Isu penarikan penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi dan penutupan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Kuala Lumpur telah menjadi pemangkin kepada persepsi hubungan dua negara Islam ini mulai retak, iaitu satu senario yang tidak pernah terfikir akan terjadi sebelum ini. Perlu ditekankan penempatan ATM di Arab Saudi adalah kerana Malaysia menyertai pakatan 34 negara Islam menentang keganasan dan KSCIP pula ditubuhkan sempena lawatan Raja Salman ke Malaysia juga bertujuan menangani ancaman keganasan terutama ideologi militan Daesh.

Dalam senario hubungan diplomatik lazim dua negara jika diambil kira tercetusnya kedua-dua isu tersebut, sudah amat pasti kesimpulan yang dibuat mengenai hubungan kedua-dua negara telah terjejas adalah tepat sekali kerana dua isu tersebut menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena, dalam kes ini hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Riyadh.

Tetapi perlu ditekankan geopolitik negara Arab dan ini termasuk Arab Saudi adalah begitu kompleks dan kesimpulan tidak boleh dibuat hanya bersandarkan peristiwa tersurat. Perhatikan sahaja kemelut pembunuhan rakyat Arab Saudi iaitu Jamal Khashoggi yang masih tidak diketahui apa yang berlaku setelah berurusan di pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki.

Tersuratnya kelihatan Turki dan Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan yang amat hebat kepada Arab Saudi sehinggakan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengadakan pertemuan dengan Raja Salman. Tetapi apa yang kelihatan secara tersurat tidak semestinya menggambarkan apa yang berlaku di sebalik tabir.

Sebab itu juga isu penarikan tentera ATM dan penutupan KSCIP tidak boleh dinilai secara bersendirian tetapi perlu dikaitkan dengan geopolitik serantau Arab dan juga global. Malaysia tidak kira semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kini PH tidak pernah menyebelahi mana-mana kuasa besar ketika melaksanakan dasar luar negara kerana mahu mengelak daripada terjerat percaturan geopolitik kuasa besar ini.

Maka boleh dihujahkan asas dasar luar Malaysia masih kekal tetapi pendekatannya sedikit berbeza antara era BN dan PH. Penglibatan ATM dalam pakatan 34 negara Islam dan penubuhan KSCIP kerana kerajaan BN percaya ancaman keganasan mampu dikekang melalui pendekatan ketenteraan dan juga ideologi melalui kerjasama erat dengan Riyadh dan negara Islam lain. Tetapi kerajaan PH pula berpandangan kaedah terbaik menangani keganasan adalah tidak terkait begitu rapat dengan negara Arab lain kerana bimbang kerjasama erat ini mungkin boleh disalah tafsir bukan sahaja oleh negara Arab lain tetapi juga negara kuasa besar.

Sebab itu juga matlamat utama penarikan anggota ATM di Arab Saudi adalah untuk elak salah tafsir negara lain yang Malaysia turut terlibat dalam perang yang sedang melanda Yemen. Begitu jua penutupan KSCIP bertujuan mengelak salah faham bahawa Riyadh mengawal selia cara Kuala Lumpur menangani ancaman ideologi militan dan keganasan di Malaysia.

Umpamanya ketika kerajaan BN menerima kunjungan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia pada Oktober 2017 iaitu ketika kemuncaknya krisis Teluk, dasar tersebut penuh dengan risiko kerana berkemungkinan Riyadh memikirkan Kuala Lumpur menyebelahi Doha. Besar kemungkinan juga jika kerajaan PH memerintah pada ketika itu, maka agak sudah pasti lawatan tersebut tidak mungkin berlaku jika dikaitkan dasar luar yang membabitkan negara Arab dan kerajaan PH ketika ini.

Maka sebab itu dihujahkan hubungan Kuala Lumpur-Riyadh sebenarnya tidak banyak berubah walaupun pada asasnya dua keputusan kerajaan PH adalah agak ekstrem dan mengejutkan tetapi sebenarnya tidak banyak mengubah asas hubungan dua negara Islam ini. Harapannya adalah dalam keadaan Riyadh ditekan begitu hebat dengan isu Khashoggi, Kuala Lumpur sebenarnya adalah rakan sebenar Arab Saudi.