Tetapi pada waktu sama juga rakyat Malaysia dan Filipina berasa teruja dan ternanti-nanti hasil pertemuan antara Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang berlaku buat pertama kali selepas Dr. Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Memang benar Dr. Mahathir sebelum ini telah bertemu de­ngan beberapa pemimpin ASEAN lain seperti Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Presiden Joko Widodo dan Sultan Hassanal Bolkiah tetapi pertemuan dengan Duterte dikatakan menarik minat kerana beberapa isu terkait antara kedua-dua negara.

Sebagaimana perhatian khusus diberikan kepada pertemuan Trump-Putin kerana beberapa isu sensitif seperti tuduhan campur tangan Kremlin ketika pemilihan Presiden AS 2016, pengaruh Rusia dalam politik Ukraine serta penjajahan Crimea, pertemuan Dr. Mahathir-Duterte juga terpaksa berhadapan beberapa isu sensitif seperti tuntutan Sabah oleh Fi­lipina, kemelut selatan Mindanoa seperti ancaman militan Daesh termasuk status Bangsamoro yang tergantung dan juga stigma strategi Duterte memerangi gejala dadah di Filipina.

Tidak banyak hasil perbinca­ngan kedua-dua pemimpin yang diulas oleh akhbar tempatan Malaysia kecuali apa yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) sahaja. Besar kemungkinan kerana Duterte berada di Malaysia bukan kerana lawatan rasmi tetapi secara persendirian ekoran beliau berada di Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan tinju antara peninju Fi­lipina, Manny Pacquiao dan Lucas Matthysse dari Argentina.

Tetapi hakikatnya telah berlaku perbincangan antara ke­dua-dua pemimpin ini dan paling menarik sekali Dr. Mahathir turut bersama-sama dengan Duterte menyaksikan perlawanan tinju tersebut yang berlangsung Ahad lalu di Stadium Bukit Jalil.

Walaupun tidak ada projek infrastruktur yang terjalin antara ke­dua-dua negara seperti mana pertemuan Dr. Mahathir-Hsien Loong menarik perhatian ramai tetapi kerjasama bidang keselamatan terutama sekali yang melibatkan perairan Laut China Selatan, Laut Sulu dan selatan Mindanao yang terjalin selama ini juga membuatkan ramai yang ternanti-nanti hasil pertemuan Dr. Mahathir-Duterte.

Satu perkara yang nyata hasil pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut adalah semua kerjasama keselamatan yang terjalin sebelum ini akan diteruskan ter­utama sekali yang membabitkan perairan Laut Sulu yang sedikit sebanyak telah menjejaskan ke­selamatan timur Sabah. Kedua-dua pemimpin juga menyatakan tekad untuk meneruskan kerja­sa­ma rondaan tiga negara iaitu Malaysia-Filipina-Indonesia da­lam usaha mengawal kegiatan mi­litan yang berpunca dari selatan Min­danao dan menggunakan per­airan Laut Sulu sebagai laluan ak­tiviti keganasan.

Tidak ada masalah dalam hal keselamatan Laut Sulu dan selatan Mindanao kerana kedua-dua negara mempunyai dasar yang selari. Malah Duterte juga telah memberi jaminan kepada Dr. Mahathir bahawa Perundangan Asas Bangsamoro (BBL) bakal diluluskan oleh Kong­res Filipina pada 23 Julai ini. Perlu ditegaskan pembentukan BBL adalah hasil daripada run­dingan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mana Malaysia bertindak sebagai perantara rundingan.

Perlu dinyatakan BBL yang ter­bentuk ketika era Presiden Be­nigno Aquino lagi telah gagal di­muktamadkan oleh Kongres Fi­lipina akibat percaturan politik tem­patan dan sebab itu jaminan Duterte adalah berita yang dinantikan kebenarannya.

Tetapi tidak diketahui apakah hasil perbincangan mengenai ke­selamatan Laut China Selatan ke­rana sebelum ini Dr. Mahathir me­nyuarakan kebimbangan beliau akan kehadiran kapal perang di perairan tersebut. Walaupun beliau tidak memperincikan negara mana yang terlibat tetapi besar kemungkinan kehadiran kapal perang dari AS dan China yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir.

Timbul strategi bertentangan antara Dr. Mahathir dan Duterte dalam hal ini kerana Manila pada ketika ini begitu menyebelahi China dan ketika era Duterte, Fili­pina langsung tidak menyanggah kehadiran tentera China di perairan rebutan ini. Malah Duterte juga tidak menerima pakai keputusan 2016 Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague yang menolak asas tuntutan China yang mana Malaysia menerima keputusan tersebut mengikut lunas perundangan antarabangsa.

Tetapi paling menarik adalah isu tuntutan Sabah dikhabarkan tidak dibincangkan kerana tiada dalam agenda perbincangan ke­dua-dua pemimpin. Perlu diingatkan salah satu janji kempen presiden yang dibuat oleh Duterte semasa kempen 2016 adalah beliau akan membantu pihak yang membuat tuntutan Sabah kerana menurut beliau Sabah adalah milik Filipina.

Dalam pertemuan Trump-Putin, isu sensitif iaitu penjajahan Crimea oleh Rusia telah dibincangkan dan dimaklumkan bahawa terdapat perbezaan pendapat mengenai status Crimea antara kedua-dua pemimpin ini. Dalam hal tuntutan Sabah pula rakyat Malaysia sentiasa menantikan kata putus dari Filipina kerana ia dianggap sebagai duri dalam hubungan kedua-dua negara.

Kata putus mungkin sukar dicapai kerana isu ini sering digunakan sebagai modal politik tempatan Filipina untuk meraih undi. Harapannya dalam era Dr. Mahathir-Duterte ini polemik tuntutan Sabah dapat diselesaikan secara muktamad kerana hakikatnya kedua-dua pemimpin ini mempunyai kekuatan politik yang bukan sembarangan hebatnya.