KOK SEONG: Sebelum ini SK adalah pilihan popular dalam kalangan ibu bapa, tetapi sejak akhir-akhir ini sudah tidak popular. Masyarakat Cina lebih memilih sekolah vernakular Cina manakala masyarakat Melayu pula memilih sekolah agama dan swasta.

Sejak bila ini berlaku?

KOK SEONG: Perkara ini ada disebut dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), dalam pelan ini ada disebut mengenai usaha kerajaan untuk memperkasa semula SK, ini bermaksud kerajaan sudah mengenal pasti masalah yang berlaku di SK, tetapi terdapat kemungkinan masalah ini berlaku lebih awal iaitu sekitar tahun 2000 apabila masyarakat Cina mula beralih ke sekolah vernakular.

Peralihan ini mempunyai kaitan dengan kemunculan China sebagai kuasa besar dunia selepas berakhirnya perang dingin pada 1989 dan tidak lagi menjadi negara blok Komunis. Mereka melihat kepentingan bahasa Mandarin ekoran kebangkitan China sebagai kuasa besar ekonomi. Bermula dari itu, masyarakat Cina mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular dan jumlah murid Cina ke SK semakin merosot sehingga hari ini.

Adakah keadaan ini berlaku di seluruh negara?

KOK SEONG: Ya, bukan ibu bapa Cina sahaja menghantar anak mereka ke sekolah Cina tetapi kaum Cina peranakan seperti di Kelantan dan komuniti Baba dan Nyonya di Melaka turut memilih sekolah vernakular.

Selain itu, terdapat faktor kaum bukan Melayu tidak mahu menghantar anak mereka ke SK kerana melihat SK terlalu Islamik. Persepsi mereka, SK telah bertukar menjadi sekolah agama, sepatutnya SK membekalkan pendidikan nasional iaitu pendidikan yang tidak memihak kepada mana-mana kaum atau kelompok.

Sejauh mana kebenarannya?

KOK SEONG: Mungkin betul dan tidak, contohnya takkan membaca doa waktu perhimpunan, membaca surah Yasin dan menggantung ayat al-Quran di sekolah tidak boleh? Bagi saya dan ibu bapa lain perkara ini tidak timbul isu terlalu Islamik, yang menjadi isu apabila SK selalu menyambut acara-acara keagamaan Islam seperti sambutan Maulud Nabi, Israk dan Mikraj serta sebagainya pada waktu persekolahan, jadi bagi ibu bapa bukan Melayu melihat ia mengganggu waktu pembelajaran, mereka mahu sambutan ini dibuat sebelah petang atau hari Ahad.

Bagaimana pula ibu bapa kaum Melayu yang memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah agama dan swasta berbanding SK?

KOK SEONG: Bagi mereka prestasi akademik di SK telah turun dan tidak bermutu. Ini dikaitkan dengan banyak isu seperti budaya kerja guru yang disifatkan kurang berdedikasi dan berkualiti. Pada masa sama, kaum Cina juga melihat isu ini dari sudut yang sama.

Kenapa isu ini timbul sedangkan mereka juga menerima pendidikan yang sama dahulu?

KOK SEONG: Mungkin kualiti guru waktu itu berbeza, apabila dikaji semula kita harus akui akhir-akhir ini ramai memilih menjadi guru kerana terdesak malah ada juga yang mahu menjadi guru dan profesor sebab hendak kaya. Selain itu, ada juga guru yang memiliki perniagaan seperti cuci kereta, pusat memandu kereta dan terlibat dalam jualan langsung, kenapa ia berlaku adakah gaji mereka tidak mencukupi? Ini menunjukkan minat mereka sebagai guru sudah tiada.

Pada masa sama, ada kalangan guru menyalahkan kehadiran guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kerana mereka disifatkan tidak mempunyai jiwa dan memilih profesion perguruan sebagai pilihan akhir.

Jadi, bagaimana untuk menarik semula semua kaum ke SK?

KOK SEONG: Mudah sahaja, kita guna model perniagaan iaitu pelanggan sentiasa betul, kita sudah tahu kenapa ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke SK jadi kita perlu mengambil serius aduan mereka dan baikinya.

Namun begitu, paling penting SK bukan sekadar aliran utama tetapi ia merupakan maruah negara, sekarang di mana maruah kita? Malangnya SK tidak lagi menjadi kebanggaan rakyat. Air muka kita jatuh kalau SK dipandang begitu rendah seperti ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sedar mengenai perkara ini dan cuba mengembalikan popularitinya seperti dalam PPPM 2013-2025. Mereka berjanji pada 2021, SK akan menjadi pilihan utama semua ibu bapa tanpa mengira lapisan masyarakat. Namun, secara ikhlas saya tidak nampak ikhtiar memperkasakan SK sama ada oleh kerajaan dahulu atau sekarang.

Perdana Menteri menyebut penguasaan terhadap bahasa Inggeris akan ditingkatkan di SK, kenapa isu lama ini kembali berbangkit?

KOK SEONG: Pada 2016 kerajaan memperkenalkan dua program bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP). HIP adalah usaha untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris melalui subjek BI manakala DLP memberi pilihan kepada pelajar untuk belajar bahasa tersebut melalui subjek lain seperti Matematik, Sains dan lain-lain. Malangnya, sejak diperkenalkan sehingga sekarang tiada langsung laporan mengenai keberkesanan HIP sama ada berjaya atau tidak.

Program HIP adalah kaedah belajar bahasa yang berkesan dan digunakan di seluruh dunia. Bagi saya ini cara terbaik menangani kelemahan menguasai bahasa Inggeris.

Bagaimana untuk menambah baik SK?

KOK SEONG: Saya minta kerajaan sekarang berjiwa besar, jika membuat kesalahan mengaku dan baiki, jangan nafikan ini hanya persepsi. Jika tidak selama-lamanya masalah tidak selesai dan kemajuan negara tidak dapat dicapai. Sebenarnya kita telah gagal dalam beberapa aspek pembentukan negara bangsa, dari segi pendidikan kita gagal menyatupadukan semua bangsa, di sekolah berlaku polarisasi kaum kemudian merebak ke institut pengajian tinggi dan tempat kerja.

Ada yang menyalahkan sekolah vernakular?

KOK SEONG: Sepatutnya kita tidak perlu ada pelbagai jenis sekolah, cukup satu aliran sahaja seperti di Singapura yang mempunyai penduduk Cina, Melayu dan India tetapi hanya mempunyai satu jenis sistem pendidikan. Kerajaan tidak boleh salahkan rakyat kerana apa yang kita tanam itu yang kita tuai. Anak bangsa tidak bersatu disebabkan sekolah kita yang berpecah-belah.

Selain itu, kita juga tidak mempunyai kemahuan politik seperti Lee Kuan Yew, selepas Singapura merdeka beliau terus menutup sekolah Cina dan tidak benarkan pelbagai jenis sekolah beroperasi. Beliau berani buat tetapi kita tidak berani.

Sebenarnya kita terlepas satu kesempatan untuk mempunyai hanya satu aliran sekolah, kita sepatutnya buat selepas berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 tetapi kita hanya tumpukan bidang ekonomi sepatutnya kena buat juga dalam bidang pendidikan demi perpaduan. Dengan keadaan huru-hara dan rakyat sedang tersentak serta trauma memang ia boleh dibuat pada waktu itu, tetapi sekarang tidak boleh buat apa-apa lagi.

Temu ramah Mingguan Malaysia bersama Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG.