Seperti yang disimpulkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn: “Yes, I happen to be prime minister but I am not the best person for the job...” (Ya, saya secara kebetulan menjadi Perdana Menteri (ketiga negara) tetapi saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengisi jawatan itu).

Kemunculan pemimpin bukan sekadar hasil usaha kemanusiaan. Ada unsur yang tak tampak memainkan peranan. Tumpang bersetuju dengan hujahan berulang kali daripada tokoh budayawan yang berpeluang berkhidmat dan bekerja di bawah kesemua enam Perdana Menteri (dua kali dengan Tun Dr. Mahathir), Tan Sri Dr. Rais Yatim, 77.

Rais yang kini Pengerusi Parti Bersatu Negeri Sembilan berpegang teguh kepada falsafah - “jangan dihiraukan sangat bagaimana dan kenapa seseorang itu berjaya dalam sesuatu perjuangannya”.

Ada yang berjaya, ada yang gagal. Pokoknya jangan berdendam dalam perjuangan, lantaran lumrah alam bahawa tiada yang kekal dalam politik: kawan boleh jadi musuh dan musuh boleh jadi kawan. Yang kekal ialah perjuangan, yakni perjuangan positif menolong rakyat dan berkhidmat untuk rakyat”.

Bertemu sekali lagi Rais Jumaat lepas di pejabat guamannya di Wisma Packer 195, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Tumpang mengajukan topik hangat mengenai isu peralihan kuasa yang diperkatakan hari ini antara Dr. Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti hujahan Rais yang Tumpang buka dua halaman untuk masyarakat khususnya orang Melayu renung-renungkan:

BEZA PERALIHAN TERDAHULU

Zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, kita tak boleh samakan dengan era Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peralihan kuasa zaman Tunku berasas kepada senario penjajahan British. Sifat British tebal dan untuk mencari identiti Malaya, Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia berbeza dengan apa yang ada sekarang.

Senario Tun Razak ialah penerusan kepada nilai kemerdekaan dan sifat-sifat keutuhan pentadbiran yang berasas kepada kemerdekaan. Jadi, kesinambungan itu berbeza juga. Tun Husein pula ambil alih dari Tun Razak dengan cita-cita membangunkan negara.

Apabila Dr. Mahathir muncul, beliau membawa politik berasaskan kepada objektiviti. Jadi, bila beliau menangkis Tunku dengan suratnya pada 1971 itu maka bermula suatu aura di mana “jangan segan menentang pucuk pimpinan”.

Dalam keadaan sedemikian apabila beliau menjadi Perdana Menteri pada 1981, gerak kerja dengan timbalannya, Tun Musa Hitam mencetuskan aura berpolitik kritis terhadap pentadbiran dengan nilai baharu. Hal itu tidak boleh kita samakan apabila dua fasa pentadbiran Dr. Mahathir berlaku.

ANTARA FASA PM-4 dan PM-7

Fasa pentadbiran pertama Dr. Mahathir (1981-2003) tidak dapat dilihat lagi hari ini. Sekarang beliau membancuh atau memasukkan komponen multiracialism lebih kepada komponen atau nilai-nilai kemelayuan. Malah, saya (Rais) hairan sekarang bagaimana Parti Bersatu ini untuk terus boleh kental dan kekal apabila nilai-nilai Melayu sudah tidak diperjuangkan?

Saya sudah setahun lebih dalam parti ini, saya belum lihat apa-apa lagi perjuangan terhadap warisan budaya atau seni bangsa. Jadi, mungkin boleh dikatakan baharu.

Selama 22 tahun beliau menjadi PM tempoh hari, beliau adunkan pelbagai nilai kemodenan dengan beberapa nilai pembangunan. Beliau tampak tidak senang dengan nilai-nilai asas sebab itu beliau mencari nilai-nilai Pandang ke Timur dan lain-lain.

Sekarang apabila beliau sendiri dipilih oleh gagasan Pakatan Harapan (PH), beliau tak lagi bawa banyak nilai itu kecuali menyambung semula beberapa keinginan lama - kereta nasional ketiga dan beliau belum nampak lagi usaha mewujudkan nilai yang akan menjadikan teras kepada Melayu sebagai teras politik Malaysia. Itu belum nampak.

Jadi kita tak boleh kata beliau belum berjaya. Mungkin perlukan masa sedikit lagi. Namun dengan usia 93 tahun (10 Julai ini 94 tahun), diharap beliau dapat menggagaskan dengan segera nilai dan budaya politik Melayu sebagai asas perjuangan masa depan di tanah air ini sementara berbudi, berbaik sangka dan membina pula peluang-peluang masyarakat lain, Cina, India dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.

