Topik tentang perkara itu ter­kandung dalam bab dua teks per­janjian berkenaan dan terdapat tiga objektif berhubung dengan pelaksanaan pe­runtukan tersebut iaitu:

- Menggalakkan perdagangan an­tara negara anggota TPPA melalui penghapusan atau pengurangan duti import.

Menangani halangan bukan tarif berkaitan prosedur peng­eks­port­an atau pengimportan serta isu-isu kastam.

Mengurangkan birokrasi dan meningkatkan ketelusan bagi memudah cara perdagangan antara negara anggota TPPA.

Namun apa yang lebih penting me­lalui pembabitan Malaysia dalam TPPA, akses pasaran produk keluaran negara akan menjadi lebih luas memandangkan terdapat negara-negara dalam blok tersebut tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara ini seperti Kanada, Mexico dan Peru.

Untuk pengetahuan umum libe­ralisasi tarif dan pasaran telah pun bermula sebelum Malaysia berhasrat menyertai TPPA lagi iaitu hasil kerjasama blok ekonomi ASEAN serta 13 FTA yang ditandatangani sebelum ini.

Hasil daripada perjanjian bebas tersebut secara langsung telah memberi banyak kelebihan kepada negara terutama dalam sektor Per­usahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mungkin banyak pihak tidak mengetahui bahawa PKS tempatan seperti Oldtown White Coffee, Hup Seng, Mamee, Marrybrown, Julie’s, Brahim, Bangi Kopitiam dan Ramly telah mengambil peluang hasil daripada pelaksanaan FTA tersebut.

Melalui inisiatif tersebut iaitu hasil usaha kerajaan menandatangani 13 FTA berkenaan, syarikat-syarikat PKS tempatan berjaya me­luaskan perniagaan mereka sehingga ke luar negara.

Ini menunjukkan bahawa perjanjian perdagangan bebas berjaya membuka satu lembaran baharu dalam konteks menyediakan pasaran yang lebih luas kepada PKS tempatan agar tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik semata-mata.

Apa yang boleh diperkatakan, pelaksanaan 13 FTA itu telah membuatkan syarikat-syarikat Malaysia termasuk PKS mula bersaing dengan syarikat-syarikat multinasional luar negara sama ada di pasaran tempatan, serantau mahupun global.

Cuma dari segi kualiti produk yang dihasilkan atau perkhidmatan yang sediakan hendaklah bermutu setan­ding dengan produk keluaran antarabangsa.

Ini memandangkan FTA amat mementingkan kualiti dan kegagalan mana-mana syarikat menyediakan produk yang menepati piawaian antarabangsa boleh menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian kerana pengguna banyak pilihan lain.

Untuk makluman, hasil daripada 13 FTA yang telah dilaksanakan di negara ini, kira-kira 65 peratus daripada lebih 10,000 kod tarif bagi barangan dalam Daftar Cukai Kastam tidak lagi tertakluk kepada sebarang cukai import.

Selain itu pasaran yang terbuka luas ini telah memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia termasuk PKS meningkatkan nilai eksport terutama di pasaran-pasaran baharu, dan pada masa sama menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada masa ini Malaysia mempunyai sejumlah 645,000 PKS yang daripadanya hanya kira-kira 18 peratus telah mengeksport serta menyertai rantaian bekalan global antaranya dalam bidang elektrik dan elektronik (termasuk LED), pempro­sesan makanan dan mi­numan serta peralatan perubatan.

Menyedari cabaran yang dihadapi oleh PKS, kerajaan sehubungan itu menawarkan pelbagai insentif dan bantuan bagi meningkatkan ke­upayaan serta daya tahan PKS supaya dapat bersaing di pasaran global.

Situasi yang sama juga akan berlaku sekiranya Malaysia menandatangani TPPA. Yang pasti kerajaan sedia meningkatkan keupayaan PKS supaya mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan syarikat-syarikat antarabangsa.

Cuba bayangkan, syarikat Ramly yang terkenal sebagai syarikat pengeluar daging burger serta daging proses terkemuka mempunyai pusat jualannya di Amerika Syarikat (AS) ataupun di Mexico.

Umum mengetahui yang penduduk Amerika Syarikat menggemari burger dan mungkin syarikat Ramly berpeluang meneroka pasaran baharu di negara Uncle Sam itu.

Begitu juga dengan rangkaian restoran Oldtown White Coffee dan Marrybrown, TPPA mungkin mampu memberi peluang kepada kedua-dua syarikat ini beroperasi secara francais di mana-mana negara dalam blok perjanjian itu khususnya yang tiada perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia.

Hakikatnya, jika Malaysia bersetuju menyertai TPPA, produk keluaran negara yang benar-benar berkualiti, bermutu dan mempunyai keupayaan pasti akan mampu bersaing khususnya di peringkat global. Malaysia tidak boleh ketinggalan kerana 11 lagi negara dalam blok ini pasti akan merebut peluang yang tersedia dalam TPPA.