Bukan lagi rahsia, Tabung Haji diakui dan menjadi contoh organisasi Islam terbaik terutama dalam bab pengurusan haji. Saban tahun, jemaah haji negara mendapat pujian kerajaan Arab Saudi dan para pemimpin negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Banyak negara Islam lain menimba ilmu daripada Tabung Haji di atas kecemerlangan tersebut. Pendek kata, Tabung Haji melengkapkan syarat berkemampuan dari segi wang bekalan tetapi lebih penting membekalkan ilmu berkaitan ibadat haji.

Kini, terdapat 9.3 juta pendeposit Tabung Haji. Mereka inilah yang menjadi kekuatan dan pemangkin semangat untuk Tabung Haji giat mencari pelaburan berlandaskan syariah yang memberi pulangan terbaik setiap tahun. Ia menjadi institusi pemegang amanah dan menguruskannya dengan cara terbaik.

Justeru, dalam situasi ia menghadapi isu kewangan, hendak­nya umat Islam terutama pendeposit tidak panik. Ini termasuk tidak membuat pengeluaran wang deposit yang mendadak. Harapnya tidak berulang insiden Tabung Haji tidak mampu membayar hibah pada 2015-2016.

Ia menyebabkan lebih 3,000 pendeposit mengeluarkan wang sekali gus menyebabkan mereka kehilangan giliran untuk menunaikan haji.

Alhamdulillah, Selasa lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat menjelaskan tidak berlaku jumlah pengeluaran wang deposit yang mendadak dalam tempoh terdekat. Malah, setakat 11 Disember, ada 170 orang membuka akaun baharu.

Dalam masa sama, Tabung Haji telah mengambil tindakan yang perlu dalam usaha penstrukturan dan pemulihan organisasi tersebut. Untuk itu, marilah kita menaruh keyakinan kepada ahli lembaga pengarahnya dalam menentukan hala tuju dan strategi terbaharu.

Seperti kata Presiden Murshid, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, mereka semua beragama Islam. Mereka yang mempu­nyai kuasa menentu pelaksanaan bersama pengurusan kanan yang lain. Kita perlu bersabar dan beri masa kepada proses siasatan.

Sudah pasti, kita mahu mengetahui kebenaran agar institusi yang banyak berjasa kepada umat Islam ini terus cemerlang dan diyakini. Siasatan juga dapat mengelak Tabung Haji ‘dikambing hitamkan’ oleh mana-mana pihak yang tidak senang dengan Tabung Haji menguruskan RM70.78 bilion wang pendeposit setakat tahun lalu.

Kalau ada penyelewengan atau unsur-unsur jenayah, biarlah pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Cumanya dalam perniagaan dan pelaburan, untung dan rugi itu perkara biasa. Ada perkara yang di luar kawalan apabila melibatkan faktor pasaran, kitaran dan ketidaktentuan ekonomi global.

Kepada para pemimpin waima di peringkat mana sekalipun, ingatlah sabda Rasulullah SAW tentang menjaga amanah yang bermaksud: Barang siapa yang kami angkat dalam kala­ngan kamu memegang sesuatu jawatan, lalu disembunyikannya terhadap kami sebatang jarum atau lebih kecil daripada itu, maka perbuatannya itu adalah penggelapan. Dia akan datang pada hari kiamat membawa barang yang digelapkannya itu. (Riwayat Muslim).