SURVIVAL BERSATU?

Realiti sebenar ialah berapa kerusi atau satu-satu parti memilikinya di Parlimen. Dengan 29 kerusi lebih kurang dimiliki sekarang, Bersatu belum dapat menghitamputihkan lagi arena politik tanah air sebab dalam ruang PH tadi yang paling ramai ialah ahli parlimen diwakili oleh PKR.

Mahu tak mahu sebab begitu banyak bilangan kerusinya yakni 47 pada masa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), lambang PKR digunakan, bukan PH.

Begitupun, mereka dalam PKR jangan begitu mendabik dada begitu banyak kerusi sebabnya pada masa itu ketua kerajaan BN tidak membenarkan Bersatu wujud. Jadi, hanya PKR wujud.

Parti kedua kerusi terbanyak, DAP pula memperoleh 42. Dua parti ini sekarang menjadi baji kepada Dr. Mahathir. Tapi saya dapati beliau dalam kesempitan untuk buat aura baharu sebab kena consult untuk dapatkan pandangan daripada “beliau, beliau, beliau yang kuat-kuat”. Dalam pada itu Parti Warisan di Sabah tidak nampak membantu Dr. Mahathir.

Dengan demikian, Dr. Mahathir kena mengendalikan nilai-nilai sendiri beliau sebagai PM sebab kuasa itu sudah ada di tangan. Walaupun orang di kiri kanan menghimpit sedemikan, kita dapati Dr. Mahathir dalam dilema “penentuan politik berkuat kuasa”.

Dengan latar belakang sebegitu, boleh kita rumuskan Dr. Mahathir kena lihat PH dari dalam semula, dari PKR siapa yang lunak dengan beliau (untuk diangkat sebagai TPM/PM).

MENGAPA AZMIN PILIHAN?

Saya dapati Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lunak dengan beliau dan saya meyakini Dr. Mahathir senang dengan beberapa olahan Azmin. Juga sebagai orang nombor dua (Timbalan Presiden PKR), secara sedemikian boleh kita katakan Anwar gelisah sebab Dr. Mahathir ambil orang nombor duanya dalam Kabinet.

Dalam situasi dihadapi “Azmin hari ini (penyebaran klip video seks) dengan Haziq” menampakkan semacam diwujudkan perancangan lebih halus dan sinis terhadap Azmin, wallahualam.

Kita bukan pakar dalam video mengvideokan ini. Saya lebih humor misalnya menerpa balik ‘sengketa’ Dr. Chua Soi Lek di mana beliau cepat-cepat mengaku (terlibat dalam klip video seks). Namun bukan begitu keadaan sekarang.

Justeru, usaha menumpulkan imej Azmin ini belum putus dan saya kira beliau akan atasi situasi ini apabila siasatan lengkap dikeluarkan. Dari segi logiknya bintang Azmin meningkat. Peningkatan ini dirasa pihak tertentu dalam PKR sebagai menipiskan peluang Anwar.

Jika itu sangkaannya, saya bersetuju. Namun yang penting diterima ialah kuasa PM tadi di bawah Perlembagaan, sedangkan jawatan TPM tidak ada tertulis dalam perlembagaan. Jawatan itu hanya sekadar sebagai batu loncatan.

SUDAH DIJANJIKAN PM?

Janji-janji untuk PM ke-8 itu tertakluk kepada beberapa keadaan sebenar. Dengan hanya mengatakan Dr. Mahathir “sudah janjikan saya akan jadi PM”, ramai orang berkata itu tidak bijak untuk diungkap setiap hari apabila diwawancara (termasuk dalam sidang media). Lebih bijak Anwar nyatakan diserahkan (keputusan) kepada Dr. Mahathir.

Masalahnya jarang di dunia ini sang isteri menjadi Timbalan Perdana Menteri sedangkan diri sendiri menjadi presiden parti. Tidak ada dalam dunia begitu. Buat pertama kali berlaku di Malaysia.

Presiden Isabel Peron di Argentina (1974-1976) dan Presiden Corazon Aquino (Filipina, 1986-1992), mereka perempuan tapi suami masing-masing tidak lagi memainkan peranan. Tidak ada analogi, tidak ada persamaan.

