Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), DATUK DR . MOHD. PUAD ZARKASHI, supremo DAP itu juga bimbang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan MU KADIMAH Sri Muhyiddin Yassin tidak mampu membawa sokongan orang Melayu kepada pembangkang seperti yang diberikan oleh Pas sebelum ini.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERM IZI dan jurufoto MOHD. NOOR MAT AMIN di Putrajaya, Jumaat lalu, Mohd. Puad berkata, meskipun Kit Siang dan DAP menafikan parti itu adalah rasis, anti-Islam dan anti-Melayu, perlembagaan parti itu tidak menyatakan akan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

MINGGUAN: Baru-baru ini, Kit Siang mencabar UMNO dan ejen-ejen parti itu membuktikan daripada ucapan dan kenyataannya selama 51 tahun dalam politik yang menunjukkan beliau seorang rasis, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja Melayu. Tuduhan itu bukan baharu tetapi kenapa sekarang rasa semacam tidak selesa?

MOHD. PUAD: Bila Kit Siang mencabar untuk buktikan iaitu selama 51 tahun dia dalam politik, mana ucapan dan kenyataan dia yang menunjukkan dia seorang rasis, anti-Islam, anti-Melayu dan anti-raja Melayu. Tetapi dia lupa bahawa kita tidak menilai buku berdasarkan kulitnya. Kita tidak melihat dari segi ucapan dan kenyataan dia tetapi dari segi perbuatan, tindak-tanduk dan sikap dia. Itu yang kita gunakan untuk mengatakan bahawa dia memang rasis dan anti kepada Islam.

Yang kedua ialah kenapa tiba-tiba dia hendak mencabar orang untuk membuktikan bahawa dia adalah seorang rasis? Pada saya sebenarnya Kit Siang bimbang setelah DAP menendang Pas daripada Pakatan Rakyat dan digantikan dengan Pakatan Harapan, dia bimbang sokongan orang Melayu terhadap pembangkang merosot. Dia juga bimbang Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mampu membawa balik sokongan orang Melayu sama seperti diberikan Pas kepada pembangkang.

Ini terbukti apabila Dr. Mahathir gagal menyeru orang Melayu menyertai perhimpunan Bersih 4.0 dan Bersih 5 walaupun dia sendiri turun tetapi kehadiran orang Melayu begitu mendukacitakan mereka. Justeru Kit Siang bimbang bahawa imej DAP kembali seperti asal iaitu sebagai sebuah parti yang anti-Melayu dan anti-Islam. Pada saya itu punca kenapa dia buat cabaran itu.

 

Apakah ada bukti yang boleh menunjukkan Kit Siang atau DAP adalah seperti yang dikatakan terhadapnya?

MOHD. PUAD: Tindakan DAP menendang keluar Pas sebenarnya adalah manifestasi DAP anti-Islam. Sebab isu DAP dengan Pas ialah soal agama, undang-undang syariah dan sebagainya. Sebab itu pada saya, DAP akan melakukan sesuatu untuk memulihkan imej ini setelah melihat walaupun Dr. Mahathir datang ke persidangan kebangsaan parti itu dan diberikan keistimewaan duduk di atas pentas dan berucap, tapi itu masih tidak mampu untuk meyakinkan orang Melayu tentang imej DAP yang tidak begitu senang terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam di negara ini.

Oleh sebab itu pada saya dia membuat kenyataan itu semata-mata untuk menarik anak muda Melayu dan golongan agamawan menyertai DAP dan mungkin mereka ini akan diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya akan datang sebab DAP sudah tersepit untuk membaiki imejnya setelah Pas ditendang keluar daripada Pakatan Rakyat dan digantikan dengan Pakatan Harapan.

Apabila ada pihak mengatakan DAP mendokong Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, apakah hujah ini boleh diterima?

MOHD. PUAD: Perlembagaan DAP itu sendiri membuktikan bahawa parti itu sebenarnya tidak menyokong Islam sebagai agama Persekutuan. Sebab tidak ada dalam perlembagaan parti itu yang menyatakan DAP menerima Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam perlembagaan DAP tidak disebut parti itu mendokong Islam agama Persekutuan, parti itu mendokong institusi raja, apatah lagi tidak disebut DAP mendokong hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan partinya.

DAP masih mempertahankan konsep Malaysian Malaysia ataupun sekarang diubah nama kepada Middle Malaysia. Pada saya, DAP tetap mempertahankan pembentukan sebuah negara republik kecuali kalau parti itu berani membuat kenyataan secara terbuka bahawa ia menolak dasar Malaysian Malaysia dan negara republik. Saya cabar DAP kalau berani buat kenyataan menolak dasar yang selalu ia sebut sebelum ini iaitu Malaysian Malaysia, sebuah negara republik dan dasar sama rata. Sebab bila DAP sebut sama rata, maksudnya parti itu menolak Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Apabila dilabel sebagai rasis, anti-Melayu dan anti-Islam, DAP sering memberikan alasan mereka memperjuangkan hak asasi manusia. Pandangan Datuk?

