Mereka bukan hanya bekerja di tapak binaan, ladang, kilang malah sampai depan rumah mereka bekerja. Mesin rumput di halaman rumah kita yang sekangkang kera pun kita sudah suruh mereka buat. Kita sudah tidak pandai pegang cangkul dan tajak. Kalau pandai pun, kita sudah tidak mahu buat kerana ada orang lain boleh buat dengan cara upah.

Maka segala peluang diisi oleh warga asing. Kedai makan pun nak cari orang kita yang berniaga memang susah. Di bandar dan pekan, restoran mamak sudah bersepah-sepah dari selatan sampai ke utara tanah air. Restoran makanan segera pula dikuasai warga Thailand sampai ke kampung yang ramai penduduk.

Pekerjanya pula bukan orang kita. Di restoran mamak, pernah disyaratkan mesti ada orang kita seorang dua be­kerja tetapi lama-kelamaan hilang terus tanpa diketahui sebab musababnya. Di restoran makanan segera warga Thailand, memang tidak ada orang kita yang be­kerja.

Bagaimanapun, apabila isu pekerja asing digembar-gemburkan, fokus kita selalunya kepada buruh binaan, perladangan dan perkhidmatan. Hal ini disebabkan warga asing yang kita lihat berlambak di mana-mana jika ada cuti kelepasan am sehingga ada sesetengah bandar dipenuhi oleh mereka sahaja.

Terbaru, Jabatan ­Imigresen membuka laluan kepada pekerja asing menerusi Program Pendatang Asing Pulang ke Negara Asal de­ngan mengenakan kompaun sebanyak RM700 bagi yang me- lakukan kesalahan tinggal melebihi masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Kita tentunya berharap dengan adanya program ini dapat membantu mengurangkan lambakan pekerja asing. Sebelum ini pun, kita sudah membuat pelbagai program untuk ‘membersihkan’ mereka sejak 2005 tetapi tetap menemukan jalan buntu kerana mereka yang disyaki tinggal secara tidak sah tetap ramai.

Apa yang penting ialah pemantauan secara berterusan dengan komitmen pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat akan dapat menangani masalah lambakan pekerja asing. Kita tentunya tidak mahu landskap negara terutama di sesetengah tempat bukan lagi mencerminkan senario masyarakat dan budaya kita tetapi sudah menjadi pekan mini bagi pendatang asing.

Saluran maklumat kepada pihak berkuasa oleh mana-mana pihak mesti diberi perhatian supaya usaha kita menangani lambakan pekerja asing dapat dikurangkan. Malah apa yang sangat penting ialah kebergantungan kita kepada pekerja asing mestilah dikurangkan dengan memberi peluang dan ruang kepada warga sendiri melakukan kerja-kerja yang sekarang dikuasai oleh warga asing.

Jika kita masih leka, bukan hanya rumput di depan rumah yang mereka tebas dan perlu kita bayar, tetapi lama-kelamaan tanah di sekeliling rumah pun mereka akan tanam apa-apa, kemudian kita juga yang membelinya!