Menteri Pendidikan, Dr. Ma­s­zlee Malik berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam bertujuan memastikan tadbir urus yang baik dan mengelakkan berlakunya kepincangan dalam keputusan kerajaan.

“Arahan ini berkuat kuasa serta-merta terpakai kepada soal membabitkan implikasi kewa­ngan, namun ia terkecuali bagi urusan terdesak seperti hal-hal kecemasan dan kesihatan.

“Bagi Kementerian Pendidikan sendiri, kami tidak lagi membenarkan amalan surat sokongan membabitkan soal pertukaran pegawai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan, semua naib canselor dan timbalan naib canselor serta ahli-ahli lembaga pengarah universiti yang merupakan lantikan politik diminta meletak jawatan dengan sukarela.

Katanya, pihak kementerian tidak akan menyambung per­khidmatan mereka jika kontrak mereka telah tamat.

“Selepas ini, lantikan pe­ng­u­­rusan tinggi universiti awam akan dipastikan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan individu dilantik benar-benar layak termasuk bebas daripada pe­ngaruh politik.

“Saya juga akan memastikan pelantikan mereka bukan dalam kalangan ahli PPBM ser­ta mana-mana parti dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Pada masa sama, Ma­s­zlee turut memaklumkan, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak akan dibawa dalam sidang Parlimen Julai ini.

Beliau menjelaskan, pemansuhan undang-undang itu tidak menjadi keutamaan pihaknya kerana ia bukan merupakan janji-janji manifesto 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.