“Bro, Hari Wanita Jumaat ini (hari ini), bro nak bagi apa pada wife bro,” tanya rakan yang 10 tahun dah abang hensem kongsi masalah dengannya.

Balas abang hensem: “La, Jumaat ini ka? Memang lupa bro.”

Seingat abang hensem tak pernah sambut pun apa yang dikatakan ‘Hari Wanita’. Maaf ya. Bukannya abang hensem tak peduli orang rumah, tapi setiap hari sayang dia bro (opps! buka rahsia dah).

 

Tapi itulah realitinya. Abang hensem tak pernah hadkan hari tertentu menyayangi insan kesayangan abang hensem.

Dan sejujurnya abang hensem ini pencinta wanita. Ya, macam lagu si Irwansyah tu, yang sempat abang hensem ingat sedutan liriknya:

Aku memang pencinta wanita

Namun ku bukan buaya

Yang setia pada seribu gadis

Ku hanya mencintai dia...

La, melalut pulak abang hensem ni ya. Okeylah untuk Sambutan Hari Wanita yang jatuh hari ini, abang hensem bangga sangat kerana wanita di Malaysia sudah pergi ‘semakin jauh’.

Suatu ketika golongan cendekiawan dan ahli falsafah Barat anggap wanita insan lemah, kurang dan hina. Mereka berpendapat wanita dijadikan hanya untuk berkhidmat kepada kaum lelaki.

Pemikir Barat, Rosseau umpamanya mengatakan “wanita itu tidaklah dijadikan untuk ilmu pengetahuan, untuk hikmat, untuk berfikir, untuk mempunyai keahlian, untuk menjadi sarjana dan tidak pula untuk berpolitik atau untuk tugas negara, tetapi ia dijadikan hanya untuk menyusukan anak-anaknya dengan air susunya dan...”

Hanya menjelang abad ke-20, ahli pemikir Barat ubah cara pemikiran dan mula memberi kebebasan kepada wanita seperti dinikmati kaum lelaki.

Abang hensem doakan kaum wanita sukses dalam kehidupan mereka di Malaysia.

Cuma, suatu ketika sekitar awal 90-an abang hensem sering mengomel dengan adik perempuan “kenapa selalu korang ni suka jadi objek untuk ‘tatapan’ lelaki.

“Yalah iklan kereta gunakan model wanita. Perlu ke wanita jadi model kereta? Adakah sekadar nak dijadikan alat menarik minat lelaki beli kereta?”.

Tapi adik abang hensem buat dek (selamba) saja.

Cuma itu dulu bro. Zaman berubah. Sekarang iklan kereta tak lagi begitu. Hanya kereta jadi bahan promosi. Baguslah dah sedar.

Eh! Selamat Hari Wanita semua...