“Semakin banyak sekarang ini tulisan Jawi. Jom perkasakan tulisan Jawi. Ini salah satu contoh di bandar Kuantan.’

Demikian catatannya menerusi akaun Facebooknya dengan turut memuat naik gambar papan iklan luar sebuah syarikat stesen minyak yang menggunakan tulisan Jawi di ibu negeri Pahang itu.

Catatan tersebut sebenarnya menggambarkan perubahan yang dapat dilihat di Kuantan yang mana pihak berkuasa tempatannya giat mengambil pelbagai langkah bagi memartabatkan penggunaan tulisan Jawi.


DENDA RM250

Bermula 1 Ogos lalu, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) melaksanakan penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan di semua premis perniagaan di seluruh daerah yang sedang menuju status bandar raya itu.

Berkuatkuasa dari tarikh tersebut, premis-premis perniagaan yang belum melaksanakannya diberikan teguran sebagai pematuhan kepada syarat pelaksanaan berkenaan.

Jika pada 1 Januari tahun depan pemilik-pemilik premis perniagaan didapati masih gagal mematuhi garis panduan pelaksanaan penggunaan tulisan Jawi itu, mereka berdepan tindakan oleh MPK.

Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 107(2) iaitu gagal mematuhi syarat-syarat lesen Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dengan dikenakan kadar kompaun maksimum RM250.

Sehingga kini, MPK menerima maklum balas yang baik daripada pemilik-pemilik premis perniagaan berhubung pelaksanaan penggunaan tulisan Jawi tersebut.

Lebih separuh dari kira-kira 5,300 premis perniagaan di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sudah menggunakan tulisan Jawi pada papan-papan iklan premis masing-masing.

Syarat yang dikenakan bagi penggunaan tulisan Jawi berkenaan iaitu sekurang-kurangnya pada jenis aktiviti utama lesen sahaja dan tidak tertakluk kepada keseluruhan perkataan pada papan iklan turut mendorong pemilik premis melaksanakannya.


AGONG TITAHKAN


Pelaksanaan penggunaan tulisan Jawi berkenaan adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada November tahun lalu.

Seri Paduka yang merupakan Pemangku Raja Pahang ketika itu menitahkan agar penggunaan tulisan Jawi diperluaskan di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh negeri ini bagi memartabatkan semula tulisan berkenaan yang semakin terpinggir.

“MPK antara PBT di Pahang yang menyahut titah Yang di-Pertuan Agong selain PBT lain umpamanya Majlis Daerah Pekan yang melaksanakan penggunaan tulisan Jawi sejak 2005.

“Bagi memartabat dan membudayakan tulisan Jawi ini, pelaksanaan penggunaannya dalam kawasan pentadbiran MPK tidak hanya terbatas pada papan-papan iklan premis perniagaan malah turut diperluaskan kepada papan-papan tanda lorong, iklan luar seperti billboard, unipole, iklan-iklan perumahan malah pada iklan-iklan gegantung seperti bunting dan sepanduk,” kata Pegawai Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal kepada penulis.

Usaha-usaha berkenaan sebenarnya telah mula dilaksanakan. Umpamanya, MPK mengenakan syarat kepada pemaju-pemaju perumahan untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi pada papan-papan tanda lorong sebelum Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.

Selain itu, di kawasan-kawasan perumahan, ceper atau papan tanda lorong yang sedia ada telah mula dilakukan secara berperingkat bagi penggunaan secara dwi bahasa dan usaha-usaha berkenaan akan terus diperkasakan.

Usaha seperti ini sewajarnya diperluas dan dicontohi PBT-PBT lain agar tulisan berkenaan 
sentiasa dihargai dan diminati. Syabas MPK! Teruskan usaha martabat tulisan Jawi.