Fitrah yang kedua adalah kita telah dilantik sebagai wakil Allah mentadbir alam ini. Allah mengkehendaki agar alam ini ditadbir oleh orang-orang yang berjaya memaksa dirinya kekal dalam fitrah kehambaan dengan kekal beriman dan beramal soleh.

Firman Allah, Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; (surah al Nur ayat 55).

Namun kedua-dua fitrah ini tidak kebal daripada dirosakkan dan kewajipan kita semua untuk menjaganya. Hari ini kita sedang terkepung dengan unsur-unsur yang cuba merosakkan kedua-dua fitrah ini; rasa kehambaan dan rasa berkewajipan menjadi khalifah.

Musuh sentiasa mencari peluang merosakkan rasa kehambaan kita kepada Allah, tidak jemu menggoda kita untuk menukarkan rasa kehambaan kita beralih menjadi hamba kepada nafsu, hamba kepada pangkat, hamba kepada kemasyhuran, hamba kepada kedudukan – ini semua bukan fitrah - sehingga tidak lagi rasa manis menghambakan diri kepada Allah.

Maka apabila yang dikejar kepuasan sementara yang sifatnya sangat peribadi maka rasa fitrah kedua iaitu sepatutnya kita menjadi khalifah, menjadi umat teladan, bukan lagi sesuatu yang dirasakan wajib. Umat Islam diperintah dengan sistem bikinan manusia, makan minum disuap oleh orang lain, hatta agenda umat pun dirangka oleh orang lain – ini pun bukan juga fitrah.

Kedua-dua fitrah ini wajib dipelihara dan dijaga. Fitrah rasa kehambaan kepada Allah kita pelihara dengan paling kurang berkatalah dengan diri kita sendiri “Ya Allah aku hanya hambaMu. Suruhlah apa sahaja aku akan taati. Siapa aku untuk aku katakan nanti dulu, suruhanmu itu tidak sesuai, nantilah aku fikir dulu atau nantilah aku bincangkan dulu.

Fitrah juga perlu dipelihara dengan kekuasaan dan undang-undang. Benarlah ungkapan Saidina Uthman dan Saidina Umar r.a "Sesungguhnya Allah memberikan kuasa kepada sultan untuk menghalang sesuatu yang gagal dihalang dengan al-Quran. Ini peranan hukuman dan undang-undang. Ini kewajipan semua umat Islam terutama penggubal dasar.

Perbuatan zina, berkesedudukan tanpa nikah, khalwat, perkahwinan sejantina, LGBT, kempen membenarkan makan di khalayak ramai oleh wanita yang uzur di dalam bulan Ramadan adalah perkara-perkara di luar fitrah. Tetapi isu inilah dijulang setiap hari menggunakan kren-kren hak asasi manusia, digerakkan secara terancang.

Di samping penerangan dan dakwah berterusan, undang-undang dan hukuman juga perlu untuk mengekalkan umat sentiasa berada pada dalam keadaan fitrah. Aspek hukuman tetap menjadi keutamaan dalam Islam sesuai dengan Islam adalah cara hidup yang lengkap.

Allah SWT di dalam al-Quran mewajibkan kita sebagai umat Islam berhukum dengan hukum-hukum al-Quran sebagai manifestasi fitrah kita sebagai hamba Allah dan fitrah kekhalifahan menunaikan amanah Allah menjalankan hukum Allah di atas muka bumi ini. Kita dihukum dengan hukuman Allah, itu fitrah kehambaan. Kita menghukum dengan hukum Allah, itulah fitrah kekhalifahan.

Idealnya, kita juga sebagai umat Islam di Malaysia wajib berhukum dengan hukuman-hukuman ini, namun kita terpaksa menerima realiti setakat ini, kesalahan-kesalahan sivil diadili oleh mahkamah sivil dengan pakej hukumannya. Orang Islam pun terikat dengan undang-undang ini. Umat Islam hanya mempunyai hal-hal yang sangat terhad untuk berhukum dengan peraturan yang benar-benar dikanunkan oleh Allah.

Kalau pun disebut sebagai kesalahan jenayah syariah, ia hanya terhad kepada beberapa kesalahan sahaja seperti khalwat, zina, berkesedudukan dan lain-lain yang lebih berkaitan dengan kekeluargaan, akidah dan sedikit berkaitan isu-isu syariah. Adapun kebanyakan kesalahan lain, umat Islam akan diadili oleh mahkamah sivil.

Amat pelik kepada sebuah negara yang termaktub di dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah sebagai agama Persekutuan, Ketua negaranya bersumpah untuk menjaga Islam pada setiap masa dan majoriti rakyatnya adalah Muslim, mempunyai mahkamah syariah yang hanya mampu menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah maksimum denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali sebatan rotan. Sebagai perbandingan seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi kesalahan memburu dan sebagainya, hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas pun dikenakan denda-denda tidak melebihi RM100,000.

Buat akhirnya, siapapun kita, kita memerlukan peringatan dan teguran agar kita tetap berada pada atas landasan fitrah kehambaan dan fitrah sebagai khalifah Allah.

Awas jika kita hanya suka dipuji takut-takut kita dikelilingi oleh pembantu yang kaki ampu. Jangan terkeliru antara ampu dengan setia. Kaki ampu menipu, sedangkan orang setia berpegang kepada prinsip yang benar. Setia pada kebenaran itulah setia yang sebenar. Manakala kaki ampu hanya dahagakan pangkat dan kedudukan.

Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka kita akan kehilangan orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dalam kalangan para rasul dan Khulafa’ al-Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran.

Apabila orang yang jujur mula meninggalkan kita maka yang tinggal hanyalah pengampu yang bukan membantu tetapi ‘membuntu’. Nasihat dan pandangan bukan berdasarkan realiti sebenar tetapi lebih didorong untuk menjaga kepentingan peribadi. Akibatnya, berlakulah seperti yang dikatakan pepatah ‘harap sokong, sokong yang membawa rebah’ atau ‘harapkan pegar, pegar makan padi'.

Mereka yang tidak bergantung hidup kepada manusia sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa takut dan segan silu. Menegur bukan kerana benci, tetapi kerana sayang.

Ustaz Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Utusan Online.