Sehari sebelum itu, turut disiarkan dalam ruangan sama, kolum Khabar Dari Barzakh yang ditulis oleh Pembantu Penyelidik di Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Syarief Fadhli.

Tulisan Ahmad Syarief membincangkan Kitab as-Sahih wal-Ma’tsur fi ‘Alam al-Barzakh wal-Qubur karangan Syaikh Ahmad Mahmud Syawabkah yang menjadi antara rujukan kontemporari berkaitan hal kematian.

Menarik untuk direnung adalah perbezaan cara kedua-dua artikel berkenaan diolah. Zulkifli telah

KERATAN Utusan Malaysia pada 7 dan 8 Februari 2019.
KERATAN Utusan Malaysia pada 7 dan 8 Februari 2019. 

memberikan hujah cukup meyakinkan kerana selain ayat al-Quran, hadis dan pandangan ulama silam; beliau turut menyertakan kajian ahli-ahli sains termasuk pakar dalam bidang ilmu serangga, Prof. J. Leidy mengenai bahaya kuman dibawa lalat.

Tulisan Ahmad Syarief yang menyentuh perkara sam’iyat pula tidak disertakan pandangan ahli-ahli sains. Sam’iyat adalah perkara-perkara berkaitan alam ghaib yang tidak boleh ditangkap oleh pancaindera manusia biasa, tidak dapat dilihat dan disentuh sebaliknya hanya dibaca daripada al-Quran serta hadis.

Sebenarnya, terdapat dua pandangan ilmuwan Islam. Pertama, sarjana yang melarang membin­cang perkara sam’­iyat termasuk me­nge­nai barzakh ke­rana al-Quran menyebut soal itu adalah dalam ruang lingkup penge­tahuan Allah SWT yang tidak perlu dipersoalkan.

Kedua, ada juga ilmuwan Islam yang cenderung kepada pendapat membenarkan perbincangan berkaitan barzakh.

Adakah pandangan kedua harus diguna pakai ketika Islam kini diserang golongan liberal yang sering meremehkan hujah daripada al-Quran, hadis dan kitab-kitab klasik agama dengan alasan sudah ketinggalan zaman?

Saya sendiri beberapa tahun lalu cukup terkejut apabila membaca pengakuan seorang wanita Melayu liberal bahawa dia tidak lagi percaya kepada ajaran Islam setelah terpengaruh dengan tulisan medium, Sylvia Browne yang mendakwa boleh berkomunikasi dengan penghuni alam barzakh.

Dakwaan boleh bercakap dengan penghuni alam barzakh yang dikategorikan sebagai channelling, telah lama dibuat iaitu sejak diperkenalkan papan permainan, Ouija pada 1891. Bagaimanapun, 99.9 peratus dakwaan itu kemudiannya di­sahkan hanyalah satu penipuan.

Hujah untuk melawan golongan liberal ini adalah melalui kajian ahli-ahli sains. Apakah kaedah paling sesuai untuk mengkaji alam bukan fizikal? Sudah tentu caranya berlainan daripada kebiasaan tetapi syaratnya mesti dibuat dengan sistematik dan teliti. Hasil kajian diperoleh perlu didedahkan kepada umum bagi membolehkannya disemak dan diulang oleh penyelidik lain.

Untuk mematah hujah golongan liberal, para ulama tiada pilihan kecuali menggunakan hasil kajian penyelidik yang mempercayai kewujudan Tuhan seperti Robert A. Monroe dan Dr. Michael Newton (sekadar menyebut beberapa nama).

Walaupun kedua-duanya telah meninggal dunia, hasil kajian mereka perlu diteliti dan disahkan kesahihannya.