Perkhidmatan aplikasi seperti ini bukanlah satu benda baharu memandangkan konsep "sharing economy" di dalam bidang pengangkutan dan perkhidmatan telah cukup subur di Malaysia. Kita sudah ada Grab, My Car, Food Panda dan banyak lagi yang banyak bertumpu di Kuala Lumpur.

Saya menyokong penuh cadangan teksi-motosikal sekiranya cadangan ini diangkat ke peringkat kabinet tetapi beliau perlulah mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan dan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kerana ini merupakan bidang kuasa mereka.

Ini kerana, perkhidmatan teksi-motosikal pernah diperkenalkan oleh Dego Ride sekitar tahun 2016-2017 yang mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai terutamanya di dalam memberi perkhidmatan “first mile dan last mile connectivity”.

Namun yang demikian, Dego Ride, sebuah syarikat tempatan yang telah memulakan perkhidmatan ini secara "disruptive" telah diharamkan oleh kerajaan lalu atas rasional keselamatan. Alasan paling utama adalah berdasarkan statistik kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang membimbangkan kerajaan ketika itu.

Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan juga seharusnya mengambil kira implikasi pengenalan perkhidmatan ini ke atas perkhidmatan teksi sedia ada yang kini juga sukar untuk mencari pendapatan. Akan pasti ada kesan secara lansung kepada pendapatan pemandu teksi.

Pemandu teksi kita menghadapi pelbagai cabaran sejak wujudnya pemain “disruptive technology” bermula dengan kemunculan UBER dan setersunya Grab. Kini sudah ramai pemandu teksi menggunakan teknologi yang disediakan oleh syarikat-syarikat e-hailing. Kemunculan perkhidmatan seperti Dego Ride dan Gojek akan pasti menjadi satu lagu cabaran buat mereka

Namun begitu, ia tidak patut menjadi titik noktah kepada perkhidmatan ini dan Yang Berhormat Syed Saddiq boleh memulakan analisis terperinci akan pandangan isu keselamatan dan implikasi ke atas industri teksi dan e-hailing sedia adaselain daripada juga memperkenalkan polisi-polisi yang seimbang.

Contohnya dengan mengehadkan perkhidmatan membawa penumpang pada jarak tertentu (kurang daripada tiga kilometer) atau untuk tujuan tertentu seperti ke stesen-stesen pengangkutan awam sahaja atau ke pusat-pusat komuniti di dalam kawasan kejiranan yang mana penguatkuasaannya boleh dilaksanakan menggunakan teknologi yang sedia ada.

Ini adalah satu perkembangan yang baik tetapi perlulah beliau memberi penekanan dan keutamaan kepada bakat tempatan dan juga memastikan cadangan ini mengambil kira kementerian lain terutamanya Kementerian Pengangkutan. Membawa masuk Gojek itu bagus tetapi kita juga ada syarikat-syarikat tempatan yang mampu menjadi setanding Gojek. Jika Yang Berhormat Menteri minat pada Gojek, pastikan ada rakan kongsi dari syarikat tempatan bagi pemindahan ilmu dan teknologi.

* Penulis merupakan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia