Jika diibaratkan sebagai seorang insan yang dilahirkan 27 tahun yang lalu, 18 Februari 1992, pada hari ini ia sudah pun menjadi seorang belia. Usia ini sudah agak dewasa dan matang dalam memahami erti kehidupan.

Lazimnya seseorang yang usianya menghampiri tiga dekad bukan sekadar tahu untuk memelihara kebajikan diri, tetapi akan mula membina tapak kukuh dan berdikari. Pada usia ini, biasanya sudah mula berfikir untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negaranya.

Namun itu hanyalah suatu analogi dalam personifikasi. Kematangan itu sesuatu yang subjektif. Apatah lagi jika merujuk sesebuah organisasi atau institusi yang dipimpin serta diterajui mereka yang berwibawa, dengan barisan ahli lembaga pengarah yang terpelajar, berkredibiliti dan sentiasa mengikuti serta prihatin terhadap peristiwa atau perubahan yang berlaku dalam masyarakat, negara malah di dunia antarabangsa.

Sejak 27 tahun yang lalu, IKIM dilahirkan daripada satu inspirasi bagi menjernihkan tanggapan-tanggapan negatif tentang agama Islam.

Ia suatu fenomena yang menyedihkan kerana agama ini sering disalah erti, sama ada di sebaliknya terdapat agenda tertentu, ataupun kerana kejahilan umat Islam sendiri.

Media Barat pada ketika itu malah sehingga kini, sering mengaitkan Islam dengan pelbagai perkara negatif, dari aspek kekejaman serta keganasan, sehingga aspek kemunduran dan kejahilan dalam ilmu pengetahuan.

Itulah yang dapat dirumuskan daripada tulisan Mantan Ketua Pengarah IKIM yang pertama, Datuk Dr. Ismail Ibrahim pada dua minggu lalu dalam akhbar ini.

Inilah idea asas yang melahirkan sebuah institusi yang pada perkiraan penulis bukan sekadar suatu platform dalam menyampaikan kefahaman sebenar tentang Islam kepada umat manusia sejagat, tanpa mengira agama, latar belakang budaya dan pemikiran.

Ia juga sebagai medium dakwah yang mampu memperlihatkan keindahan Islam, dan juga pengantara yang dapat membina kerangka hubungan antara penganut agama di negara ini.

Menariknya, IKIM bukan sekadar mampu menzahirkan bahawa agama Islam itu agama yang indah, tetapi agama Islam di Malaysia punyai ciri-ciri tersendiri, juga tidak meninggalkan elemen tradisi selama mana ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Syariah.

Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki kerangka demokrasi dan Perlembagaan tersendiri, malah mewarisi legasi kerangka fiqah yang bukan sekadar diiktiraf oleh ulama Nusantara, malahan juga cendekiawan Islam antarabangsa.

Kata-kata ini adalah sebahagian rumusan penulis, hasil daripada program Sesi Town Hall bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, dianjurkan IKIM pada 29 Januari lalu.

Sepanjang tempoh menghampiri tiga dekad, IKIM telah menyusuri pelbagai permasalahan manusia yang bersifat sejagat, kemudian dibincangkan dan diteliti dengan metodologi (juga platform) bersesuaian dengan isu-isu berkenaan sama ada dari sudut falsafah, penyelidikan bersifat makro ataupun kajian kes.

Malah ketika rencana ini ditulis, sedang berlangsung Persidangan Meja Bulat yang bertajuk, “Integrating Religion and Science in Education Curriculum.”

IKIM tidak mengubah aspirasinya tetapi membuat penambahbaikan dalam urus tadbir dan bidang penyelidikan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya IKIM terus berupaya untuk berkhidmat dan menyumbang bakti.

Penambahbaikan ini telah dapat mengukuhkan IKIM melalui tiga pusat kajiannya, yang disokong bahagian-bahagian lain, mudah-mudahan strategi ini akan menambah daya cekap IKIM.

Sebagai mengakhiri tulisan, penulis ingin merakamkan sejuta penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan pernah memberi sumbangan secara langsung, secara tidak langsung, yang menyokong dengan memberi kritikan membina dan sentiasa mendoakan kelangsungan fungsi IKIM sehingga kini.

Dengan izin Allah SWT, IKIM akan terus menunaikan peranan dalam isu kemanusiaan sejagat.Perjalanan dan kelangsungan IKIM selama 27 tahun ini tentunya tidak dapat dihurai dalam ruangan terbatas, maka penulis wakili dengan serangkap pantun berbunyi:

Anak kelah di hujung titi,

Cuba memetik si daun ranti,

Semoga Allah terus merahmati,

Perjuangan IKIM nan tiada henti.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).