Di negara-negara maju terutamanya di Eropah, pengunaan PLB ini sudah menjadi kebiasaan buat pengemar aktiviti lasak di hutan ataupun di laut. Ini kerana mereka didedahkan mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri adalah yang paling utama. Berbeza dengan kita yang kurang menitik beratkan soal keselamatan diri. Kebanyakannya daripada kita, lebih memilih sudah terhantuk baru terngadah.

Alat PLB ini menggunakan sistem teknologi satelit terkini iaitu Cospas-Sarsat, sebuah sistem Search and Rescue (SAR) berasaskan satelit yang mengesan “distress alert” berfrekuensi 406 MHz daripada beacon yang teraktif dan sistem penyebaran maklumat lokasi kecemasan yang tepat kepada pihak berkuasa.

PLB atau Alat Pengesan Lokasi Individu adalah peranti kecemasan yang mudah di bawa bersama dan mudah untuk di kendalikan oleh penggunanya. Dalam situasi kecemasan, pemilik PLB hanya perlu menekan ‘button’ yang berada di sisi kiri dan isyarat kecemasan akan dipancarkan. Isyarat kecemasan tersebut akan dikesan oleh satelit dan seterusnya menghantar isyarat kecemasan tersebut kepada Mission Control Centre (MCC) yang berdekatan.

Ini sudah semestinya memudahkan dan mempercepatkan bantuan menyelamat mengesan lokasi mangsa. Jika dalam keadaan bahaya PLB tersebut boleh diaktifkan dengan itu, pemilik PLB akan dapat di kesan dengan cepat oleh Malaysia Mission Control Centre (MyMCC) dan maklumat kecemasan tersebut akan dihantar kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Walaubagaimanapun alat ini hendaklah didaftarkan di laman sesawang bim.mmea.gov.my secara percuma bagi memudahkan pihak MyMCC membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil.

Alat ini boleh digunakan dimana sahaja sama ada di darat mahupun dilaut samada di dalam atau luar negara. Ia amat sesuai digunakan untuk mereka yang gemar aktiviti eksplorasi atau yang gemar melakukan aktiviti di laut.

Buat mereka yang ingin mendapatkan alat PLB ini pihak Maritim Malaysia menekankan agar membeli alat PLB yang menggunakan kod Malaysia iaitu kod 533 supaya ia lebih mudah dikesan oleh pasukan penyelamat.

PLB ini mungkin agak mahal untuk dimiliki namun nyawa anda tidak ternilai berbanding mengeluarkan sedikit wang sebagai satu inisiatif untuk memastikan anda mudah ditemui pasukan penyelamat sekiranya anda sesat, berada dalam kecemasan atau hilang di sesuatu kawasan. Penggunaan PLB ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Ingat keselamatan adalah keutamaan yang paling utama.