Kenapa pula ya macam tu? Ya lah sejak bermula kempen pilihan raya umum selama 11 hari hingga masuk hari mengundi 9 Mei lalu, ditambah seminggu lagi kemudian untuk ‘waktu meraikan’, tak habis-habislah laman Facebook abang hensem ‘dikawal’ dengan komen yang bukan-bukan.

Ada ulasan berunsur takbur, angkuh. Tidak kurang juga berbaur sinikal bersekali dendam. Memaki apatah lagi. Tidak perlu abang hensem huraikan, faham-faham sendirilah.

Nak marah pun tak guna. Sebab mereka ini rata-rata rakan taulan, saudara-mara, ipar-duai, adik beradik dan semua yang dekat-dekat dengan abang hensemlah (ya tak ya juga mestilah friend abang hensemkan?)

Bukan boleh tunjal kepalanya. Sekadar taip beberapa perkataan untuk hentikan ‘kerja gila’ mereka pun tak guna. Lagi ‘berlahar’ adalah.

Abang hensem faham. Bak kata Confucius, tidak boleh ada dua ekor harimau atas sebuah bukit. Begitu gelora politik tanah air melanda, demikian juga badainya dalam Facebook dan group WhatsApp abang hen­sem. Masing-masing nak menang.

Tapi ada suatu ben­da ni yang abang hensem respect habis. Iaitu bila masuk sahaja gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam laman FB abang hensem, terus si pemaki hamun tadi diam. Boleh pula ‘tangkap’ hormat dengan siaran komen-komen tertib.

Dan mana-mana yang dulunya ‘pangkah 360 darjah’ pun kini nampak baik semacam. Sampai sangguplah korek semula, keluarkan balik gambar-gambar nostalgia bersama Tun. Baguslah begitu.

Bagi abang hensem kalau nak handle si pemaki hamun atau yang gemar ‘angkat diri’ dengan ungkapan-ungkapan sinis ini mudah sahaja. Walaupun kata-kata kesat yang dihamburkan amat menyakitkan telinga dan hati, tidak semestinya kita melawan.

Adakalanya tindakan berdiam diri atau melangkah pergi mampu menjadi jawapan kepada orang yang berkata-kata kesat dan sinis tadi. Bak kata pepatah Arab: Meninggalkan (tidak memberi jawapan) jawapan kepada orang-orang sebegini, itu adalah jawapan.

Begitu pun abang hensem percaya ada unsur tersirat dalam perlakuan maki hamun ini, apatah lagi dalam WhatsApp group dan Facebook. Ini berikutan trend maki hamun berbaur sinikal pun ada dipergunakan untuk tularkan perniagaan di Facebook.

Konon macam marah sangat tapi sebenarnya nak kiaskan benda tu sesuatu yang sangat mengagumkan. Hai maklumlah zaman media sosial sekarang, kalau guna ayat-ayat skema orang dah tak pandang katanya.

Kita yang baca mula-mula terfikir, apalah yang orang tu buat sampai kena hamun macam tu sekali. Alih-alih ending ni sebenarnya nak tularkan barang jualan atau perniagaan seseorang. Punyalah gigih dia buat ayat macam marah sangat.

Abang hensem sekali dua terkena la juga. Tapi bila dah makin ramai buat style macam tu dah boleh agak lah. Ya lah bila sorang buat dapat feedback yang baik, maka ramai lagi lah akan ikut. Bila dah ramai gimik macam tu, lama-lama jadi basi dan orang dah tak terpedaya lagi.

Demikianlah juga dengan fiil mempersendakan seseorang dalam Facebook. Apa lagi jika pihak yang kena bedal tu berada di pihak yang kalah.

Nasihat abang hensem, cukup-cukuplah. Hidup ini ibarat roda. Ada masa kita di atas, ada waktunya nanti kita di bawah.

Kalau cerita bab politik, abang hensem harap dan sentiasa doakan tiada unsur dendam kesumat bermaharajalela di hati. Kalau benar berlaku kesalahan di sisi undang-undang, bicarakanlah di mahkamah dunia. Tak perlu ‘ribut-ribut’ dalam laman sosial.

Seperti yang dinukilkan abang hensem di perenggan pertama awal tadi, memang abang hensem menghela nafas panjang kerana pilihan raya sudah selesai.

Kerana sudah tiba masanya kita semua dalam politik mulakan kerja berkhidmat untuk rakyat.