MOHD. PUAD: Bagi DAP itu mungkin hak asasi manusia, tetapi soalnya perkara-perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diterima sebagai kontrak sosial sejak dahulu lagi. Ini adalah kontrak sosial yang DAP kena terima. Sebab itu, UMNO mempertahankan kontrak sosial ini sejak dahulu lagi.

Contohnya kita mempertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebab kita pertahankan kontrak sosial dan sebab itu sekolah ini masih wujud. Kita tidak akan menutupnya kecuali orang Cina sendiri yang mahu. Jadi, tidak timbul untuk kita menutup sekolah ini walaupun muridnya tinggal seorang. Macam baru-baru ini, mereka merungut kerana kemasukan murid ke SKJC merosot dan ada sekolah hanya seorang murid sahaja yang mendaftar.

Sebab itu, DAP kena hormati kontrak sosial yang sudah ada dalam Perlembagaan. Apabila DAP kata memperjuangkan kesamarataan, mereka sebenarnya tidak menghormati Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu, kita jelas apa yang kita perjuangkan ialah kesaksamaan dan bukannya kesamarataan. Maksudnya ekuiti dan bukannya ekualiti.

 

Selepas DAP muncul sebagai parti dominan orang Cina sejak Pilihan Raya Umum 2008, orang bukan Melayu semakin berani mempersoalkan perkara-perkara menyentuh sensitiviti agama dan kaum secara terbuka. Apakah DAP boleh mengatakan itu tidak ada kaitan dengan mereka?

MOHD PUAD: DAP menang 38 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 2013, dan semua kerusi itu adalah kerusi kawasan bandar yang majoritinya ada pengundi Cina yang tinggi. Sebab itu kita kata DAP tidak boleh tutup imejnya sebagai parti yang sangat bergantung sokongan orang Cina.

Sebab itu, dalam ucapan Dr. Mahathir selepas PRU-13 ketika mengulas kemenangan Kit Siang di Gelang Patah, beliau mengatakan Kit Siang adalah rasis, pelampau perkauman dan mengajak orang Cina membenci orang Melayu dan undi dia. Sebab itu Kit Siang menang besar di Gelang Patah. Kalau Kit Siang tidak percaya, saya sendiri boleh kongsikan video ucapan Dr. Mahathir itu kepada beliau yang mengatakan Kit Siang rasis dan pelampau perkauman.

Apabila Kit Siang kata empat perdana menteri sebelum ini tidak pernah menuduh beliau sebagai rasis, itu sebenarnya tidak betul. Kalau dia hendak saman, dia patut saman Dr. Mahathir terlebih dahulu yang mengatakan kemenangannya itu kerana sokongan orang Cina.

Baru-baru ini, sekali lagi cerita tentang Kit Siang sebagai dalang pencetus tragedi 13 Mei 1969 kembali tersebar. Beliau menafikan tuduhan itu. Kenapa tuduhan itu masih terus wujud?

MOHD. PUAD: Semua ahli sejarah membuat kesimpulan bahawa satu daripada punca tragedi 13 Mei adalah akibat daripada perarakan kemenangan DAP dalam Pilihan Raya Umum 1969. Perarakan itu dianggap sebagai provokasi yang mencetuskan rasa marah orang Melayu. Ini semua ditulis di mana-mana termasuk dalam buku Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Walaupun Kit Siang kata dia tidak ada dalam perarakan tersebut tetapi yang terlibat adalah DAP. Kecuali kalau dia berani menukar fakta sejarah yang mengatakan bahawa antara punca peristiwa 13 Mei adalah provokasi perarakan kemenangan pilihan raya.

Kenapa masih ada segelintir orang Melayu bersama dengan DAP dan mempersoalkan perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

MOHD. PUAD: Kita tidak nafikan ada orang Melayu yang buta kepada tindak-tanduk DAP. Pada saya, mereka menyokong semata-mata kerana politik, inginkan kedudukan sebagai wakil rakyat dan sokongan orang Cina. Sebab itu mereka menyokong DAP. Mereka tidak peduli kesan jangka panjang terhadap kedudukan orang Melayu yang ada pada hari ini. Sebab itu, saya ingat lagi dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sekarang ini apa yang berlaku ialah perlawanan antara Barisan Nasional (BN) dipimpin UMNO dan Pakatan Harapan yang dipimpin DAP.

Perdana Menteri kata apa yang akan jadi kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sekiranya negara ini dipimpin oleh pembangkang yang sebenarnya dipimpin oleh DAP. Pada saya, cukup jelas ucapan tersebut dan saya tengok DAP pun tidak berani. Sebab itu adalah ucapan dasar Presiden UMNO yang dibuat secara terbuka dan didengar oleh media. Maksudnya, ini adalah satu kenyataan yang berani untuk mengingatkan orang Melayu jangan terlalu liberal dan terpengaruh dengan dakyah DAP kerana mereka ada agenda lain.

Selama pemerintahan BN, semua kaum mendapat manfaat daripada kemakmuran negara. Apakah ada jaminan keadaan itu akan kekal andai pembangkang menang?

