MASZLEE: Sistem pendidikan kita terikat kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPK). FPK ini yang menentukan hala tuju pendidikan kita. Menteri silih berganti, kerajaan bertukar, atau walau apapun dasar yang dibawa, ia terikat kepada FPK. Itu akan menunjukkan sistem pendidikan kita akan sentiasa terarah. Cuma yang berbeza dari semasa ke semasa, apakah pencapaiannya? Apakah pembangunan yang ingin kita bawa kepada pendidikan. Hari ini kita berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0. Persoalannya, adakah kita telah berjaya mempersiapkan generasi kita untuk berhadapan dengan 20, 30 tahun lagi yang mana banyak pekerjaan pada waktu itu belum lagi dicipta? Dan banyak pekerjaan yang wujud pada hari ini takkan ada lagi pada waktu itu.

Adakah kita telah menjadikan anak-anak murid kita sebagai kalis masa depan? Apa pun perubahan berlaku, apa pun teknologi tercipta, apa pun perubahan kepada industri pekerjaan, anak-anak murid kita boleh menghadapinya? Kita akan rombak kurikulum melalui Jawatankuasa Kajian Dasar yang kita bentuk dan Pendidikan Sivik adalah sebahagian daripadanya. Bagi pihak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, beliau mahu tekankan tiga - penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik kerana teknologi memerlukan pengetahuan Sains dan Matematik yang mendalam. Revolusi Industri 4.0 juga sangat berkait dengan pengetahuan Sains dan Matematik. Kita mempergiatkan usaha kesedaran sains dan kita ingin mewujudkan mentaliti saintifik dalam kalangan rakyat Malaysia. Inilah cabarannya tetapi kita akan cuba memastikan ia berjalan lancar.

Ketiga, teknologi ini semua, bahasanya dalam bahasa Inggeris. Itu bahasa global. Bahasa teknologi adalah bahasa Inggeris. Jadi kita kena pastikan rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan tidak mengetepikan bahasa kebangsaan. Sebab itu, kita lihat banyak perkara yang kita lakukan untuk mengangkat bahasa kebangsaan. Hari ini sasterawan semua ditempatkan di universiti-universiti, tak pernah berlaku sebelum ini. Kita akan menerapkan di peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah, setiap anak-anak murid ini akan didedahkan dengan puisi-puisi sasterawan kita yang akan mereka hafal. Begitu juga, bagi sasterawan-sasterawan ini, sekarang diberikan elaun. Kempen-kempen sastera dan bahasa ini dilakukan lebih kerap dan melalui gerakan membaca kita, kita menyasarkan buku-buku kita dipasarkan ke luar negara. Sebab itu, penglibatan kita baru-baru ini dengan Beijing, Pesta Buku Antarabangsa Beijing dan Oktober ini Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt.

Apa jalan tengah yang perlu diambil untuk mengatasi sensitiviti pejuang bahasa terhadap bahasa Inggeris?

Pertamanya, kita lihat bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah PPSMI, kita telah melalui zaman itu. Yang ke depan ini kita melihat ada beberapa perkara. Kita berhadapan dengan RI4.0. Ada robotik, ada Internet of Thing, pengkomputeran awan dan adanya pelbagai teknologi yang akan menentukan masa depan kita. Kalau kita tidak bersaing kita ketinggalan. Demi menghadapi 20 atau 30 tahun lagi dalam industri pekerjaan, jadi saya terpaksa mengambil tindakan yang mungkin tidak popular demi masa depan mereka. Dan kita tahu bahawa Revolusi Industri 4.0 ini, dari segi pengekodan, robotik dan sebagainya bahasanya adalah bahasa Inggeris. Jadi, kita perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama tidak boleh menggadaikan bahasa Melayu.

