Sungai Kim Kim antara ribuan sungai yang menjadi mangsa segelintir manusia yang merasakan pembangunan, infrastruktur dan industri adalah lebih penting daripada segala-segalanya.

Dikatakan sungai tersebut telah tercemar sejak 10 tahun dahulu, sepanjang masa itu tiada siapakah yang peduli? Itulah, apabila bencana mula ‘menjengah’ barulah kita tengadah, menuding jari menyalahkan sesama sendiri atas apa yang berlaku.

Sudah terlalu banyak impak negatif yang diterima akibat pencemaran sungai, pun begitu tiada siapa mengambil iktibar atas apa yang berlaku, pelaku sudah tentulah bersalah, itu adalah muktamad, namun di mana sikap ambil peduli kita terhadap sungai sebenarnya?

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017 pernah mendedahkan hampir 51 sungai dalam negara telah tercemar dan salah satunya berada dalam kelas ke lima yang bermaksud sangat-sangat tercemar.

24 sungai berada pada kelas tiga, 26 sungai kelas empat, dan sebatang sungai kelas lima, semuanya tercemar akibat aktiviti industri, kumbahan, penternakan dan sikap membuang sampah ke dalam sungai oleh sesetengah daripada kita. Itu belum lagi diteliti sungai-sungai yang semakin tohor akibat mendapan sedimen hasil pembalakan yang rakus tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan dana yang besar bagi mengembalikan kebersihan sungai terutamanya yang mengalir di tengah-tengah bandar dikenali sebagai River Of Live (ROL) 2011-2020 yang melibatkan transformasi lapan batang sungai.

Program ROL bermatlamat memulihkan sungai daripada pencemaran agar dapat menyokong aktiviti rekreasi, mewujudkan kawasan tebing sungai yang lebih indah dan selamat selain melonjakkan nilai ekonomi kawasan sekitarnya.

Jepun antara negara maju yang berjaya mengimbangi keperluan pembangunan dan alam sekitarnya, mereka berjaya mengembalikan sungai-sungai mereka yang tercemar teruk suatu ketika dahulu kembali bersih seperti sediakala, bahkan lebih cantik daripada asal kewujudannya.

Dalam kajian penyelidik kanan, Pasukan Pemuliharaan Sungai, Kumpulan Persekitaran Air, Institusi Penyelidikan Kerja Awam, Jepun, Keigo Nakamura menyatakan proses restorasi sungai di negara itu rata-rata di mulakan oleh penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) atas kesedaran mereka sendiri.

Jelasnya, biarpun bermula dengan dana yang kecil kerana bergerak sendiri, namun penduduk sekitarnya bijak membina jaringan bersama saintis dan pihak berkuasa berkaitan sungai sehingga menjadikan projek pemuliharaan sungai menjadi besar.

Antaranya adalah kejayaan pemuliharaan Sungai Itachi yang bermula pada tahun 1981 (antara projek terawal) di Yokohama, sebuah kawasan yang pesat membangun. Seterusnya Sungai Tama sepanjang 136 kilometer (km) di Tokyo yang terus menjadi inspirasi negara tersebut untuk memelihara alin-lain sungai milik mereka.

Hari ni, kita boleh lihat bagaimana sungai-sungai di Jepun mengalirkan air yang begitu bersih sehinggakan boleh terus diambil untuk kegunaan seharian.

Biarpun pelbagai cabaran akan dihadapi namun kesan jangka panjang restorasi sungai-sungai tersebut akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekitarnya serta pelbagai impak yang positif.

Kerajaan telah lama memulakan inisiatif tersebut dan kini sudah tiba masa setiap rakyat negara ini menanamkan rasa tanggungjawab bagi menyokong sepenuhnya usaha tersebut agar kempen Sayangi Sungai Kita tidak hanya tinggal kempen semata-mata.