Manusia yang negatif ini fikirannya dihantui oleh dua perkara sahaja. Pertama, mereka berasa, ‘mereka tidak disayangi’. Kedua, mereka beranggapan ‘mereka tidak cukup bagus’. Oleh sebab itu untuk mempositifkan mereka, sayangi mereka, puji dan hargai diri mereka dan nasihatkan anak-anak kita untuk terus bersemangat mendapatkan ilmu yang banyak. Sesungguhnya tabiat, pengalaman dan pelajaran menentukan pencapaian hidup kita.

Kanak-kanak yang berasa dirinya diterima dan dikasihi akan membesar menjadi orang yang percaya diri dan cemerlang dalam banyak perkara. Kerana kalau kita hendak orang sayang akan kita, kita kena sayangi diri kita dahulu, dengan cara menjaga kebersihan, pemakanan, kesihatan, dan ketrampilan diri. Hal ini amat penting, kerana kalau kita sayang diri kita, aura kasih sayang akan terpancar di wajah kita dan kita pun disayangi orang. Macam mana kita melayan diri kita, macam itulah kita sebenarnya mengajar orang melayan kita.

Apabila kita berasa kita ‘tidak cukup bagus’, kita menjadi pemalu dan pasif, kerana banyak potensi diri disia-siakan semasa kecil. Ibu bapa perlu menghormati dan memahami perasaan anak, menerima seadanya mereka tanpa mengerah melakukan perkara yang tidak disukainya. Ibu bapa perlu sentiasa menunjukkan teladan yang baik, marah pada kadar yang sepatutnya dengan tujuan mendidik, untuk menunjukkan yang mana benar dan yang mana salah. Kalau ibu bapa memarahi anak, pujuk semula dan bagi tahu mengapa kita memarahinya. Puji kebaikannya dahulu, dan kemudian beri tahu, jika dia boleh membetulkan kesilapannya, tentu dia menjadi lebih baik dan disenangi.

Didiklah anak-anak menjadi seorang yang berani mengeluarkan potensi diri, tetapi dalam akhlak yang baik: berintegriti, bertanggungjawab, tulus ikhlas dan jujur bersesuaian dengan masa dan keadaan. Bak kata Hamka: “Jika anda sedang benar jangan terlalu berani, dan apabila anda takut jangan terlalu takut, kerana keseimbangan sikap ialah penentu ketepatan perjalanan kejayaan anda.”

Ibu bapa kena tanam pada hati dan minda anak-anak akidah yang mantap. Mengenali Allah dan tahu siapa yang menjadikan kita, siapa yang Maha Melihat dan Maha Mendengar, siapa Yang Maha Menyayangi dan Maha Pemurah kepada kita. Semuanya Allah! Kanak-kanak perlu tahu Allah sayang akan mereka. Maka mereka akan sayangi diri mereka, dengan melakukan semua perkara yang baik, bagi mendapat reda Allah.

Ibu bapa perlu tunjukkan contoh dan pengalaman yang baik. Jika anak-anak kita tidak menjadi seperti yang kita harapkan, berdoalah kepada Allah, bertaubat, dan kenang akan dosa kita dahulu. Kadang-kadang kerana banyaknya dosa kita dahulu, balasannya Allah turunkan kepada anak. Jadi, taubat ialah ubat segala penyakit hati. Seperti kata Hamka lagi: “Perasaan yang perlu ada pada tiap diri manusia ialah hati yang bersih, laksana setitis embun, yang turun dari langit; bersih dan suci. Walaupun, tanahnyalah yang berlainan, embun tetap suci, begitulah hati.”

Macam mana hendak tahu sama ada hati kita suci atau tidak, jom audit diri, kita ada rasa kedengkian atau tidak? Kalau kita seorang yang tidak boleh menerima kelebihan orang lain, tidak suka memuji atau tidak suka mendengar orang memuji orang lain, dan suka memberikan pandangan yang menjatuhkan semangat orang yang mendengar atau menerimanya, serta suka tengok orang ditimpa musibah dan sakit hati melihat orang mendapat kebahagiaan, bermakna kita seorang yang berhasad dengki.

Apabila hati suka berbuat baik tanpa mengharapkan balasan dan pujian, itulah situasi yang paling menarik dalam hidup. Dan jika hati kita reda berkongsi kebahagiaan dengan suka tengok orang dapat kebaikan dan kebahagiaan sama macam yang kita dapat, itu tanda kita tidak iri hati. Inilah sikap yang perlu ditanam dalam hati anak-anak kita. Cara untuk membersihkan hati, selain bertaubat dan meminta hidayah daripada Allah SWT, kita perlu ada sikap bekerja sama jangan bersaing dengan orang. Ingatlah, orang yang hebat akan membuatkan orang yang bersamanya juga turut hebat.

Niatkan dalam hati untuk sentiasa melakukan kebaikan, kerana tidak ada kebaikan yang kita lakukan, yang tidak balik semula kepada kita. Begitu juga, jika kita melakukan kejahatan kepada orang, ingatlah kejahatan itu akan datang semula kepada kita, sama ada sama caranya atau lebih teruk daripada yang kita pernah lakukan kepada orang. Alangkah malang lagi, jika pembalasan itu bukan berlaku kepada kita, tetapi berlaku kepada orang yang kita sayang – anak cucu kita.

Didik anak-anak, niat berbuat baik atau hendak ‘menjadi’ baik, untuk mendapat reda Allah, bukan hendak nampak baik di mata orang sahaja. Setiap kali kita melakukan kebaikan niat untuk dua matlamat sahaja. Pertama, kerana Allah dan kedua, mengikut syariat. Contoh berpakaian mengikut syariat, buat majlis keraian juga mengikut syariat dengan fokus kita untuk menarik keredaan Allah, bukan menarik perhatian orang, bagi mendapat pujian, dihormati dikagumi dan seumpamanya.

Empat prinsip kehidupan, yang kalau kita laksanakan kita akan tenang. Pertama, menghormati semua orang. Kedua, ikhlas dalam perhubungan kita dengan semua orang, kerana Allah. Tidak ada niat lain selain niat menjaga silaturahim kerana Allah, bukan untuk membodek untuk mendapat sesuatu yang lebih baik dan berharga, serta tidak melayan orang mengikut tahap kedudukan dan gelarannya. Semuanya dilayan sama rata tanpa ada pengelasan darjat.

Layan orang sebaik mungkin yang boleh – sebagaimana kita hendak kita dilayan orang dengan baik, begitulah juga kita perlu melayani orang lain. Ketiga, mesti bersikap lemah lembut. Keempat, sentiasa tanya apa manfaat yang boleh kita beri kepada mereka. Tanya diri apakah manfaat yang boleh kita beri bukan apakah manfaat yang kita akan dapat daripada mereka, jika kita bekerja sama.

Jom gunakan masa percutian sekolah anak-anak dengan memberikan pengalaman manis melalui didik hibur agar empat prinsip kehidupan ini akan menjadi panduan anak-anak kita hidup berkeluarga dan bermasyarakat.