Sebab itu, membawa kembali sasterawan-sasterawan kita ke sekolah dan universiti adalah sebahagian usaha untuk memastikan bahawa bahasa tempatan tidak akan tergadai. Yang paling penting bagi saya, penghayatan terhadap bahasa Melayu. Dalam kes ini, saya sentiasa memperkenalkan karya-karya bangsawan dari semasa ke semasa dalam media sosial saya. Dan ini sebahagian daripada usaha untuk memastikan bahawa sastera Melayu akan terus berkembang dan memastikan pejuang bahasa sentiasa bersama dengan kita untuk mengangkat martabat bahasa tetapi kita juga ada tanggungjawab lain untuk memastikan anak-anak bangsa kita tidak ketinggalan 20, 30 tahun lagi ke depan.

Sebab itu pada saya, adalah amat penting usaha memastikan anak-anak bangsa kita tidak akan tercicir dalam tempoh 20, 30 tahun lagi. Jadi ini memang berlaku jika kita lihat dalam perbincangan saya dengan ramai tokoh korporat. Mereka sendiri menyuarakan kerisauan jika kita tidak menguasai bahasa teknologi iaitu bahasa Inggeris, negara kita akan ketinggalan. Hatta yang bukan Melayu pun mengatakan, awak perlu buat sesuatu untuk orang Melayu (you better do something for the Malays). Jika tidak anak bangsa awak akan ketinggalan. Itu yang pada saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan anak-anak bangsa kita tidak akan ketinggalan dan maju dalam pembangunan negara.

Mengapa tidak contohi negara seperti Jepun yang mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka?

Kita perlu mengetahui bahawa Jepun hari ini juga ramai sudah menyedari bahawa mereka perlu menguasai bahasa Inggeris. Society 5.0 (dasar transformasi sosial Jepun) itu mereka perlu kuasai bahasa Inggeris. Hari ini kita lihat bagaimana Jepun sendiri terpaksa bersaing dengan teknologi yang ada. Seperti mana yang saya sentuhkan tadi, saya ingin pastikan bahawa anak-anak bangsa kita tidak ketinggalan dalam sektor perniagaan, sektor teknologi dan juga pembangunan negara. Kita tahu bahawa RI4.0 ini sesuatu yang berlaku, dunia akan dipenuhi dengan pengekodan, pengkomputeran awan, Internet of Thing dan ini semua malangnya dalam bahasa Inggeris. Kalau kita boleh dapatkan dalam bahasa Melayu ataupun bahasa lain tak apa tapi tidak. Kita belum di tahap itu lagi. Sekarang ini kita perlu seimbang, mempertahankan daulat bahasa Melayu ini. Kita pastikan anak-anak kita tidak akan melupakan asal-usul kita tetapi kita kena memastikan mereka juga menguasai teknologi dalam bahasa kita.

Bagaimana menggembleng tenaga keluarga Kementerian Pendidikan (KPM) yang besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara?

Seperti Perdana Menteri menyebut, memang betul keluarga KPM paling besar diibaratkan seperti sebuah negara. Daripada tadika, pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, matrikulasi, IPG, universiti, kolej swasta bermaksud dari budak 5 tahun sehinggalah profesor itulah KPM. Apabila kita berbicara isu kualiti, kita tidak boleh niat berpisah-pisah. Selama ini kita lihat ada dua kementerian, Kementerian Pendidikan Dasar dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Maka di sinilah timbul isunya kerana isu keselarian tidak berlaku. Kedua, isu kualiti itu akan jadi terpencar-pencar.

Sekarang apabila kita duduk bawah satu bumbung, keselarian itu sudah ada. Universiti terlibat dengan sekolah, IPG terlibat dengan universiti. TVET terlibat dengan pihak sekolah. Jadi keselarian pendidikan itu menjadikan pendekatan holistik berlaku. Di sinilah kita cuba meningkatkan kualiti. Walau bagaimanapun, ia perlu lahir daripada para pendidik dan juga pemegang taruh lain. Pertamanya, bagi anak-anak murid, kita perlu meningkatkan kualiti mereka dengan apa yang kita berikan kepada mereka. Keduanya para pendidik, guru, pensyarah, profesor dan sebagainya. Mereka perlu menghayati perubahan yang ingin dibawa ini dan mereka perlu hidup dengan semangat kualiti. Dan yang ketiga yang paling penting adalah kesinambungan.

