Hari ini hutan hujan tropika yang dianggap sebagai `paru-paru dunia’ itu sedang musnah sedikit demi sedikit. Sudahlah kawasan hutan di seluruh dunia semakin mengecil termasuk di Amazon sendiri, ditambah pula dengan fenomena kebakaran hutan, keadaannya bertambah parah, hal itu pasti.

Ramai pemimpin dunia yang tidak mengambil peduli isu tersebut sehinggalah Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengisytiharkan insiden itu sebagai krisis global dan patut dibincangkan di G7 Summit (sebuah pertubuhan yang dianggotai tujuh negara-negara besar dunia).

Macron dalam ciapan twitternya menyeru semua negara tersebut agar segera mengadakan satu persidangan khas bagi membincangkan keadaan hutan Amazon yang kian kritikal. Hampir 72,800 kes kebakaran berlaku akibat fenomena musim panas yang panjang pada tahun ini menjadikannya dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Kebiasaannya, kebakaran hutan di Amazon merupakan fenomena semula jadi, namun kali ini hampir 80 peratus berpunca daripada aktiviti manusia dan merupakan yang terburuk dalam sejarah. Lembah itu sangat penting dalam memerangkap karbon dioksida. Apabila terbakar, ia menyebabkan turunnya fungsi perangkap karbon dioksida dan terlepas secara mendadak.

Dicatatkan karbon dioksida yang ‘terlepas’ adalah sekitar 228 mega tan sekali gus memberi kesan buruk kepada lapisan ozon serta hutan-hutan lain di sekitarnya. Bumi akan menjadi semakin panas kesan gas rumah hijau yang terperangkap meningkat secara mendadak. Isu pemanasan global kian kritikal dan tiada tanda-tanda bahawa suhu akan berkurang.

Dalam pada itu, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berkata, pihaknya tidak dapat bertindak dengan cekap kerana kekangan sumber untuk memadamkan kebakaran. Rakyat Brazil dan masyarakat dunia tidak berpuas hati dengan kenyataannya yang sekadar menyatakan tentang usaha menyiasat punca kebakaran, bukan penyelesaian pantas bagi membendung keadaan tersebut.

Saiz hamparan hutan terbesar dunia itu adalah separuh keluasan Amerika Syarikat (AS), jika tiada tindakan pantas dilakukan pasti akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara-negara berdekatan malah seluruh dunia.

Sejak lebih seminggu yang lalu, pelbagai imej dan video ‘mengerikan’ tersebar di media sosial. Kepulan asap memenuhi ruang langit sementara api terus marak membakar kawasan hutan.

Kajian saintis baru-baru ini mendapati pokok yang ditanam tidak lagi mampu kurangkan pemanasan global kerana tidak dapat bertahan akibat kepekatan karbon yang terlalu tinggi dalam dunia. Bayangkan satu-satunya ‘paru-paru’ yang kita harapkan untuk menyelamatkan keadaan sekarang pun sedang terbakar. Perubahan cuaca kini semakin teruk, takziah penduduk bumi!