hal ini kenapakah negara-negara tersebut sejak awal lagi melihat prospek ekonomi yang besar dalam perjanjian negara-negara Pasifik sebelum AS memperkenalkan TPPA?

Persaingan

Dalam satu sudut, kita tidak boleh menafikan bahawa persaingan dalam kalangan negara-negara di dunia cukup sengit. Misalnya ketika era tahun 1990-an, Vietnam bukanlah saingan ekonomi negara kita, tetapi kini negara ini sudah berubah menjadi pesaing kepada Malaysia dan jika kita tidak berbuat sesuatu, negara kita akan ketinggalan jauh berbanding Vietnam.

Lagipun, mustahil ekonomi Malaysia mampu kekal di belakang Singapura jika kita masih berada dalam ruang lingkup perdagangan yang sama. Untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, mahu tidak mahu pasaran perdagangan Malaysia perlu lebih luas dan sekali gus dapat menjana lebih pendapatan bukan setakat untuk Malaysia tetapi juga, sektor swasta dan rakyat Malaysia itu sendiri.

China sendiri pun telah membuka pasaran mereka demi kelangsungan ekonomi negara tersebut. Jelas menunjukkan TPPA merupakan langkah permulaan Malaysia untuk meluaskan lagi pasarannya bukan setakat negara-negara Pasifik tetapi juga negara-negara lain di dunia.

Misalnya, Malaysia menyasarkan satu lagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) yang dijangka dimuktamadkan pada suku pertama tahun ini. Sekali lagi tujuannya tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan pertumbuhan perdagangan, sekali gus meningkatkan ekonomi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Dengan kata lain, TPPA sewajarnya menuju ke arah matlamat ini agar usaha-usaha selama ini melalui rundingan benar-benar memberi manfaat kepada negara dan rakyat Malaysia. Namun begitu, sebagaimana dikatakan oleh Mustapa, perjalanan TPPA masih panjang. Maksudnya, sebelum TPPA dilaksanakan seawal tahun 2018, banyak lagi isu yang perlu diselesaikan.

Isu utama tidak lain tidak bukan soal ratifikasi melibatkan sebanyak 17 undang-undang dan 26 pindaan mencakupi undang-undang buruh, perolehan kerajaan dan hak harta intelek. Tujuan ratifikasi ini adalah untuk menyelaraskan undang-undang sedia ada ke arah perjanjian TPPA.

Maka, pihak yang dipertanggungjawab perlu menggandakan usaha dalam tempoh dua tahun ini terhadap undang-undang tersebut supaya dipinda dengan sebaik-baik mungkin. Pada masa yang sama keperluan untuk memastikan pindaan tersebut tidaklah sehingga boleh memudaratkan negara kita.

Selain itu, cabaran persaingan yang memerlukan semua pihak bersiap sedia agar dapat sekurang-kurangnya setaraf dengan syarikat mahupun ahli perniagaan negara TPPA yang lain. Misalnya, persaingan dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan mereka untuk lebih berdaya maju melalui prinsip ilmu pengetahuan yang luas, kemahiran tinggi dan inovasi yang hebat.

Dengan kata mudah, PKS tidak boleh berada pada takuk sama demi memastikan produk-produk mereka diterima dalam pasaran negara-negara TPPA yang lain.Melalui inovasi misalnya, PKS mampu mengeluarkan produk-produk berkualiti dan berharga paling murah supaya bakal pembeli di negara-negara lain tertarik dengan produk-produk mereka.

Apalah gunanya jika pasaran eksport semakin meluas tetapi produk-produk tempatan tidak mampu dijual di pasaran negara-negara TPPA. Akhirnya, sektor perniagaan negara lain pula yang akan memperoleh manfaat terbesar daripada TPPA.

Ambil contoh paling mudah inovasi teknologi telefon bimbit telah meletakkan jenama-jenama seperti Apple dan Samsung berada dalam kelas tersendiri dalam pasaran ekonomi dunia. Budaya inovasi perlu diterapkan bagi memenuhi kehendak pasaran yang mementingkan produk-produk yang berkualiti, segar dan hebat.

Negara kita berkelebihan dari segi pasaran halal dalam negara-negara TPPA. Maka, peluang ini perlu diambil sebaik-baik mungkin oleh pemain-pemain industri pasaran tempatan bagi memperluas dan meningkatkan lagi pertumbuhan sektor ekonomi halal Malaysia.

Peluang hanya boleh diterjemahkan sebagai manfaat jika setiap pihak terutamanya sektor swasta berusaha untuk menjayakannya. Tidak boleh hanya mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan untuk memperoleh rantaian nilai tinggi.

Ini termasuklah hubungan erat antara sektor-sektor perniagaan Malaysia mencakupi semua kaum agar ekonomi Malaysia benar-benar bersaing berpaksikan gagasan 1Malaysia. Tidaklah hanya segelintir pihak sahaja yang mendapat manfaat TPPA manakala yang lain hanya mampu melihat sahaja manfaat yang dinikmati oleh segelintir pihak ini.

Kita juga tidak mahu pemain-pemain industri negara lain pula yang berjaya menguasai pasaran sehinggakan pada satu tahap pihak lain tidak mampu bersaing dengan mereka.

Natijahnya, kebaikan daripada pasaran meluas TPPA hanya dinikmati oleh segelintir pihak sahaja dan akhirnya, dibimbangi bukan setakat boleh menjejaskan kemapanan ekonomi negara yang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi tetapi juga melebarkan lagi jurang antara yang kaya dan miskin di Malaysia.

Inilah cabaran-cabaran yang perlu ditangani sebelum perjanjian TPPA dilaksanakan pada tahun 2018.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan

Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.