Sejarah tercipta dengan perisytiharan Hari Malaysia yang disempurnakan di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat jelata. Penubuhan Persekutuan Malaysia bukanlah dengan mudahnya diperoleh. Ia telah ditentang oleh Indonesia dan Filipina. Pada ketika itu, Indonesia yang tidak setuju terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia melancarkan konfrontasi ketenteraan dengan slogan Ganyang Malaysia. Konfrontasi ini berlanjutan hingga 1966.

Filipina pula menentang penubuhan Persekutuan Malaysia kerana ingin menuntut hak ke atas Sabah dengan menggunapakai hujah dan fakta daripada perjanjian yang telah dimeterai oleh Kesultanan Sulu dengan British. Brunei yang pada awalnya turut serta dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia akhirnya membatalkan penyertaan setelah berdepan pemberontakan besar-besaran oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Setelah semua cabaran berlalu, akhirnya pada 9 Julai 1963, perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia berjaya dimeterai di London berdasarkan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan dengan pernyataan lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Malaysia.

Walaupun tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia ditangguhkan dari 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold, tarikh tersebut turut ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina mempergiat tentangan terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Namun akhirnya pada 16 September 1963, secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

SUBURKAN PATRIOTISME

Mengingati Hari Malaysia sebenarnya merupakan satu langkah untuk membudayakan semangat patriotisme dalam diri kita. Semangat patriotisme ini amat penting untuk terus dipupuk dan dikekalkan oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira di titik latitud dan longitud mana sekalipun mereka berada.

Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan, dengan semangat inilah negara akan terus dapat dipacu dalam visi dan misi untuk menggapai lebih banyak kejayaan dan terus kekal aman, damai dan sentosa.

Malah semangat sayangi negara ini jika dipandu dengan tepat dan betul akan terus menjadi pemangkin kepada kemajuan negara dan rakyat berusaha untuk membangunkan negara. Malah kestabilan inilah yang akan sentiasa mendorong para pelabur untuk terus melabur dan membuka perniagaan di negara kita.

Kesepaduan kaum juga lebih mudah untuk dilakukan dengan adanya semangat patriotisme ini. Dengan demikian, rakyat akan lebih mengambil berat akan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kaum dan diri mereka sendiri. Justeru, dengan cara ini lebih mudahlah untuk kerajaan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan negara di samping terus rancak merangsang perkembangan ekonomi. Malah kita akan dapat melihat sendiri perpaduan ini memperkukuh kesepakatan kata dan usaha untuk terus mempertahankan negara.

Semangat patriotisme ini juga wajar diberi kesinambungan oleh generasi muda. Rata-rata golongan muda dilihat kurang memahami peri pentingnya patriotisme ini malah ada yang menganggap tiada keperluan semangat sebegini untuk terus disemai dalam kalangan mereka. Usahlah berfikiran sebegitu. Anda merupakan pewaris kepimpinan negara. Pada tangan andalah diharapkan Malaysia akan terus menggapai kejayaan. Walau dalam era mana sekalipun, semangat cintakan negara ini perlulah terus dipasak ke dalam hati dan jiwa raga generasi muda ini.

Pelbagai program dengan semangat Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih iaitu tema pada tahun ini boleh dianjurkan. Sambutan di semua peringkat tidak kira tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun institusi pengajian tinggi masih lagi relevan untuk dijalankan. Usahlah terus merencana program yang bersifat stereotaip, namun ubahlah program tersebut bersesuaian dengan usia, peringkat dan era baharu. Dengan cara ini, sudah pasti akan menarik minat generasi muda untuk terus bersemangat cintakan tanah air mereka.

DARI RUMAH SENDIRI

Pengalaman yang indah dan menarik sepanjang bulan kemerdekaan seawal menuntut ilmu di tadika akan membuahkan keterujaan kepada anak-anak untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah yang akan dapat menambah pengetahuan tentang sejarah negara kepada mereka. Ini kerana apabila melangkah ke tahun empat, anak-anak ini akan didedahkan dengan ilmu sejarah tanah air mereka. Memupuk dan menyuburkan semangat cinta negara dari tadika tentu akan mencetus pelbagai tanda tanya dan persoalan yang akhirnya terjawab apabila mereka belajar mata pelajaran Sejarah secara formal. Nah, ibu bapa sudah pasti dapat menarik nafas lega kerana tidak akan berdepan dengan rungutan ia satu mata pelajaran yang membosankan daripada anak-anak mereka. Impak yang signifikan dan besar daripada cara yang biasa-biasa sahaja.

Semangat patriotisme ini bukanlah boleh dicapai dengan sekelip mata atau semalaman. Ia juga tidak boleh mencakupi hanya golongan tertentu. Ia perlu difahami dan dijadikan budaya kehidupan oleh semua rakyat tanpa mengira siapapun dirinya. Ia juga perlu dipupuk, dibaja dan disubur dari semasa ke semasa. Sudah pasti ia perlu bermula dari rumah kita sendiri. Alangkah ruginya jika sedari kecil kita alpa dan tidak mengambil peluang untuk memperkasakan semangat ini dalam kehidupan anak-anak kita.

Gunakanlah masa, ruang dan peluang untuk menjalani kehidupan sebagai warga yang prihatin untuk terus memupuk semangat cintakan negara dalam menjalani aktiviti seharian. Usahlah hanya menunggu sambutan untuk menyuburkan perasaan dan semangat ini. Jadikanlah ia budaya supaya alah biasa tegal biasa. Biar kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Semuanya perlu bermula dari rumah kerana hanya dengan membudayakan yang betul bakal melahirkan semangat cintakan negara yang luar biasa. Semoga kita sebagai rakyat akan terus kekal istiqamah dengan semangat ini.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang.