Tetapi semua itu sudah menjadi catatan sejarah. Kedukaan sudah berlalu, kekalahan tidak lagi diratapi. Kelmarin UMNO kembali meraikan ulang tahunnya dalam suasana penuh keceriaan dan kesyukuran pada bulan suci ini. Pemimpin dan ahli-ahli UMNO kini semakin bersemangat untuk bangkit semula dan melupakan episod PRU-14. Mereka yakin rakyat khususnya orang Melayu masih bersama parti keramat itu. Apatah lagi UMNO bagaikan mendapat suntikan baharu apabila kepemimpinan parti tersebut kini diterajui oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walaupun menjalankan tugas-tugas Presiden dan diuar-uarkan sementara memandangkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti bagi memberi tumpuan kes beliau di mahkamah, namun di peringkat akar umbi, ahli-ahli mendapat semangat apabila melihat kewibawaan dan ketokohan Mohamad yang berjaya memimpin BN mencapai kejayaan di tiga PRK. Mereka berpendapat, pada kedudukan UMNO sekarang, Mohamad perlu terus diberikan kepercayaan memimpin parti itu dengan dibantu semangat ketabahan Ahmad Zahid dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika ini ramai pemerhati politik melihat UMNO berada di landasan betul untuk kembali meraih sokongan rakyat. Oleh itu, parti tersebut perlu menyusun agenda yang benar-benar mantap bagi menghadapi PRU-15. Agenda paling utama seperti mana ditegaskan Mohamad ketika berucap dalam majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-73 pada Sabtu lalu ialah parti itu harus mengangkat politik Melayu dan Islam sebagai agenda masa depan. Sekali lagi agenda itu pasti dianggap bersifat perkauman, rasis atau entah apa lagi istilah oleh musuh-musuh politik UMNO, tetapi biarkan sahaja. UMNO tidak boleh berasa tergugat atau terganggu dengan hujah politik seumpama itu.

Dalam keadaan apa sekalipun, UMNO bersama Pas perlu terus menjadi payung kepada orang Melayu dan umat Islam. Tidak kisahlah kalau ada orang berkata, kerjasama itu atau langkah memperjuangkan sesuatu isu berkaitan orang Melayu bertujuan politik. Kenyataan seumpama itu bukanlah kali pertama dilakukan. Sudah berpuluh-puluh tahun kita mendengar tuduhan sama setiap kali apabila ada pihak mahu memperjuangkan soal Melayu dan Islam. Justeru biarkan sahaja mereka ‘terjun dengan labu-labunya’. Serangan politik tersebut tidak harus menjadi ‘kudis gatal’ kepada UMNO untuk terus melangkah bersama Pas bagi kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Kalau mahu dikira rasis atau bersifat perkauman, penulis fikir ada lagi parti yang lebih hebat memperjuangkan kaumnya tetapi memperalatkan nama rakyat Malaysia.

Percayalah orang Melayu masih bersama UMNO, orang Melayu masih percaya bahawa UMNO dan Pas boleh membela nasib mereka. Kaji selidik yang dibuat oleh pelbagai pihak membuktikan perkara tersebut. Apa yang berlaku dalam tempoh setahun ini termasuk menonjolkan siapa paling berkuasa telah menimbulkan kebimbangan dan memberi petunjuk kepada orang Melayu arah tuju negara selepas ini, jika mereka berdiam diri dan tidak berusaha memperkukuhkan kembali kuasa politik kaum itu. Justeru seperti mana diingatkan oleh Mohamad dalam amanatnya, jangan sesekali ahli-ahli UMNO mengatakan parti ini telah musnah, hancur atau anggapan buruk lain kerana parti itu lahir daripada idea dan ideologi yang baik.

Sememangnya UMNO belum hancur. Tewas sekali dalam pilihan raya umum dan kehilangan kuasa selepas 61 tahun bukanlah bermakna segala-galanya berakhir. Apa yang berlaku dalam PRU-14 ada hikmah dan rahmatnya kepada orang Melayu. Antara paling ketara ialah kerjasama dengan Pas setelah sekian lama bermusuhan. Walaupun ada pihak yang terus mengungkit kisah lama antara kedua-dua parti dengan tujuan mewujudkan keraguan dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu terhadap kerjasama berkenaan, namun ia nampaknya tidak berhasil. Kalau sejarah lama melibatkan individu atau mana-mana parti mahu diperkatakan, rasanya perjalanan politik PH paling menarik untuk dipaparkan kerana ‘macam-macam ada’.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun sudah memberi isyarat jelas akan bersama UMNO dalam PRU-15. Pendirian ini sudah tentu menggerunkan ‘musuh-musuh’ politik kedua-dua parti. Selepas ini pasti serangan demi serangan akan dilakukan bagi melemahkan atau menggagalkan kerjasama tersebut. Bagi berhadapan dengan situasi itu, pemimpin, ahli dan penyokong kedua-dua parti perlu istiqamah dan tidak termakan dengan ‘racun-racun fitnah’ oleh kelompok yang kita tahu hanya membawa agenda ‘orang lain’.

‘Orang lain’ itu kini dilihat cukup berkuasa. Siapa orang lain itu? Semua tahu jawapannya.