Banyak lagi ciri kepemimpinan sedemikian yang telah dibincangkan ketika Konvensyen Kepemimpinan Berhikmah: Mendepani Cabaran Abad 21 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor pada Sabtu lalu yang menyentuh pelbagai topik termasuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa kebangsaan serta meningkatkan kekuatan ekonomi kaum itu.

Antara ahli panel pada sesi berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Safuan Group Holdings Berhad, TAN SRI MATSHAH SAFUAN; tokoh akademik, SENATOR PROF. EMERITUS TAN SRI DR. IBRAHIM SHAH ABU SHAH; Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris, PROF. DATUK DR. AWANG SARIYAN dan Pengerusi konvensyen itu, MUSTAFFA KAMIL AYUB.

Ucapan penggulungan pada penghujung konvensyen sehari berkenaan disampaikan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, DATUK SERI ANWAR IBRAHIM. Berikut adalah sedutan konvensyen terbabit.

Keadilan merentasi  kaum, agama

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim 

BERHIKMAH adalah istilah al-Quran. Hikmah ini adalah kebijaksanaan tetapi bersumberkan keyakinan akidah dan ilmu. Adakah mereka (pemimpin) mampu (bersikap sedemikian)? Jawabnya, ya, andaikata dihadam maksud hikmah. Ulama, pemimpin politik atau sarjana yang mengikut gendang dipalu, mengikut sentimen kaum atau fahaman agama yang jumud, itu bukan hikmah namanya.
Hikmah itu mesti berlandaskan keyakinan akidah, sumber ilmu yang sahih dan ia mesti mampu menyelesaikan masalah. Oleh itu, kita harus perbanyakkan majlis ilmu dan perbincangan.
Sekarang isu Dong Zong (Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina), Dr. Zakir Naik serta pembelajaran Jawi dan khat di sekolah. Antara yang melontarkan (pandangan) fahamannya dangkal. Ada yang memperjuangkan Cina dan ada yang menjadi champion Melayu, tetapi mereka sebenarnya sama-sama dangkal. Perbahasan yang tercetus, lebih banyak daripada sumber fahaman kaum yang sempit.
Kita tidak boleh menolak hasrat untuk mempertahankan kepentingan kaum dan agama tetapi mesti bersandarkan prinsip keadilan dan kemanusiaan serta rahmatan lil alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam). 
Bagaimana kita nak membicarakan soal Islam tetapi ketepikan permasalahan keadilan? Kalau kita pilih untuk menjadi orang Islam yang sebenar, kita kena terima kaedah ini walaupun betapa sukar sekalipun. Tapi ini tidak bermakna menjadi zero-sum game (siapa menang dia berkuasa).
Ada orang kata, Anwar, you nampak kurang dalam soal Melayu. Saya nak menyebut dari segi sejarahnya, dari segi bahasa dan agama, saya lebih keras daripada pejuang-pejuang Melayu haprak ini. Berbicara soal Melayu untuk mengaut kekayaan diri sendiri. Berbicara Melayu tetapi rendah akhlak dan akal budi. - ANWAR IBRAHIM

10 sendi kepemimpinan

MUSTAFFA KAMIL AYUB.
MUSTAFFA KAMIL AYUB. 

SESUNGGUHNYA dengan realiti abad ke-21 yang lebih rumit, penuh ketidakpastian serta pelbagai cabarannya, mendambakan kepemimpinan berhikmah menanganinya. Terdapat 10 sendi kepemimpinan berhikmah. Antaranya  pemimpin mempunyai sifat takwa (takutkan Allah) dalam setiap pertimbangan dan tindakan, ikhlas, berakhlak, syukur, merendah diri, berintegriti serta memegang prinsip kebenaran, keadilan mahupun amar makruf nahi mungkar.
Pemimpin sedemikian juga bersedia membina semangat komuniti dan syura, muafakat, mendidik masyarakat madani, membina keyakinan bersama melewati batas sempadan politik, agama dan bangsa. Mereka berkemampuan menterjemahkan idealisme perjuangan kepada realiti dengan pendekatan terbaik dan sederhana dalam penyelesaian masalah serta meminimumkan kekecohan.
Sendi lain adalah mempunyai pemikiran strategik dengan perancangan dan pelan tindakan betul. Mengongsi visi, misi dan budaya kerja cemerlang bersama pasukan serta mengasihi sumber daya manusia di semua peringkat.
Mereka membuat penilaian dengan objektif, teliti, matang serta memilih karakter terpuji dan bukan kemahiran semata-mata. Pemimpin seperti ini mempunyai kesabaran dan daya tahan tinggi, sanggup menanggung risiko, konsisten dan faham adab berbeza pandangan.
Kepemimpinan sedemikian saling lengkap melengkapi dalam pasukan, daya pemersatu, merangsang pasukan, berkomunikasi dengan berkesan serta boleh menjadi contoh. - MUSTAFFA KAMIL AYUB

