Contohnya, lebih kurang 50,000 penduduk di Merbok Kedah menghadapi krisis bekalan air kesan daripada kemarau panjang. Krisis tersebut dianggap terburuk dalam tempoh 20 tahun di Merbok.

Empangan Air Hitam di Pulau Pinang juga dikatakan telah mengalami penyusutan dan hanya boleh digunakan sehingga akhir Mei nanti. Beberapa negeri lain juga mengalami masalah penyusutan paras air ekoran daripada kemarau yang melanda.

Cuaca panas sekarang dengan hujan yang tidak lebat di sesetengah negeri dan kawasan membawa banyak kesan kepada pelbagai pihak.

Selain masalah bekalan air untuk menjalani kehidupan seharian, pelbagai industri yang memerlukan air akan terbantut dan sudah tentu produktiviti sesebuah industri akan merosot.

Di negeri-negeri yang padat penduduk dan maju terutama Selangor, pelbagai industri memerlukan bekalan air untuk menjalankan operasi mereka.

Apabila berlaku krisis air bermakna pihak kilang terpaksa berdepan dengan pengurangan pengeluaran dan sudah tentu boleh menjejaskan pelbagai pihak termasuk pekerja.

Jika kemarau berpanjangan, sudah tentu pesawah-pesawah padi di sesetengah kawasan tidak dapat mengusahakan sawah mereka se­perti selalu. Empangan yang ke­kurangan air menyebabkan usaha meng­airi sawah akan terbantut.

Krisis air di negara ini bukan sekali dua. Selepas berlaku krisis air pada 2016, pelbagai cadangan sudah dibuat termasuk usaha untuk menyimpan air di bawah tanah de­ngan menelan belanja yang agak tinggi.

Kerajaan negeri Kedah pernah menyuarakan cadangan tersebut sebagai usaha untuk membekalkan air kepada pesawah-pesawah padi termasuklah pesawah di Perlis yang sebelum ini bergantung kepada Empangan Muda.

Pada 2011, Jabatan Parit dan Saliran telah membuat kajian bahawa 7 peratus atau 64 bilion meter padu air daripada hujan tahunan tersimpan di bawah tanah. Oleh itu, penggunaan air bawah tanah berpotensi sebagai usaha menangani masalah bekalan air ketika kritikal.

Kini, apabila berlaku sekali lagi musim kemarau dan krisis air, maka cadangan yang sama mula disuarakan kembali. Kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti jumlah simpanan air bawah tanah yang boleh digunakan ketika terdesak dan usa­ha mendapatkan air tersebut untuk kegunaan bersama ter­utamanya ketika berlaku krisis air.

Dalam pada itu, Kempen Jimat Air perlu diberi perhatian semula agar penggunaan air secara berhemah diamalkan. Didikan tentang kepentingan menjimatkan air dalam apa urusan sekalipun mesti diperhebatkan semula agar krisis air tidak berpanjangan.

Seterusnya, pengawasan ke atas sungai-sungai mesti dilakukan agar pencemaran dapat dihindari. Pada waktu-waktu terdesak, air sungai yang bersih dapat dijadikan alternatif orang ramai ketika musim panas. Di sesetengah kawasan catuan air pula mesti dilakukan agar orang ramai berjimat dalam penggunaan air.

Kita percaya, kesedaran orang ramai tentang kepentingan air dari segenap aspek akan dapat membantu meringankan bebanan ketika krisis air berlaku.