Bagi mendapatkan penjelasan mengapa SK tidak lagi menjadi pilihan utama ibu bapa, wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR dan ROSNI MASRI serta juruvideo, MOHD. AFIZI ISMAIL menemubual dua tokoh pendidikan negara iaitu bekas KETUA PENGARAH PELAJARAN, TAN SRI ABD. GHAFAR MAHMUD dan FELO UTAMA INSTITUT KAJIAN ETNIK UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG, baru-baru ini bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai isu yang menjadi kebimbangan semua pihak hari ini.

MINGGUAN: Apakah tujuan utama penubuhan SK?

ABD. GHAFAR: SK diwujudkan oleh Inggeris dahulu untuk menghasilkan manusia yang lebih baik, bukan seperti sekarang yang tujuannya untuk mewujudkan modal insan. Selepas kemerdekaan negara sistem pendidikan terus dibaiki seperti yang terdapat dalam Penyata Razak. Laporan ini menyebut untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi SK sekali gus ia juga menaik taraf SK sebagai sekolah yang mengajar akademik dan menyediakan pendidikan kepada seluruh anak bangsa.

Adakah matlamat ini tercapai?

ABD. GHAFAR: Selepas Penyata Razak, wujud pula Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1961 yang bertujuan menambah baik SK. Bagi saya SK telah mencapai matlamatnya untuk menjadi sekolah aliran utama pada masa sekarang dan melahirkan banyak profesional Melayu berbanding zaman saya dahulu. Selain itu, SK juga bukan hanya berjasa untuk masyarakat Melayu tetapi rakyat seluruhnya.

Pada masa sama, lebih membanggakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah peperiksaan dalam sistem pendidikan negara yang diiktiraf di seluruh dunia. Pelajar lulusan SPM boleh terus menyambung pelajaran ke peringkat A-Level dan lain-lain. Ini membuktikan taraf pendidikan kita sangat tinggi dan bermutu.

Bagaimanapun Perdana Menteri menyebut bahawa SK perlu dihebatkan semula?

ABD. GHAFAR: Ini bukan melibatkan isu dasar pendidikan, yang berubah hanya melibatkan keperluan semasa seperti mewujudkan subjek baharu dan meningkatkan kualiti pendidikan negara seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPM 2013-2025). Bagi saya langkah ini sangat tepat kerana bidang pendidikan sangat dinamik dan perlukan perubahan mengikut kesesuaian masa.

Antara isu yang membayangi SK ialah banyak ibu bapa memilih menghantar anak ke sekolah aliran lain, kenapa ini berlaku?

ABD. GHAFAR: Sebenarnya tiada kajian terperinci mengenai perkara ini, misalnya satu kohot (kumpulan) biasanya terdapat kira-kira 450,000 pelajar tetapi belum ada kajian seca­ra terperinci pecahan yang pergi ke SK, sekolah vernakular, tahfiz dan lain-lain. Malahan, sehingga kini majoriti masih menghantar anak-anak mereka ke SK bagaimanapun tidak dinafikan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bertambah popular dengan gimik lebih baik, pelajaran teratur, disiplin terjaga manakala sekolah agama pula menjadi pilihan orang Melayu untuk mendekatkan diri dengan agama.

Pada saya, SK masih popular tetapi terdapat kerisauan kepada Perdana Menteri mengenai kualiti di SK yang dikatakan makin merosot dan tidak sebaik SJKC. Bagaimanapun, kita perlu ambil secara positif dan baikinya kerana SK adalah tunjang perpaduan negara dan ini menjadi tempat untuk mendaulatkan bahasa Melayu (BM).

Apakah langkah terbaik untuk tingkatkan kualitinya?

ABD. GHAFAR: Setiap sekolah perlu ada kepemimpinan yang baik, ini paling penting, sebab itu sekarang kementerian mewujudkan Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan (NPQEL) dengan menyediakan kursus kepada guru sebelum menjadi pengetua supaya mereka bersedia menjadi ketua.

Selain itu, seorang pengetua atau guru besar perlu menjadi ketua pembelajaran di sekolah, apa yang berlaku sekarang pengetua dan guru besar terlalu sibuk dengan urusan luar hingga menyebabkan tiada masa untuk menjalankan tugas sebagai ketua pembelajaran. Mereka seharusnya memastikan adakah guru masuk kelas dan adakah pengajaran mereka berkesan.

Keperluan lain adalah dengan meningkatkan peralatan pembelajaran terkini seiring perkembangan teknologi terkini.

Dalam gelombang ketiga PPM2013-2025 menggariskan supaya SK menjadi pilihan utama, bolehkah dicapai?

ABD. GHAFAR: Dalam masa ter­de­kat sukar dicapai namun, kalau diusahakan betul-betul ia boleh berlaku.

Kenapa sukar?

ABD. GHAFAR: Dalam pelan ini terdapat 11 anjakan dan setiap dari­padanya perlu dilihat semula, tumpuan perlu diberikan pada bidang kritikal. Mana-mana kurang penting tinggalkan dahulu. Dalam hal ini kementerian perlu pandai memilih perkara yang patut diutamakan, sa­ngat merugikan kalau PPM 2013-2025 diabaikan begitu sahaja kerana ia satu pelan komprehensif dan dibuat kajian selama dua tahun.