Globalisasi ancam usahawan Melayu

MATSHAH SAFUAN
MATSHAH SAFUAN 

REMPUHAN arus globalisasi telah dan akan terus berlaku ke atas setiap negara termasuk Malaysia. Menerusi beberapa liberalisasi ekonomi, persaingan antara negara-negara kian terbuka. Usahawan Melayu juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan rempuhan globalisasi yang sudah cukup untuk mengancam kedudukan sediakala mereka jika tidak bersedia bersaing dalam sistem ekonomi global terbuka.
Oleh itu, usahawan Melayu perlu mempersiapkan diri mereka untuk menjadi bangsa ampuh dan boleh bersaing di pasaran antarabangsa menerusi beberapa langkah, misalnya menghasilkan barangan bermutu tinggi tetapi berkos rendah yang boleh dicapai dengan peningkatan produktiviti dan penggunaan teknologi, meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna dengan bersikap profesional, bervisi global dan mempunyai brand name.
Langkah lain yang boleh dibuat usahawan Melayu adalah menjadi sebahagian daripada rangkaian produksi serantau, meningkatkan scale atau volume pengeluaran untuk mengurangkan kos, mencari pasaran niche (khusus), menjadi sebuah entiti yang berasaskan pengetahuan, mengubah sikap dan transformasi minda mereka supaya menjadi usahawan kompetitif dan bertaraf dunia.
Antara nilai baharu yang mesti ada adalah mempunyai sikap positif dan kesedaran untuk mempertingkatkan pengetahuan terutamanya bidang teknikal bagi menjayakan perniagaan. Perlu ada sikap berdikari dan mahu berusaha sendiri serta kurang bergantung kepada bantuan kerajaan. Berkeyakinan terhadap kebolehan diri sendiri dan percaya bahawa mereka setanding dengan kaum lain malahan dalam beberapa bidang usahawan Melayu lebih baik, cekap dan mahir. - MATSHAH SAFUAN

Jangan robek Perlembagaan

IBRAHIM SHAH ABU SHAH
IBRAHIM SHAH ABU SHAH 

SEBENARNYA dalam Perlembagaan memang sudah jelas bahawa Islam dan Melayu telah diletakkan pada tahap cukup tinggi dan baik. Persoalannya, apakah kita akan lebih memperkasakan Islam dan Melayu atau melemahkannya?
Saya bukan orang politik, saya orang akademik, saya profesor dalam bidang politik. Pengamatan saya, untuk memperkukuhkan Islam dan Melayu dalam Perlembagaan, hanya melalui politik. 
Saya akan memberikan contoh cukup banyak. Semasa Kashmir membuat keputusan untuk berada bersama-sama India, wilayah itu telah dijanjikan akan diberi autonomi. Bagaimanapun, Perdana Menteri baharu (Narendra Modi) yang mempunyai pendirian agak berbeza telah menukar perlembagaan melalui kuasa politik dan menarik balik autonomi Kashmir.
Bermakna Perdana Menteri atau mereka yang dominan dalam politik berkuasa untuk menukar perlembagaan, menggugat kedudukan Islam dan Melayu serta boleh menghancurkan raja-raja Melayu.
Saya mengharapkan kerajaan baharu terus memperkukuhkan dan jangan usik sama sekali Perlembagaan. Belia-belia Islam mesti mempertahankan Perlembagaan sedia ada. Kita bercakap dari segi prinsip, ini Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan telah dibuat, bukan semasa kemerdekaan tetapi sebelum itu.
Maka, jangan dirobek Perlembagaan. - IBRAHIM SHAH ABU SHAH

Tumpu sektor pendidikan, bahasa 

SISTEM pendidikan negara mestilah memberikan perhatian kepada dua dimensi saling berkaitan dan saling melengkapi iaitu mengutamakan bahasa negara sebagai wasilah (penghantar utama) pendidikan negara dan pada waktu sama menekankan pembudayaan bahasa Melayu yang tinggi dalam sistem pendidikan negara (dan sistem-sistem sosial lain) sebagai syarat pencapaian tamadun tinggi.
Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada pembangunan bersifat holistik seperti yang tertayang pada perancangan pembinaan negara sebelum dan pada awal kemerdekaan iaitu semua sektor penting. Tamadun negara dirancang secara bersepadu, tanpa pengurangan perhatian kepada mana-mana sektor, apatah lagi sektor teras seperti pendidikan dan bahasa.
Pembangunan negara tidak sewajarnya lebih tertumpu pada pembangunan ekonomi dan industri dengan mengurangkan perhatian kepada sektor seperti pendidikan dan bahasa. Kita mesti menjadi lebih maju dengan pelaksanaan dasar-dasar negara, bukan ke belakang terutamanya dalam hal yang telah terbukti salah. - AWANG SARIYAN