Bayangan strategi Dr. Mahathir dikatakan timbul dua minggu lalu apabila kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan isu tuntutan bertindih tiga entiti yang terletak di Selat Singapura iaitu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Tidak salah jika ada yang membuat anggapan Dr. Mahathir berhasrat mengekalkan hubungan akrab seperti yang berlaku ketika era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tetapi beberapa hari lalu apabila Dr. Mahathir menegaskan kadar harga air tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dibekalkan oleh Malaysia kepada Singapura sebagai tidak masuk akal, maka kenyataan itu dianggap sebagai isyarat awal bagaimana kerajaan akan berurusan dengan Singapura terutama sekali berhadapan dengan isu tertunggak.

Perlu difahami, terdapat empat perjanjian mengenai bekalan air antara kedua-dua negara jiran ini yang lebih dikenali sebagai perjanjian 1927, 1961, 1962 dan 1990. Perjanjian 1927 membenarkan Singapura mendapatkan bekalan air dari Johor secara percuma dan pada ketika itu tidak janggal kerana dimeterai semasa kedua-dua pihak masih berada dalam jajahan empayar British.

Perjanjian 1961 dan 1962 pula dianggap sebagai sambungan dari perjanjian 1927 yang mana perubahan ketara adalah mengenai harga bekalan air ditetapkan pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen. Perjanjian yang terpakai pada ketika ini iaitu Perjanjian 1962 hanya akan lupus pada 2061.

Perlu ditekankan isu kadar har­ga air ini pernah satu ketika (2000-2003) menjadi begitu panas se­hingga telah menjejas hubungan an­tara kedua-dua negara dan Dr. Ma­hathir adalah Perdana Menteri Malaysia keempat pada ketika itu. Tetapi hakikatnya adalah senario politik Malaysia telah berubah secara drastik berbanding awal 2000 walaupun Perdana Menteri Malaysia adalah pemimpin yang sama sementara Singapura dipimpin oleh Goh Chok Tong pada ketika itu.

Menarik diperhatikan strategi Dr. Mahathir mendepani Singa­pura ialah dalam waktu yang sa­ma membincangkan isu kadar harga air, beliau turut membuat pengakuan belum memaklumkan kepada Singapura tentang hasrat kerajaan Malaysia untuk menarik diri daripada projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) seperti yang dipersetujui bekas Perdana Menteri sebelum ini.

“Kadangkala kita membuat kenyataan umum tanpa memuktamadkan proses tersebut, apabila kita mahu membuat keputusan kita tidak tunggu sehingga memaklumkan kepada Singapura, kita hanya ingin katakan sesuatu. Sudah tentu mereka (Singapura) ingin tahu dan kita akan memaklumkan kepada mereka kemudian dan ia tidak begitu mendesak,” tambah Dr. Mahathir yang sebenarnya adalah manifestasi strategi era politik masa kini perkara berkaitan Singapura.

Perlu diungkit kembali ketika isu ini menjadi panas pada awal 2000, Singapura telah menjaja kepada seluruh dunia dengan mem­beri persepsi Malaysia sebagai negara yang tidak menghormati perjanjian. Singapura juga telah menggunakan isu kedaulatan yang tercabar berdasarkan kepada Perjanjian Perpisahan 1965 dan juga Pindaan Perlembagaan Malaysia No. 53, 1965 yang secara amnya menyatakan bahawa Malaysia perlu mematuhi dua perjanjian bekalan air yang ditanda tangani pada 1961 dan 1962.

Pada ketika memuncaknya isu air ini Singapura telah menerbitkan buku yang bertajuk “Rundi­ngan Air: Hakikat Yang Sebenar” dan mengedarnya kepada pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur. Malah kedua-dua negara juga telah mengeluarkan iklan dalam Asian Wall Street Journal mempertahankan hujah dan dalil ma­sing-masing mengenai isu ini.

Secara jujurnya masyarakat antarabangsa mungkin menilai pertelagahan isu air antara ke­dua-dua jiran ini adalah perkara la­zim memandangkan air dianggap sebagai komoditi yang berharga dan kritikal bagi sesetengah negara dan dunia tidak pernah sunyi dengan konflik yang di­se­babkan oleh faktor air.

Tetapi jika diteliti pertelagahan isu air antara Malaysia dan Singapura, ia dianggap unik ke­rana tidak pernah dalam sejarah dunia kemelut mengenai air di­sebabkan oleh perselisihan pe­netapan kadar harga. Kelaziman­nya pergolakan timbul dari ma­salah sumber air yang mengalir di beberapa negara dan timbul masalah perkongsian sumber asli yang berharga ini.

Sebenarnya jika diteliti ma­sa­lah Singapura yang berhadapan ke­kangan bekalan air dan Malaysia pula mempunyai sumber bekalan air mencukupi, situasi ini juga telah membuahkan suasana kerjasama yang mempunyai daya inovasi yang tinggi. Mungkin ada yang berpendapat situasi kerjasama penuh kreativiti kerana penggunaan lebih dari 2,000 ekar kawasan Gunung Pulai dan sebahagian Sungai Tebrau dan Su­ngai Skudai masih dibalas oleh Si­­ngapura dengan kadar 3 sen setiap 1,000 gelen air yang diambil, iaitu kadar yang telah ditetapkan lebih lima dekad lalu.

Sehingga ke hari ini terdapat lebih dari 3,600 perjanjian me­ngenai air telah ditandatangani di mana sebahagian besar perjanjian telah menunjukkan sema­ngat kerjasama yang tinggi untuk mencapai persetujuan yang saksama. Untuk lebih spesifik lagi, kajian terhadap 1,831 perjanjian sumber air dalam tempoh 60 tahun lalu menunjukkan prinsip kesaksamaan ditekankan dalam mencapai persetujuan.

Maka jika Singapura masih berkeras dengan pendapat kadar harga tiga sen adalah berpatutan kerana termaktub dalam perjanjian, tidak menghairankan jika Malaysia akan sentiasa mengaitkan isu ini dengan masalah tertunggak lain demi mencari keadilan semua pihak.