Bagaimana pula peranan SK dalam menerap kemahiran, ilmu pengetahuan dan nilai untuk generasi masa hadapan?

ABD. GHAFAR: Isu kita sekarang, pelajar terlalu mengejar A dalam peperiksaan, pelajar kita belajar untuk lulus peperiksaan sahaja. Mendapat keputusan semua A tidak memberi makna apa-apa kalau tidak boleh menggunakan ilmu tadi sebab itu dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ditekankan mengenai kemahiran berfikir aras tinggi supaya pelajar bukan sahaja faham dan ingat tetapi paling penting boleh gunakan ilmu tadi dalam kehidupan seharian.

Bagaimana pula langkah kerajaan menghapuskan peperiksaan untuk tahun satu hingga tiga?

ABD. GHAFAR: Setiap pengajaran perlu ada penilaian tetapi penilaian itu biarlah di akhir. Dulu pernah dica­dangkan dua peperiksaan sahaja satu di akhir sekolah rendah iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM untuk sekolah menengah tetapi ibu bapa minta supaya antara tingkatan satu hingga lima diadakan peperiksaan sebab takut pelajar main-main, jadi mereka hendak peperiksaan di tengah. Sebagai ganti kita katakan peperiksaan yang hendak dilaksanakan mesti berteraskan sekolah yang bermaksud dikendalikan oleh sekolah dan cikgu melihat sendiri perkembangan pelajar, kalau peperiksaan berpusat melibatkan orang lain yang membuat soalan dan skema jawapan. Kebaikan untuk sekolah pula di masa hadapan mereka boleh lebih berdikari dan mampu membuat penilaian terhadap anak murid, pada masa sama pelajar mendapat ilmu bukan hanya untuk peperiksaan tetapi untuk kehidupan.

Ada pihak mendakwa SK terlalu Islamik, benarkah tanggapan ini?

ABD. GHAFAR: Mungkin ada satu dua kes dan memang ada sekolah yang baca Yasin dan berdoa di waktu pagi, tapi bagi saya kalau buat dengan betul tiada masalah, cuma terdapat kebimbangan apabila banyak aktiviti keagamaan dibuat, pelajar bukan Melayu mempunyai banyak waktu terluang dan tidak diisi.

Bagaimana pula dakwaan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) menyumbang kepada kemerosotan SK?

ABD. GHAFAR: Anggapan ini tidak benar, sepatutnya kita dapat guru lebih baik sebab dahulu guru dididik oleh institut perguruan sahaja dan mendapat diploma tetapi sekarang mereka ada ijazah. Pada saya guru tidak berprestasi ialah sebab sikap, kalau dilatih tinggi mana pun kalau malas dan tidak suka mengajar macam mana hendak sampaikan ilmu.

SK maruah negara, bagaimana untuk mengembalikan maruah ini?

ABD. GHAFAR: Asalnya dalam Penyata Razak, hala tuju pendidikan ialah SK satu-satunya sekolah yang mana menjadi sekolah kerajaan sepenuhnya, manakala sekolah vernakular hanya untuk kaum tertentu dan bersifat sementara yang bermaksud Menteri Pendidikan mempunyai kuasa untuk menutup sekolah vernakular tetapi selepas Akta 1961 kerajaan menginstitusi secara rasmi sekolah itu dengan terdapat beberapa bilangannya tidak boleh ditutup dan tidak boleh bertambah, itu syaratnya.

Dalam pembinaan negara bangsa susah hendak diterima kalau wujud pelbagai sekolah sebab itu pada pering­kat awal ia diterima dengan bersifat sementara sahaja. Jadi dalam hal ini, kalau kita hendakkan perpaduan yang utuh memang saya sokong hanya wujudkan sekolah satu aliran.

Adakah sudah terlambat untuk wujudkan sekolah satu aliran?

ABD. GHAFAR: Sebenarnya dari dahulu lagi perkara ini bukan tidak boleh dibuat tetapi memerlukan political will (keazaman politik) teta­pi dalam keadaan sekarang saya tidak rasa ia boleh berlaku, tetapi mana tahu kalau mereka sedar satu hari nanti perpaduan rakyat Malaysia hanya boleh tercapai melalui pendidikan, mungkin ia berlaku.

Akhir-akhir ini banyak pemberian dana secara terus kepada sekolah selain SK, adakah ini perkembangan yang sihat?

ABD. GHAFAR: Pada saya sekiranya dana diberikan kepada sekolah aliran lain tetapi pada masa sama membiarkan SK ia tidak betul sebabnya peruntukan daripada pembayar cukai perlu pergi ke sekolah kerajaan dahulu, yang saya risau duit itu tidak diberikan kepada sekolah kerajaan. Kalau SK sudah baik dari segi prasarana maka terpulang kepada budi bicara kerajaan untuk memberikannya, jangan jadi seperti kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.