Dengan apa yang berlaku ini tidak boleh dilihat berpencar-pencar dan terus terpisah tetapi pendidikan adalah suatu perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Sebab itu, hari ini satu berita menarik, pendidikan TVET kita pihak industri turut bersama memeliharanya.

Kita ambil Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai menerajui Jawatankuasa Teknikal TVET kita. Pertama kali dalam sejarah Malaysia industri menerajui pendidikan negara. Beliau juga menjadi ahli dalam Jawatankuasa Kabinet berkaitan TVET. Bagi industri hari ini saya berasa gembira kerana sasaran kita untuk menjadikan pendidikan TVET kita setaraf dengan Jerman dan negara Jerman juga telah menyuarakan kesediaan mereka untuk membantu kita.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sudah mencecah separuh jalan pelaksanaannya, sudah adakah kajian mengenai prestasinya?

Kita ada kajian separuh penggal dan kajian tahunan berkaitan dasar-dasar yang kita ada. Kita menyedari PPPM ini adalah satu dokumen yang baik tetapi perubahan semasa negara dan perubahan semasa global memaksa kita untuk melakukan beberapa penambahbaikan dan juga kita nampak berlaku perubahan terhadap beberapa perkara di dalam PPPM. Satunya bahawa walaupun sebaik mana perancangan itu di masa lalu, dalam perkembangan semasa terdapat beberapa disruptif atau gangguan dalam perkembangan global. Maka ini tidak boleh dipandang enteng. Kadang-kadang gangguan ini mungkin tidak disedari ketika waktunya disediakan atau tidak dijangkakan. Maka ini perlu kita perbaiki. Kita tidak nafikan juga pengalaman beberapa negara maju yang mungkin hasilnya dikemukakan waktu ini. Ia belum dibentangkan. Jadi segala input ini kita perlu ambil.

Ada apa-apa cadangan untuk membuat rombakan? Adakah kita sudah sedia untuk masuk ke gelombang ketiga PPPM?

Melalui jawatankuasa kajian dasar yang telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, sekarang ini di peringkat makmal yang sedang diperhalusi. Adakah harus disejajarkan ataupun perbaiki apa yang kurang dalam PPPM ataupun untuk menggantikan beberapa pendekatan yang mungkin pada waktu itu sudah terkehadapan pada waktu itu, tetapi waktu kini ia sudah menjadi ketinggalan zaman untuk digantikan baharu. Jadi hasil kajian asal itu akan dibentangkan pada Oktober ini.

Di mana kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bersatu mahu bawa Melayu ke mana?

Yang pertama, bagi parti Bersatu kita punya tonggak adalah Perlembagaan Persekutuan, kita akan mempertahankannya. Kita akan mempertahankan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan juga kedudukan orang Melayu seperti yang dipertahankan oleh Perlembagaan. Jadi tonggak Bersatu adalah Perlembagaan Persekutuan. Kita pertahankan sebagai kita punya matlamat politik. Sebab kewujudan kita untuk mempertahankan Perlembagaan untuk memastikan agama Islam, bahasa dan juga orang Melayu seperti mana dalam Perlembagaan, berada pada tempat yang sepatutnya. Kedua, bagi perjuangan Bersatu seperti mana yang selalu disebutkan oleh Tun bahawa untuk memastikan orang Melayu sentiasa tidak ketinggalan dalam kepesatan arus pembangunan, ekonomi, teknologi dan juga pendidikan.

Kita kena pastikan bahawa orang Melayu tidak sekadar menjadi pengguna, menjadi kuli ataupun menjadi orang suruhan. Kita kena pastikan orang Melayu terlibat dalam industri pembuatan, dalam pemilikan kekayaan, dalam teknologi. Kita tidak mahu menjadi pengguna semata-mata tetapi kita kena jadi pencipta, pemilik kepada teknologi. Dan begitu juga dalam bidang pendidikan. Kita tidak mahu orang Melayu sekadar menjadi yang dididik semata-mata tetapi mereka yang dididik dan yang mencorakkan pendidikan ini.

Jadi Bersatu komited dalam perjuangan ini. Dan saya tidak kira perjuangan seumpama ini dianggap sebagai perkauman. Perjuangan ini kita tidak menafikan bangsa-bangsa lain. Dan kita pastikan bahawa setiap rakyat Malaysia boleh menikmati hak mereka dan juga boleh menikmati kekayaan negara yang dimiliki bersama. Sebab itu, sasaran kita Kemakmuran Bersama pada tahun 2030 tetapi Kemakmuran Bersama seperti yang disebut oleh Tun tidak boleh kongsi, seperti awak dapat 10 kita dapat 90. Itu sudah jadi seperti Nasib dan Badan (watak dalam filem Nujum Pak Belalang). Dia tidak boleh seperti itu. Dia mestilah kita kongsi betul-betul kemakmuran negara.

Adakah falsafah Bersatu ini tidak didengari kerana asakan daripada beberapa pihak semakin kuat dan mereka kelihatan seperti tidak memahami Perlembagaan Persekutuan?

Isu yang timbul sebenarnya bukan daripada parti komponen kerana mereka di peringkat pimpinan pun mereka tahu. Yang timbul isunya adalah pada pihak luar atau pun pihak ketiga. Kita perhati mereka sama ada di pihak pembangkang atau mereka yang tidak di pihak pembangkang dan tidak di pihak kerajaan, tetapi mereka menggunakan saluran-saluran yang ada ini untuk membawa agenda mereka. Mereka inilah yang menimbulkan perang saraf dan kebencian.

Contoh, saya sendiri menjadi sasaran dikatakan saya ini Melayu ultrarasis. Akhbar-akhbar berbangsa bukan Melayu memang terus terang kata saya ini mentaliti UMNO, Melayu ultrarasis kerana saya ini nak memperjuangkan pendidikan Melayu. Dan ada yang kata saya ini latar belakang pendidikan agama jadi dikatakan saya ini Melayu ultrarasis.

Dan Tun sendiri kata, kalau bangsa lain, menteri mereka boleh bercakap untuk masyarakatnya, kenapa Maszlee tidak boleh bercakap untuk masyarakatnya? Bukanlah kita hendak menafikan, kita nak bangunkan semua rakyat tetapi kita tidak mahu orang Melayu ketinggalan. Pada saya itulah cabarannya kadang-kadang kita tidak boleh hendak puaskan hati semua orang.

Bagi pihak liberal mengatakan saya Melayu ultrarasis. Bagi pihak pembangkang yang kononnya memperjuangkan bangsa dan agama, disebabkan saya daripada kerajaan dikatakan saya ini pengkhianat bangsa dan tidak cukup Melayu. Inilah cabaran, inilah politik. Yang penting bagi saya kita jelas dengan apa yang kita bawa. Kita komited dengan apa yang kita bawa dan juga kita tahu perjuangan kita. Pengorbanan kita adalah untuk matlamat yang suci.

Seperti yang saya sebut sebelum ini, apa pun tohmahan, persepsi semua saya terpaksa harungi sebab saya seorang ahli politik. Diterima ataupun tidak diterima saya kena akui bahawa inilah cabaran menjadi ahli politik. Yang penting, kita ada matlamat jelas dan komited. Kalau kita lihat orang yang hendak buat besi, kalau mahu hasilkan pedang berkualiti, kena lagi kuat apinya, kena lagi kuat ketuknya.

Jadi untuk memberikan yang terbaik, tekanan yang kuat itu kita kena ambil positiflah untuk belajar kenali diri kita, kenali orang lain dan mengetahui apakah cara yang silap untuk kita perbaiki. Dan akhirnya kita akan tahu apa cara yang terbaik. Saya sebenarnya mengucapkan terima kasih kerana lagi ramai bising tentang pendidikan ini menunjukkan yang mereka peka. Sebelum ini ramai yang kecewa, bila kecewa mereka tidak mahu bercakap apa-apa. Hari ini kita dapati apabila mereka sebut tentang hal ini maksudnya mereka peka atau ambil tahu kiranya dah berjayalah. Berjaya menimbulkan keghairahan dalam kalangan rakyat untuk berbicara. Cuma kita terpaksa berkorbanlah walaupun kita menjadi sasaran, sekurang-kurangnya ia membuka ruang untuk rakyat.