MOHD. PUAD: Dasar UMNO jelas. Bila UMNO memperjuangkan Melayu dan bumiputera, dasarnya tidak berubah iaitu inklusif. UMNO juga parti yang memberikan kesejahteraan kepada kaum yang lain. UMNO tetapi menghormati kontrak sosial. Sebab itu, walaupun Islam adalah agama rasmi, kita tidak melarang orang lain mengamalkan ajaran dan kepercayaan mereka. Maksudnya, UMNO adalah parti mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan terbukti tidak menindas atau menzalimi kaum lain. Cuma, UMNO hendak memastikan kesaksamaan itu dapat dilaksanakan sebab orang Melayu masih ramai tertinggal dalam banyak perkara.

Bila UMNO membangkitkan banyak syarikat swasta mensyaratkan penguasaan bahasa Mandarin dalam syarat kelayakan untuk mendapat kerja di tempat mereka, ada DAP bersuara dalam perkara ini? Mereka tidak bersuara. Kita tidak pernah mendengar DAP bersuara tentang sekolah-sekolah kebangsaan yang daif. Sebenarnya masih banyak sekolah kebangsaan terutama di pedalaman yang daif dan murid-muridnya juga adalah anak Malaysia daripada etnik lain seperti Murut, Kadazan dan Dusun.

Ada mereka membela sekolah-sekolah ini? Yang mereka bela cuma SJKC. Kerajaan sebenarnya pun ada bantu sekolah jenis kebangsaan. Sebab itu kita ada SJKC dan SJKT bantuan modal. Ada yang bantuan kerajaan dan bantuan modal. Kita tidak abaikan sekolah jenis kebangsaan. Kita tetap menghantar guru-guru yang berkualiti. Tetapi masih banyak sekolah kebangsaan dan rumah guru yang masih daif dan perlu dibantu. Ada DAP masuk ke pedalaman melawat sekolah-sekolah ini dan membantu?

DAP mendakwa parti itu bukan rasis, tetapi kenapa bertanding di kawasan majoriti Cina?

MOHD. PUAD: DAP adalah sebuah parti yang amat bergantung kepada sokongan orang Cina dan mereka tidak akan berani bertanding di kawasan majoriti orang Melayu kecuali calon mereka adalah calon orang Melayu. Sebab itu saya tidak hairan suatu hari nanti DAP akan meletakkan orang agama yang menyokong DAP bertanding di kawasan tersebut. Sedangkan BN kita meletakkan ada calon bukan Melayu di kawasan majoriti orang Melayu. Macam (Timbalan Presiden MCA) Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, beliau bertanding dan menang di Parlimen Ayer Hitam yang mempunyai 80 peratus pengundi Melayu.

Kalau DAP bukan parti rasis, mereka kena letak calon bukan Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kit Siang sendiri boleh bertanding di kawasan majoriti orang Melayu. Pergilah lawan Ka Siong di Ayer Hitam. Bukankah Kit Siang kata dia boleh bertanding di mana-mana sahaja. Gelang Patah, Ipoh Timor, Kota Melaka, Tanjong dan semua tempat dia bertanding. Dia kata dia giant killer, sekarang lawanlah Timbalan Presiden MCA di Ayer Hitam. Tengok dia boleh menang ke tidak boleh menang.

Bagaimana Datuk melihat tindakan pemimpin DAP yang sentiasa menyaman media yang mendedahkan cerita yang tidak menyenangkan mereka?

MOHD. PUAD: Bagi saya ini adalah tindakan dia untuk menutup mulut media di Malaysia. Dia kata memperjuangkan kebebasan bersuara tetapi bila Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) menyiarkan cerita-cerita yang beliau kata tidak adil pada dia seperti isu kaum dan agama, dia hendak saman dua akhbar tersebut. Tetapi apabila Perdana Menteri hendak saman Malaysiakini berhubung isu pelantikan Menteri Besar Terengganu, dia kata bertentangan dengan kebebasan akhbar.

Jadi, pendirian beliau ada double standard (pilih kasih). Sebenarnya DAP takut apabila orang mendedahkan cerita sebenar tentang parti itu. Apabila (bekas Naib Pengerusi DAP) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat sidang akhbar, Kit Siang marah dan kata tidak mahu ulas kononnya akan merendahkan imej dia serendah Tunku Abdul Aziz. Sebenarnya dia takut. Kalau dia berani, buatlah akuan bersumpah seperti yang dicabar oleh Tunku Abdul Aziz yang mendedahkan dia ada perjumpaan sulit dengan Dr. Mahathir di London bahawa perdana menteri adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Kit Siang timbalan perdana menteri.

Kit Siang juga boleh saman Raja Petra Kamarudin sebab dua artikel terbarunya, satu mendedahkan apa bukti Kit Siang anti-Islam dan anti-Melayu. Yang kedua, tajuknya mencarut Kit Siang. Ada dia berani hendak ambil tindakan terhadap Raja Petra? Ini merupakan sebahagian ugutan dia kepada media.