Baik buruk belanjawan ini, faedahnya sama-sama dirasai. Dalam keadaan negara yang dikatakan menanggung hutang yang besar, kita bersyukur kerana masih ada belanjawan untuk rakyat termasuk di kawasan bandar.Sebagai belanjawan pertama PH, sudah tentu ada kelompongan, kekeliruan yang pelbagai tentang kaedah, prosedur atau butiran yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Dulu sekadar mengkritik tetapi sekarang sebagai pembentang. Ibarat pantun empat kerat : Buah cempedak di luar pagar; Ambil galah tolong jolokkan; Lim Guan Eng baru belajar; Kalau salah tolong tunjukkan. Belanjawan ini juga mencerminkan janji-janji yang perlu ditunaikan oleh kerajaan PH seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan Membina Negara Memenuhi Harapan.

Inilah 'gelanggang’ sebenar untuk memenuhi impian dan harapan rakyat yang memberi sokongan padu sehingga menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Jangan hampakan harapan serta amanah rakyat. Memang mudah untuk 'memusnah dan meruntuhkan’ sesebuah kerajaan tetapi untuk 'membinanya semula’ tidak mungkin mengambil masa 100 hari atau enam bulan. Janji bukanlah sesuatu yang mudah ditunaikan. Tidak semua janji boleh dipenuhi kerana seperti yang pernah ditegaskan pimpinan PH bahawa janji melalui manifesto itu juga bukan kitab suci. Maknanya, janji itu boleh berubah dan diubah. Justeru, terimalah hakikat ini bahawa tidak semua janji boleh dilaksanakan.Berilah masa dan ruang kepada kerajaan. Rakyat sudah letih menerima alasan kedudukan fiskal negara setelah berulang kali isu ini ditonjolkan. Alasan paling popular menuding jari menyalahkan kerajaan terdahulu yang tidak 'meninggalkan wang’ yang secukupnya.

Persoalannya adakah kekangan ini juga yang akan dihadapi sekiranya BN masih memerintah? Melihat manifesto BN, tidak kurang hebatnya janji mereka untuk membela rakyat dengan pelbagai insentif yang meliputi pelbagai peringkat usia rakyat. Mungkin BN ketika merangka manifesto itu telah mengukur baju di badan sendiri. Maknanya berjanji mengikut kemampuan yang tidak mengecewakan rakyat. Bagaimanapun PH pula berjanji untuk menarik sokongan pengundi. Soal kemampuan jatuh nombor dua. Akhirnya selepas menang, rakyat terus fokus menagih janji. Setiap apa yang dibentangkan menjadi perhatian dan bualan masyarakat. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Berjanji memang mudah. Dr. Mahathir sendiri mengakui tunai janji tidak seperti buat janji. Guan Eng juga membuat pengakuan yang sama. Dunia tahu apa yang dijanjikan Guan Eng sebelum menjadi anggota Kabinet. Selaklah kenyataannya atau saksikan video melalui YouTube. Contohnya janji menghapuskan tol terutama tol Sungai Nyior. Siapa yang tidak tahu janji ini? Mujurlah, Jumaat lalu, sekurang-kurangnya Guan Eng menyentuh juga soal menghapuskan tol walaupun sekadar tol motosikal di tiga laluan iaitu di dua Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor. Ada juga disebutkan tol di Pulau Pinang walaupun bukan di Sungai Nyior. Ada juga tol di Johor walaupun bukan di Simpang Renggam. Kerajaan juga berjanji akan membekukan kenaikan tol, sama seperti amalan kerajaan BN. Mungkin ada satu dua tol yang dihapuskan sedikit masa lagi seperti yang pernah dilakukan ketika era BN pimpinan Najib.

Begitu juga dengan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN. Pengakuan Guan Eng, janji itu sukar direalisasikan. Alasannya kedudukan fiskal negara dan paling pantas sudah tentulah terarah kepada Jho Low. Mengikut janji, mana-mana peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah akan diberi penangguhan bayaran balik. Tangguh bukan bermakna tidak perlu bayar. Bagaimanapun kadar pendapatan RM4,000 itu diturunkan kepada RM1,000 ke atas. Maknanya mereka berpendapatan RM1,000 ke atas perlu mula membayar dengan kadar antara dua hingga 15 peratus.

Bersyukurlah, kerana syarat layak bayar diturunkan. Lebih menarik lagi bayaran balik dibuat melalui potongan gaji. Cukup bulan terima penyata, potongan sudah dibuat. Jangan lagi beri alasan tangguh kononnya duit tak cukup beli minyak motosikal atau bayar ansuran kereta. Motosikal tidak kena tol. Harga minyak akan turun. Ingatlah, pinjaman itu adalah hutang yang perlu dibayar. Islam menuntut umatnya membayar hutang. Itu adalah realiti tetapi apa yang dipertikaikan adalah janji-janji yang dibuat mengenai had bayaran balik. Hutang dan janji juga berkait rapat. Hadis riwayat Imam Bukhari menyebut: “Ketika ditanya kenapa selalu berdoa meminta perlindungan dari berhutang, Baginda SAW pun menjawab, orang yang berhutang ini apabila dia bercakap dia menipu, apabila dia berjanji dia mungkir,” Begitu juga dengan satu lagi hadis riwayat Bukhari dan Muslim : Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata, ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya”. Kita berada di dalam golongan mana? Justeru, peminjam tunaikan tanggungjawab, bayarlah hutang. Bagi yang berjanji, tunaikan janji. Itu lebih adil.

Begitu juga gaji minimum yang dinaikkan kepada RM1,100. Ini juga janji yang dinanti-nantikan. Syukurlah kerana dalam tempoh tidak sampai 100 hari, berlaku kenaikan RM50. Selak kembali pengumuman pada 5 September lalu apabila kerajaan pada mulanya bersetuju menetapkan gaji minimum RM1,050. Berdasarkan rekod ini, tidak mustahil matlamat untuk menetapkan gaji minimum RM1,500 sebulan dapat dicapai lebih awal. Sama-sama kita doakan yang terbaik supaya janji itu ditepati.