KUASA TURUNKAN PM

Namun di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, tiada sesiapa yang boleh turunkan seseorang PM kecuali dengan undi tidak percaya di Parlimen. Dengan cara itu, waima dipetisyenkan kepada Tuanku Agong, itu tidak boleh berlaku sebab proses Perkara 43 tadi harus dilalui dengan kadar begitu.

TUN PM HINGGA SEPENGGAL?

Dalam hal sebegitu, bukan semudah mana nak jadi PM sekali gus, disepak dari sudut terus masuk gol. Sukar. Ia mesti dengan keampuhan goalie (penjaga gol) yang ada dan goalienya adalah Dr. Mahathir.

Sedangkan goalie ini cukup cekap kendalikan gol dan kita maklum dalam perjuangan politik tanah air, saya belum jumpa mana-mana pemimpin yang cekap daripada beliau dan tak begitu banyak sifat itu luntur, waima beliau memasuki 94 tahun.

Jadi, dengan pandangan sebegitu saya tidak ketepikan kemungkinan Dr. Mahathir terus jadi PM satu penggal.

BERULANGKAH REFORMASI 1999?

Dengan adanya Azmin dan pihak-pihak menyokong Anwar yang merasakan dengan skandal atau pro skandal seperti hari ini boleh menenggelamkan Azmin maka beliau (Anwar) boleh naik, saya kira pemikiran itu ada (bantahan reformasi 1999 berulang). Jadi soalnya, Dr. Wan Azizah belum buat apa-apa kenyataan.

Beliau TPM, maka beliau harus pada satu saat penting mengeluarkan pandangannya bagaimana harus beliau turun atau cadangkan Anwar menjadi TPM. Cadangan boleh dibuat, namun PM boleh tolak cadangan tersebut. Atau beliau selepas ini letak Azmin sebagai TPM.

Jika itu berlaku, akan ada pergolakan. Saya menduga PKR akan menentang tapi PKR waktu itu sudah berpecah. Faction Azmin tentu tak duduk diam. Jadi, kalau faction Anwar sahaja, tentu tak begitu kuat untuk menaikkannya. DAP pula walaupun ada 42 kerusi, takkan kesemua 42 itu memihak kepada Anwar.

Bantahan atau tindak-tanduk misalnya mungkin berlaku. Tapi nak uruskan reformasi sebesar itu dengan cara seperti yang berlaku pada 1999, kita tak fikir akan berlaku lagi.

Tapi kalau diambil logiknya, boleh berlaku sebab pada masa ini mekanisme penghalang atau pengawasan kurang. Kuasa polis di bawah Seksyen 14 sudah tak ada.

Mungkin itu disebabkan orang berkata boleh berulang reformasi 1999. Tetapi saya juga pada masa sama melihat keseriusannya pada paras yang lama itu tidak akan berlaku.

‘TIGA PEREMPAT TUN SIMPAN’

Dalam banyak hal, Dr. Mahathir ‘tak beritahu dunia’. Malah Dr. Mahathir mengeluarkan pandangan satu perempat sahaja. Yang tiga perempat lagi beliau simpan ‘untuk masa hujan, tengkujuh, masa panas’.

Dalam situasi sekarang, orang-orang yang berlumba nak jadi PM atau merebut jawatan harus tahu ada masa mereka akan disekat situasi atau hal tidak disangka.

Yang kedua, ialah orang yang jadi TPM, tak semestinya jadi PM. Sudah banyak kisah kita lihat Tun Musa, Ghafar Baba dan juga Anwar sendiri.

Yang paling penting buat kerja ikhlas, kemudian biar proses itu menterjemahkan. Tak bijak misalnya mengatakan “Oh! sudah dijanjikan pada saya. Itu janji politik, ini bukan janji Pesuruhjaya Sumpah.

Jadi, upaya upaya mengatakan “Oh! saya akan ke situ (PM), halnya sudah ditetapkan. Saya tak fikir ia semudah itu memandangkan “satu perempat Tun beritahu dunia, tiga perempat dia simpan dulu’.

Jadi, simpanan (tiga perempat) itu beliau tidak menyebelahi orang-orang yang begitu ghairah pada ketikanya.

Pengamatan saya begini: Asalkan Dr . Mahathir tidak lupa pelaksanaan manifesto (PRU-14), asalkan ada azam untuk terus membina warisan Melayu dan masyarakat majmuk Malaysia, beliau harus selesaikan satu penggal jawatan Perdana Menteri.

Soal siapa nak jadi PM, itu diserahkan kepada Dr. Mahathir. Jangan nampak kusut pada benang atas kita nak menenun kain.